Jumaat, 17 Februari 2012

PENULIS DI MESIN TAIP SKRIP : SENTIMETER ATAU KILOMETER

Assalamualaikum WBT. 


Hah.. ambik kau! Nilah tajuk entri paling panjang sekali... hahahahaha.. *ok tak lawak. Teruskan.


Benar apa yang Mak pernah kata dulu. Untuk cari kawan yang benar-benar kawan, lihat ketika kita sedang susah. Siapa yang ada rapat di sisi tangan kanan kita itu kawan sebenar. Siapa yang berdiri 1kilometer di belakang dan cuma memerhati, itu kawan ketika senang. Saya pegang kata-kata itu sampai bila-bila. 


Berbekalkan kata-kata itu, saya cuba x-ray yang mana sebenarnya A, yang mana sebenarnya Z. Bila menjangkau sesuatu tempoh masa berjauhan dengan ahli-ahli penulis mesin taip skrip, jujur saya akui... neuron-neuron otak ini tidak sebegitu mudah melupakan mereka. Bukan dengan hanya memetik jari, saya boleh melupakan pengalaman manis yang dah dilukis bersama mereka. Saya bukan spesies manusia yang berperangai begitu.


Mengenali mereka jauh lebih beruntung dari memiliki kilang berlian ataupun gudang pencetak wang kertas. Mengenali mereka dan meniti bersama-sama satu fasa yang mendorong kami menuju ke alam kematangan, sememangnya sukar untuk dilupakan. 








Tapi, bila ada masa-masanya, pasti ada yang terasa akan jarak kaki yang kian jauh melangkah meninggalkan tapak asal di mana tempat kami bergelak tawa dan berkeluh kesah. Pasti ada yang mula berapi bila emosi jadi mainan. Lalu Facebook jadi medan perli memerli. Dan psikologi jadi papan target.

Sekejap. Saya nak tanya mata anda satu soalan. Adakah bila kita mempunyai kawan baru bermakna kita sedang melupakan kawan lama kita? Saya tak tahu jawapan anda. tapi, jawapan saya... TAK. 

Apa ada pada secebis perbualan dengan kawan baru di Facebook sehingga kita terus dijatuhkan hukuman mandatori 'melupakan kawan lama'? Apa ada pada perbuatan kita yang tak menyapa si kawan lama di telefon bimbit sehingga kita dikatakan 'melupakan kawan lama'?

Jika itu penilaiannya, maka tidak adillah jadinya. Apa yang dikata oleh hati tak sama dengan apa yang dizahirkan pada luaran. Komitmen dan persekitaran baru menuntut kami berpaling seketika daripada kehidupan lama. Kesibukan langkah kaki yang diatur belajar kehidupan pada sisi yang berbeza menuntut kami berpaling seketika. Bukan bererti selama-lamanya. Bukan bererti melupakan terus apa yang dah tercatat pada hari semalam. 

Bila melalui perkara-perkara macam ini, saya tertanya-tanya. Mereka kawan yang berdiri satu sentimeter dari kita ataupun satu kilometer jauh daripada kita? Atau adakah soalan itu perlu ditanya kembali kepada saya? Saya berada satu sentimeter di sisi mereka atau satu kilometer di belakang mereka? Sumpah, saya bersumpah. Saya bukan jenis orang yang mudah melupakan memori hari semalam. Tambahan pula bila ia melibatkan tentang pengajaran yang melambak untuk digunakan dalam hidup akan datang. Saya tak akan jadikan itu sebagai gadaian untuk saya dapatkan kebahagiaan pada hari esok.

Saya duduk diam dan berfikir. Lama-lama saya mula akui. Tak semua manusia sempurna. Mungkin apa yang dirasakan oleh kawan lama adalah satu mainan psikologi. Mungkin niat saya tak sehaluan dengan kemahuan mereka. Lama kelamaan, saya pasti... semua pahit akan terubat bila memori semalam jadi penawarnya. 

Anda yang tengah membaca entri ni juga... saya yakin. Bila anda berada di tempat saya di mana kawan lama 'memerli' anda di Facebook... biarkan saja dia bermain dengan psikologi. Kerana permainan itu jugalah yang akan membuatkan hubungan persahabatan kita menjadi matang. 

Satu sahaja pesan saya untuk ahli-ahli penulis di mesin taip skrip... 
KALAU PUN AKU DISERANG ALZHEIMER... ANTARA BENDA PERTAMA YANG TAK AKAN AKU LUPAKAN ADALAH MEMORI-MEMORI KITA.

Maaf, bukan menempelak. Tetapi menyatakan kejujuran. 

Isnin, 6 Februari 2012

SIMPAN SAJA BAHASA ITU DI DALAM POKET

Assalamualaikum WBT.


Sebelum menaikkan kelajuan jari-jari untuk menaip entri baru ni, saya dahulukan dengan ucapan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. Selawat ke atas junjungan besar dan manusia terhebat, Nabi Muhammad SAW.


Melewati satu demi satu laman-laman Facebook atau Twitter mahupun blog-blog, sendi-sendi mata ini mahu saja 'terseliuh' bila membaca susunan ayat-ayat remaja masa kini. Mutakhir ini, terlalu banyak berlakunya gejala memesongkan ejaan asli bahasa Melayu sehinggakan berlakunya transformasi yang melampau-lampau. *apahal pulak tiba-tiba ni?!


 penatt sanad2! 
 naa mwa2 ta tentu pasal 
 lao kaw x kesah pasal aku, taa pe laa 
 bosan kowd! 






Okey... yang nilah yang saya maksudkan. Ah... saya jamin, dalam senarai rakan-rakan FB anda, pasti ada dua tiga orang yang gaya penulisannya begini. Okey, saya bukan mahu mencerca mahupun menempelak. Cuma ada ketikanya, saya cuba meletakkan diri saya di tempat Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan. Apa 'perasaan' objek pegun itu bila melihat kandungan-kandungannya digubah sebegitu rupa? 


Menjejakkan kaki di alam Pra-Universiti membuatkan saya matang untuk menghargai apa yang komuniti kita miliki. Tambah-tambah lagi, saya berpeluang mengambil subjek Bahasa Malaysia yang sememangnya berputar 180 darjah, berbeza dengan subjek BM yang saya pelajari ketika di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dulu. Ya, saya akui bahawa saya mampu tersenyum bangga dengan keputusan SPM saya pada subjek BM. Tetapi, bila saya aplikasikan apa yang saya pelajari di peringkat SPM pada peringkat STPM, ternyata saya silap. 


Subjek BM di STPM menuntut saya untuk menjadi pengguna bahasa yang matang. Saya terpaksa buang segala perkataan bombastik yang kerap saya gunakan di SPM dulu. Berkali-kali diingatkan pada otak saya, karangan yang hebat adalah karangan yang matang dari segi gramatisnya, bukan dari segi puitis. Sememangnya, itu satu perkara yang agak 'mengikat' otak saya yang dah terbiasa dengan gaya puitis. Tapi, demi universiti, demi masa depan bahasa kita... saya akur dengan yakinnya.


Lalu, saya tinggalkan tabiat-tabiat tak senonoh ketika menaip di laman Facebook mahupun ketika menghantar SMS kepada kawan sedikit demi sedikit. Biarlah orang kata "Weh! Kau apahal jadi sasterawan pulak ni?" Saya pekakkan telinga, butakan mata.


Saya okey bila orang meringkaskan perkataan-perkataan ketika menulis atau menaip. Jujur, saya tak ada masalah dengan itu. Saya okey bila orang mencampur adukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris ketika bercakap. Jujur, saya tak ada masalah dengan itu. Tapi... bila ini melibatkan pemberontakan sesetengah remaja yang mahu bereksperimentasi dengan gaya penterjemahan emosi, saya jadi kaku.


Perlukah penambahan abjad-abjad yang tidak relevan pada perkataan semudah 'saya,' 'kita,' dan 'kau'? Sehingga membuatkan lidah yang normal menjadi bercabang-cabang? 

Saya tahu pasti ada yang sinikal bila melihat pada kritikan ini. Saya tahu, pasti ada yang akan menempelak dengan mengatakan "Lantaklah! Ayat aku bukan ayat kau!" Tapi sebelum tu, fikir sedalam-dalamnya. Untuk apa kita berbuat begitu tapi dalam masa yang sama, kita sedang menghunuskan pisau pada masa depan kita? Kita sedang mengacukan pistol pada warisan untuk anak cucu kita?


Kenapa untuk entri kali ni, saya berani untuk berkata sebegini sedangkan sebelumnya, saya tak pernah berbuat demikian? Jawapannya cukup mudah... sebab jawapannya ada pada anda. Baca frasa di bawah ni...


20 atau 30 tahun akan datang, bila ada anak cucu kita berlari mendapatkan kita yang sedang duduk bersandar di kerusi malas lalu bertanyakan soalan...
"Grandpa... was it really that Malays have their own language? Why I never heard you speak in Malay?


Apa jawapan yang akan anda lafazkan? Sekurang-kurangnya, jadikan detik ini, detik ketika anda sedang membaca pesanan ini, sebagai penggerak langkah anda untuk berubah. Mungkin perbuatan menukarkan struktur ejaan melampau-lampau seperti itu cuma seekor kuman pada anda. Tapi, ingatlah... seekor kuman mampu untuk mendatangkan penyakit berbahaya yang akan merebak jika tidak diubat. 


Kalau anda enggan melakukannya demi generasi akan datang, setidak-tidaknya... lakukanlah demi identiti diri anda sendiri.





Saya mengagungkan Bahasa Melayu.

Sabtu, 4 Februari 2012

MEMOIR HARI KECIL

Assalamualaikum WBT.


Lama sungguh blog ni tak dikemas kini. Memandangkan komputer dimasukkan ke wad ICU beberapa hari, jadi proses pengemaskinian tergendala buat beberapa ketika. 


Tak tahulah kenapa otak ni memutar kembali apa yang dah tercatat pada cerita masa kecil. Sesiapa pun di sini, saya pasti, pernah melalui situasi-situasi kanak-kanak yang memang payah untuk neuron kita lupakan. Zaman yang tak memerlukan kita untuk fikir apa yang ada pada hari esoknya; kelabu atau jingga. Yang kita fikir, bangun dari tidur terus fikir nak main apa.


Berkali-kali saya terfikir. Kalaulah masa ni merupakan satu mesin yang boleh saya putarkan kembali, saya nak berbuat demikian. Hahaha... dengar macam dah putus asa dah dengan hidup sekarang. Tak, sebenarnya tak. Emosi ni cuma mahu merasai kembali detik-detik masa kecil dulu. Detik yang tak menuntut kita untuk terlalu serius dalam meniti landasan hidup.


Bila cakap pasal hari kecil, apa yang saya bayangkan? Macam-macam. Terlalu banyak sebenarnya. Dari main hujan sampailah ke mengganggu ibu-ibu ayam yang sedang menjalani proses pengeraman telur. Dari minum petang bersama lepat pisang hasil tangan arwah Wan hinggalah belajar buat air bandung pertama kalinya.


Tapi, untuk entri ni saya cuma nak berkongsi dengan anda satu sahaja item yang masih segar dalam kad memori ingatan saya. Siapa dekat sini yang ingat lagi pada memori Aiskrim Malaysia?





Aiskrim Malaysia antara 'abjad' yang mengisi ruang hari kecil saya. Dengan menunggang basikal yang kerap kali terputus tali basikalnya, kami menuju ke rumah seorang peniaga kecil-kecilan yang kami gelarkan sebagai Wan De. RM1 boleh dapat 10 batang aiskrim. Perisa asam boi, milo dan bandung antara warna-warna yang membuatkan beg plastik menjadi sarat untuk dibawa pulang. 


Lalu, petang yang bosan menjadi nyaman. Tak perlukan gunting untuk mengerat pangkal aiskrim itu. Cukup dengan hanya menggunakan gigi. Tak perlukan televisyen untuk menghabiskan masa sambil menikmati aiskrim Malaysia tu. Cukup dengan hanya bertemankan asap dari timbunan daun-daun kering yang dibakar. 


Mengenangkan memori itu membuatkan saya, yang berdiri di masa sekarang, tersenyum seorang diri. Cukup sweet. Detik itu, aiskrim yang berharga 10 sen itu sudah mampu untuk membuat tekak seorang kanak-kanak menghadamkan manis sebuah kisah hari kecil. Sebuah kisah yang akan dibawa hingga ke hari dewasa. Lalu membuatkan otak tertanya-tanya... 


"Bukankah bagus kalau anak-anak zaman sekarang dapat merasakan pengalaman seperti itu?"

Sekonyong-konyong, bila mengenangkan memori aiskrim Malaysia membuatkan otak ini terkenang pada arwah Wan. Tolong Wan sapu daun-daun kering atau tolong cabutkan uban Wan, Wan akan upah belanja aiskrim Wan De. Sesungguhnya, bukan ganjaran tu yang meninggalkan kesan bila saya dah melepasi zaman itu. Tapi, apa yang lebih berharga adalah kenangan yang tak boleh ditukar kembali bersama dengan arwah Wan. Boleh dikatakan hampir separuh masa kecil saya diisi dengan adanya Wan. 

Membesar dan berlajar dengan kenangan Aiskrim Malaysia mempunyai nilai RM yang terlalu tinggi. Mungkin sekarang aiskrim-aiskrim yang berada di dalam peti sejuk besar di mana-mana kedai runcit atau pasar-pasar raya jauh lebih sedap berbanding aiskrim 10 sen itu, tetapi nilai sentimental yang ada pada aiskrim Malaysia jauh lebih tinggi jika nak dibandingkan dengan semua jenis aiskrim lain yang ada dalam muka bumi ini.

Bila teringat pada memoir masa kecil, saya tahu... semalam adalah guru yang paling jujur. Saya yang berdiri pada garis masa hari ini perlu sedar akan hakikat bahawa kenangan tidak boleh direwind kembali. Tetapi, 'videonya' boleh diulang tayang untuk kita ambil apa yang baik, dan kita buang apa yang buruk.