Ahad, 31 Januari 2016

#AJL30 : KEEP FLAWLESS, STACY!

Assalamualaikum WBT.

Genap seminggu, AJL30 berlangsung. 'Potret' diangkat sebagai juara.

Saat semua menjangkakan 'Assalamualaikum' sebagai juara awal-awal dulu, jauh kat sudut hati aku lebih yakin dengan 'Potret' sebenarnya. Bukan disebabkan mood jiwang lagu ni, tapi bagi aku liriknya yang strong bukan mudah untuk diterokai dengan cincai. Setiap patah kata punya aura. Diadun pula dengan susunan muzik, cantik jadinya 'Potret.' Tambahan lagi, menengokkan juri-juri AJL yang sama macam edisi-edisi yang sudah, aku yakin AJL belum masanya lagi nak mengangkat lagu-lagu seperti 'Assalamualaikum.' Apa-apa pun, aku puas hati sebab jangkaan aku tepat. Tahniah 'Potret'! Tahniah juga 'Assalamualaikum' - walaupun sejujurnya berbanding persembahan malam tu, aku lebih prefer mood festive dalam versi studionya. Mungkin mood akustik itu mahu disesuaikan dengan visual di belakang FT agaknya.

Jadi, 'Not For Sale'.... Awal-awal masa lagu ni dilancarkan dulu, aku tahu ini akan jadi senarai dalam AJL. Mendengar lagu Stacy yang satu ini, aku akui yang 'Not For Sale' berbeza kalau nak diletakkan di sebelah 'Gilalah,' 'Aku Stacy,' 'Pakai Buang,' 'Bosan,' mahupun 'Jahat.' Kalau kematangan yang Stacy gambarkan dalam album #1-nya, jadi 'Not For Sale' menepati kenyataan dia. Ya, Stacy buktikan kematangannya dalam muzik dan dalam masa yang sama, 'Not For Sale' tidak lari daripada identiti konkrit Stacy.

Bila aku katakan 'Not For Sale' akan jadi senarai dalam AJL, maksud aku, ada dua sebabnya. Satu, 'Not For Sale' bagi aku lebih kuat berbanding lagu-lagu Stacy yang lain di AJL sebelum ini. Adunan vokal rendah yang bagi aku sangat rare untuk Stacy persembahkan nanti secara live dicampur dengan mood lagu ini yang ada kelas tersendiri, 'Not For Sale' cukup kuat untuk jadi pelengkap AJL sebenarnya. Walaupun bukan sebagai susunan pemenang, setidak-tidaknya lagu ini akan jadi salah satu catatan peribadi perjalanan Stacy di AJL.

Sebab yang kedua, aku yakin pemilihan Stacy sebagai finalis AJL adalah harus! Harus untuk rating, harus untuk mood kemeriahan AJL itu sendiri. Jadi, takkan pilihan lagu yang perlu ke pentas akhir perlu lagu yang biasa-biasa, kan? Maksud aku, Stacy punya aura yang tersendiri untuk menarik kelompok penonton yang tersendiri kelak di AJL.

Aku jerit 'YESS!!!' sorang-sorang dalam bilik dekat U masa scroll Twitter dan dapat tau, 'Not For Sale' berjaya melangkah ke pentas akhir. Memandangkan aku tak dapat tonton secara langsung saat pengumuman finalis AJL berlangsung, aku masih mengikuti perkembangannya di Twitter. Tolak tepi lagu lain. Bagi aku, AJL yang aku tonton tiap-tiap tahun, takkan ada maknanya untuk aku kalau tak ada Stacy. Pernahkan sekali yang Stacy gagal ke salah satu edisi AJL? Masa tu, aku tengok ala kadar je AJL.

Jadi, malam final itu aku dah siap awal-awal depan TV. Nak tengok AJL punya pasal, nak tengok Stacy punya hal. Giliran Stacy hujung-hujung tahun ni. Sama macam tahun-tahun sudah. Seingat aku, jarang Stacy dapat giliran awal-awal. Pasti hujung-hujung.





Secara keseluruhan, aku sangat-sangat enjoy 'Not For Sale' malam tu. Malah, secara peribadi, aku anggap 'Not For Sale' sebagai antara yang terbaik daripada Stacy di AJL selain daripada 'Bosan', 'Aku Stacy' dan 'Pakai Buang.' Mungkin juga 'Not For Sale' sama efeknya seperti yang dilakukan oleh Siti Nurhaliza masa 'Ku Milikmu' di AJL18 dan Hazami dengan 'Mungkir Bahagia' di AJL21 - efek yang aku maksudkan ialah elemen-elemen yang dipersembahkan buat kita mahu menontonnya berkali-kali di Youtube kerana gimik dan cantiknya persembahan itu.

Beberapa perkara yang aku puji dalam persembahan AJL Stacy kali ini.

1. Jangkaan aku tepat bila Stacy menari seperti Cinderella di dalam ballroom masa pertengahan persembahan. Aku pernah baca komen daripada seseorang tahun lepas yang mengatakan skil menari Stacy dalam Gilalah! di AJL29 sama sahaja modus operandinya. Stacy asyik mempersembahkan skill tarian yang sama. Jadi, aku puas hati sebab Stacy muncul tahun ini dengan skill tarian yang berbeza. Aku 'wow' bila Altimet menyudahkan bahagiannya, Stacy terus menghentakkan kakinya ke lantai, lalu alunan orkestra Dato' Ramli MS menyuntikkan mood ballroom yang cukup indah digabungkan dengan tarian Stacy. Aku tabik kat barisan penarinya juga yang ber-masquerade segala bagi mengikut rentak 'Not For Sale' yang rancak tapi dalam masa yang sama masih ada kelasnya yang tersendiri.

2. Tolak tepi soal vokal, kalau kau nak vokal yang sempurna dan dalam masa yang sama penyanyi itu melompat sana-sini, pi layan Britney sana yang tentu-tentu miming. Normallah semput sana-sini. Tapi, jujurnya aku boleh kata persembahan Stacy kali ini lebih baik kawalan suaranya berbanding yang lepas-lepas. Aku khuatir dengan 'Not For Sale' sebenarnya, yang mula-mula lagi diwarnai low note yang mencabar. Stacy berjaya sempurnakannya.

3. Dato' Ramli MS betul-betul cemerlang dalam mencantikkan 'Not For Sale'. Sampaikan muzik 'Not For Sale' jadi begitu indah malam itu.

4. Pakaian Stacy tahun ini bagi just nice dan kena dengan 'Not For Sale'. Aku lega bila Stacy tidak lagi se-emo masa 'Pakai Buang' dan 'Bosan' dulu dalam menentukan pakaiannya. Haha.

Ada beberapa perkara sahaja sebenarnya bagi aku yang merencatkan persembahan Stacy malam AJL30. Aku tak pasti apa yang aku dengar betul atau tidak. Tapi, kalau ada yang perasan, sistem bunyi terganggu di verse ke-2 'Not For Sale,' kan? Cukup memalukan sebenarnya untuk pentas semegah AJL30. Kedua, penyanyi latarnya juga tak kena. Persembahan Stacy dah ngam, muzik dah okey, sekali penyanyi latar macam apa. Begitu juga dengan skrin latar belakang yang bermood berbeza dengan mood persembahan 'Not For Sale'. The unused props di belakang tu jugak agak mengecewakan. Aku mati-mati ingat, Stacy ada nak panjat ke props dekat belakang dia tu. Sekali, props tu cuma dijadikan sebagai penghias lampu-lampu 'divanya' sahaja.

Aku tak adalah terkejut mana bila 'Potret' yang bawa pulang 'Persembahan Terbaik.' Sekurang-kurangnya, 'Potret' tidaklah sekadar satu persembahan yang plain malam itu. Nak-nak pulak, 50% undian 'Persembahan Terbaik' adalah di tangan orang ramai. Tentu-tentu 'Potret' yang juara carta berminggu-minggu jadi pilihan.

Penyertaan ke-7 Stacy ke AJL tanpa sebarang kemenangan, aku dah terbiasa dengan hakikat itu. Bagi aku, Stacy tidak perlu menang pun. Sejak Stacy tewas masa 'Bosan' dulu pada persembahan semudah 'Bahagiamu Deritaku' dulu, aku dah tak letak sebarang harapan untuk Stacy bawa pulang trofi 'Persembahan Terbaik' lagi. Walaupun realitinya, aku sangat tak berpuas hati mengapa kategori itu perlu ada campur tangan penonton? Kalau dahagakan sangat anugerah yang diiktiraf penonton, lebih baik AJL wujudkan kategori 'Lagu Popular.' Itu lebih baik.

Bagi aku, malam itu, aku lebih berpuas hati dengan 'Not For Sale' berbanding dengan lagu-lagu lain. Aku dah penat melihatkan mood keraian yang sepatutnya ada pada AJL30 diisi dengan persembahan mudah finalis yang cuma play safe dengan hanya berdiri tegak bertemankan mic stand dan gitar - Faizal Tahir, Drama Band dan Dayang Nurfaizah sahaja bagi aku malam itu yang hebat membuat persembahan tanpa sebarang gimik, yang lain, maaf, nak menangis aku tengok persembahan mereka yang dah macam setaraf peringkat separuh akhir sahaja.

Setidak-tidaknya Stacy muncul dengan kelainan, muncul dengan identitinya yang cukup kuat iaitu menari sambil menyanyi. Identiti yang satu ini bagi aku susah untuk mana-mana penyanyi yang baru nak tumbuh dekat Malaysia untuk tiru.

Kalaulah Stacy baca blog picisan ni, satu je aku nak cakap dengan dia.

"Stacy, you will not be remembered as the champion of AJL's. But, instead, I'm sure you do will be remembered as one of the great performers in the history of AJL."

Stacy tak memiliki AJL, tak apa pun. Yang sayangnya, AJL yang tak memiliki Stacy sebagai salah seorang pemenang mereka. Stacy, bak kata salah seorang sahabat saya, macam Noraniza Idris versi pop. Angkatlah juara macam mana sekalipun, tapi persembahan penghibur seperti mereka yang duk usung jemaah penari beribu-riban atas pentas tu lah yang akan diingati 10 atau 20 tahun akan datang.

Aku doakan yang terbaik untuk Stacy. Terus menghiburkan dengan lenggok tari dan vokal yang mantap. Aku menunggu lagu-lagu yang seterusnya daripada Stacy. No matter what, Stacy, I'm still one of your biggest fan! Keep flawless, queen! 

Tiada ulasan: