Sabtu, 22 September 2012

JANGAN ADA PELANGI KETIKA SENJA

Assalamualaikum WBT.





Saya ambil sepotong lirik Pelangi Senja :


 Wahai, sang pelangi indah muncul seketika 
 Sayang tak ku lihat 
 Kini tiada 

 Jika mampu ku kembali mengulangi masa 
 Pasti ku tunaikan 
 Permintaan terakhir 



Ya... lagu ini sama seperti lagu-lagu seperti Hurt - Christina Aguilera, Thinking Of You dan The One That Got Away - Katy Perry, Pergi - Aizat. Mesej setiap lagu ini sama. Kesemuanya mengenai perpisahan dan penyesalan. 

Saya tenggelam dalam lirik lagu ini. Liriknya membawa satu cerita yang mengisahkan penyesalan akibat semalam dia tidak menghargai manusia yang sentiasa ada di sisinya. Kemudian, bila manusia itu pergi tak kembali, yang tinggal cuma sesal. 

Apabila difikir, bila-bila masa sahaja kalau Tuhan nak... Dia boleh ambil apa sahaja nikmat yang ada di sekeliling kita. Tidak kiralah siapa pun... Ibu yang selama ini menumis nutrisi demi kelangsungan hidup kita, bapa yang selalu mempertikaikan minat kita, adik beradik yang selalu menjadi teman bergaduh, rakan yang selalu mendengar bengang kita mahupun kekasih yang selalu menemani peti masuk telefon bimbit

Sama ada kita mahu atau tak, itu yang dinamakan sebagai percubaan dalam hidup. Ada manusia yang konkrit bila diuji dengan apa sahaja dugaan. Tapi, bila ini melibatkan kehilangan seseorang yang rapat dengan kita pada masa yang tak disangka-sangka, manusia hipokrit mana yang mampu bertahan untuk satu tempoh yang panjang? 

Bohonglah jika dugaan spesies itu tidak meninggalkan sehabuk kesan pun terhadap emosi. Bohonglah jika sebelum tidur, perasaan sepi itu tidak hadir. Bohonglah jika ketika mendengar lagu yang mesejnya sama seperti Pelangi Senja ini, tidak ada sekelumit pun perasaan sayu.

Kadang-kadang mungkin ada perkataan yang terluah dari bibir kita telah membuatkan hati dia tercalar tanpa kita sedar bahawa perkataan itu dia bawa ke saat terakhir. Kadang-kadang mungkin kita enggan mendengar cerita dia tanpa kita sedar bahawa perkataan itu mungkin perkataan terakhir yang keluar daripada bibirnya. Kadang-kadang kita mungkin ketawa dengan sikap pelik dia tanpa kita sedar bahawa keanehan itu merupakan petanda pemergiannya. Kadang-kadang juga, kita mungkin secara tidak sengaja telah menempelak dirinya.

Entri yang anda baca ini.. tulisan di monitor anda ini tidak mampu untuk memberi nyawa kedua kepada si dia. Kita bukan ahli magik yang mampu untuk mengembalikan detik-detik realiti bersama dengan manusia yang telah pergi itu. Kita cuma manusia. Manusia yang cuma mempunyai rakaman di otak untuk dimainkan bila rindu dan sesal menjadi satu. Weiy... mereka sudah pergi, terima hakikat itu walaupun hakikat itu seperti asid yang membaham kulit. Jadikan kehilangan itu sebagai 'kaunselor' bukan 'pembunuh.' Susah memang susah. Tapi cuba fikir, itukah cara untuk kita menebus setiap kesalahan kita?

Bangun dan lihatlah sekeliling. Anda masih ada ramai lagi manusia yang menyayangi anda. Jangan disebabkan terlalu sesal dengan silap semalam, manusia yang lain ini anda abaikan. Lalu situasi 'pelangi senja' berulang lagi dan lagi. Dalam hidup, tiada perhentian. Kalau hari ini kita hanya mampu untuk menatap pelangi seketika sahaja kerana senja makin melambai pergi... jangan khuatir kerana esok masih ada matahari. Hargai hari esok yang bakal tiba sebelum terlambat agar kelak kita tidak ditembak sesal... dan jangan biarkan pelangi ada ketika senja berubah menjadi malam.


#pelangi yang melengkung ketika senja, cantiknya tak lama... kerana bila hilangnya matahari, pelangi akan terus lenyap.

Ahad, 16 September 2012

ELEMEN YANG DIBOMKAN


Assalamualaikum WBT.

Tempoh hari, saya belajar mengenai satu lagi sudut kehidupan melalui situasi yang telah Tuhan ciptakan. Untuk renungan diri sendiri dan untuk panduan hari-hari akan datang.



Dalam persahabatan, terlalu banyak elemen yang perlu ada. Salah satu elemen yang paling penting adalah setia. Elemen yang satu ini wajib ada dalam setiap diri seorang manusia yang bergelar sahabat. Setia penting kerana melalui sifat itu, kita mampu mengukur sejauh mana jujurnya seorang kawan dalam sesebuah persahabatan.

Ya, kita manusia normal. Kadang-kadang, kita buat silap dan kemudiannya kita sedar. Tapi, ada juga kesalahan yang langsung tak kita nampak. Kesalahan yang mungkin boleh berulang-ulang pada masa akan datang. Puncanya? Pasal kita tak belajar daripada kesilapan yang kita dah buat tanpa kita sedar tu.

Saya tergamam kerana melalui situasi itu, barulah saya sedar kejujuran itu boleh dibeli dengan hanya sekeping not harga duniawi. Semuanya demi kepentingan diri sendiri. Setia yang selama ini sepatutnya ada, langsung hilang entah ke mana.

Sipolan itu sanggup menembak rakannya sendiri. Kenapa? Hanya untuk kepentingan sendiri. Hanya untuk memuaskan hati sendiri. Tak fikir apa yang akan jadi pada masa akan datang. Tak pernah fikir apa yang rakannya bakal tanggung kelak.

Bila dilihat pada sejarah, ketika Nabi Muhammad SAW bersusah payah menabur bakti dalam membentuk Madinah, ada pula kaum tidak sedar diri menikam perlembagaan itu dari segenap sudut. Hasilnya, si pengkhianat bertempik kegembiraan. Yang tidak tahu apa-apa jadi mangsa yang dibaham.

Begitu juga dengan hal tersebut. Kalau anda yang membaca pernah menjadi seperti sipolan, menikam manusia yang telah berbakti kepada diri, fikirlah… Saya tak gesa anda untuk berlari ke rumah manusia tersebut lalu melutut meminta maaf. Saya tak minta anda untuk jadi manusia yang 100% baik. Saya jugak tak minta anda untuk menebus kesalahan mandatori itu dengan wang yang berkepuk-kepuk.

Berfikir. Saya cuma mahu anda fikir. Anda mahu bawa sikap tidak jujur dan tidak setia itu sampai mana? Anda nak bawa perangai itu bila anda dah masuk ke dewan kuliah di universiti kelak? Anda nak bawa perangai itu ke dalam rumah keluarga anda kelak? Anda nak bawa perangai itu bila sudah beranak-pinak kelak?

Jangan sebabkan dek sikap itu, kita hilang semua manusia yang kita sayang dalam dunia ini. Jangan sebabkan elemen yang dianggap kecil itu, semua manusia di sekeliling hlang percaya terhadap anda. Jangan sebabkan dek anda belajar daripada silap lampau, semua manusia memandang anda dengan sinis.

Hidup ini bukan semudah teka-teki. Dalam hidup, kita tak mampu untuk meneka dengan tepat apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Kita tak mampu untuk meneka bila tarikh kematian kita. Anggap sahajalah, mulai detik anda membaca entri ini merupakan 86400 saat terakhir anda. Jadi, lakukanlah sebanyak mana pun kebaikan agar di sana nanti kita tak menangis sesal.

Anda yang bergelar sipolan, tidak kiralah lepas ni anda mahu ke mana, dengan siapa anda mahu berkawan. Tapi, ingat sat hal… seburuk mana pun seorang rakan itu, tugas kita sebagai sahabat membetulkan, bukan menghancurkan.  Jangan disebabkan pendek akal, elemen setia itu kita bomkan. 

#maaflah saya biarkan ruang ini membisu agak lama. Pertembungan masa sebagai penuntut ilmu menyebabkan masa itu jadi singkat. Insya-ALLAH saya cuba untuk tidak menghilangkan diri. :)