Sabtu, 31 Mac 2012

KAHAK-KAHAK HIPOKRIT

Assalamualaikum WBT.


Peti masuk SMS di fon genggam tiba-tiba disapa mesej daripada rakan. Cerita tentang kesakitan. Lalu, seperti biasa, kaunselor yang tidak bertauliah ini pun memulakan sesi kaunselingnya. 


Saya sendiri tertarik dengan kata-kata yang dicernakan neuron. Bila 'ditempelak' dengan frasa lebih kurang begini ... :"aku malu menangis, aku tak nak dilabel sebagai lemah"... saya terus membalas dengan jawapan yang ditaip jari secara spontan. 


"Kau malu sebab kau hipokrit. Tak apa kalau kau menangis sebab bila kau menangis kau lepaskan kelemahan kau. Tapi, bila kau tahan air mata maksudnya kau biarkan kelemahan tu terpendam dan makin merebak. Itu lagi memalukan."

Saya suka pada jawapan saya yang ini. Langsung, idea pun tercetus untuk saya kongsikan di ruang ini. 

Kerap saya dengar... bila seseorang ditimpa satu-satu masalah, antara perkara pertama yang dia elakkan adalah MENANGIS. Contoh situasi : bila kekasih berubah arah, kehilangan orang paling rapat dengan hidup, tertekan dengan sikap rakan sebilik atau tergaman dengan keputusan peperiksaan yang lebur. Ada sesetengah manusia berpendapat... "Dah-dah. Aku tak boleh menangis depan diaorang semua. Aku tak boleh dan tak akan menangis."

Satu soalan saya: Relevankah perbuatan itu? Takut jika ada yang melihat pipi kita basah dan hingus menyapa muncung? Takut jika ada yang tidak dapat membezakan yang mana satu sirap dan yang mana satu biji mata? Takut... semuanya berpunca daripada kata dasar 'takut.' Perlukah takut jika kesalahan sebenarnya bukan datang daripada kita? Sekalipun kesalahan itu sememangnya dilakukan oelh tubuh kita, perlukah kita takut selama-lamanya? Sehinggakan, air mata yang sepatutnya turun bila dipanggil, kita tahan-tahan? Sehinggakan air mata itu menjadi kuman yang akhirnya memakan diri sendiri kembali?



Tidak kira apakah nama yang anda berikan pada tindakan itu. Tetapi, pada saya, saya panggilnya sebagai HIPOKRIT. Bukan sebagai satu cara psikologi untuk menempelak. Tepai sebagai satu tag untuk melabel. 

Untuk apa hipokrit di hadapan orang jika itu sekadar memulangkan kredit kepada orang dan bukan kepada kita? Orang mendapat aset dengan tindakan kita tadi. Tetapi, kita mendapat liablitinya. Kita sedang pendam kelemahan yang sepatutnya dibuang jauh-jauh. Kita sedang menyimpan kelemahan itu seperti kita menyimpan syiling di dalam tabung buluh ; cuma boleh dikeluarkan bila tabung buluh itu dikapak.

Pedulikan kata orang yang mengetawakan kita apabila kita menangis. Pedulikan orang yang meminjamkan bahu kepada kita tapi dalam masa yang sama, bibirnya tak habis-habis menuturkan "Shhhhh... dah, jangan menangis lagi." 

Sebagai manusia yang tak abnormal, kita tak lari daripada melalui frasa menyakitkan dalam hidup. Faktanya, daripada kesakitan itu kita akan menyedut oksigen kelemahan. Usah jadikan kelemahan itu sebagai penyewa tetap di kamar emosi kita. Buangnya jauh-jauh dengan melepaskan tangisan. Menangislah ketika itu kerana sememangnya kita berhak untuk menangis.




Satu perkara yang perlu diingat, sememangnya melepaskan perasan itu penting. Tapi jangan sampai tangisan itu menguasai keseluruhan hidup kita. Ya, kita berhak untuk menangis. Tapi, tak bermakna kita berhak untuk bersedih seumur hidup. Menangis cuma untuk lepaskan kelemahan. Kemudian kita akan cas kembali kekuatan kita. Lalu, kekuatan itu akan jadikan kita sebagai kereta kebal dan dugaan-dugaan tidak matang mampu kita rempuhi sepintas lalu. Jangan sesekali kita pendam kerana takut, tangisan itu akan menjadi 'kahak' lalu menyebabkan suara kita hilang untuk menyatakan perasaan.

CAMPAK KAHAK TU ! CAMPAK!


Sebelum berundur, jangan ingat entri ni sebagai satu senjata untuk saya menyerang rakan saya itu ya? Saya pun kadang-kadang melalui proses seumpama ini. Anda juga mungkin. Biasalah... hari-hari yang kita lalui adalah guru kepada kehidupan kita kan?

Satu perkara yang selalu kita dengar tapi kali ni, apa kita hayatinya?

"Tuhan tak akan uji kita dengan dugaan itu kalau dia tahu kita lemah dan tak mampu untuk menempuhinya."

Isnin, 26 Mac 2012

LENSA INI MELIHAT PADA BIBIR MEREKA

Assalamualaikum WBT.


Baru-baru ini keputusan SPM 2011 yang dipekasamkan sejak sekian lama akhirnya terhidang juga. Saya tak berkesempatan untuk pergi ke medan yang menjadi saksi emosi-emosi lepasan SPM 2011. Medan tempat menyerahkan slip yang membayar segala harga titik peluh, dakwat pen serta helai-helai buku sekolah sepanjang 12 tahun mereka bergelar pelajar sekolah. Sama ada suka atau gembira, apa yang penting semuanya sudah terjawab. Tak guna untuk memandang dan menempelak apa yang ada di belakang. Sebaliknya, teliti dan sapalah hari-hari yang akan datang.


Okey, saya tak sempat untuk berada di tempat itu. Tetapi, saya berkesempatan melihat apa yang terlakar pada wajah ibu bapa kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Senyuman. Ya, senyuman pada bibir mereka. Senyum yang bukan dipaksa-paksa. Tetapi, senyuman itu semula jadi.


Saya tak tahu kenapa saya rasa aman bila melihat senyuman itu pada bibir ibu bapa ketika anaknya direncanakan sebagai "pelajar terbaik." Kepuasan dan kegembiraan yang saya pasti bukan sedikit kuantitinya. Kepuasan dan kegembiraan yang lahir daripada emosi luar biasa apabila segala penat lelah mereka akhirnya dibayar dengan sekeping slip pelangi itu. 





Saya percaya setiap tekanan kaki mereka pada pedal minyak demi menghantar anak mereka ke sekolah setiap pagi, nasihat dan teguran yang dilaungkan bila anak mereka berlari keluar daripada landasan sebenar sebagai seorang pelajar serta menghabiskan ringgit-ringgit untuk membeli buku-buku rujukan anak mereka akhirnya dibalas dengan keputusan cemerlang tersebut. Dari wajah mereka yang kelihatan bangga bila menerima ucapan tahniah daripada jiran-jiran mahupun  kenalan-kenalan, saya tahu itulah kebahagiaan yang hakiki buat mereka. Lalu, senyuman dizahirkan bagi mencitrakan apa yang terlukis pada ruang hati yang berwarna-warni.


Jujur saya akui, saya bukan anak yang berjaya membuahkan senyuman bangga pada bibir mak dan abah dengan keputusan UPSR, PMR mahupun SPM saya. Saya tahu ada di antara mata-mata yang membaca ketika ini merasai tempat di mana saya berpijak ini. 


Kalau dulu, saya mengutuk diri kerana saya tak berjaya berbuat demikian. Meskipun mak dan abah menyatakan syukur dengan keputusan-keputusan itu, saya sedar akan realiti bahawa kejayaan yang lebih tinggi menjadi harapan buat mereka pada asalnya. Tetapi, kini saya mula belajar dan tahu pada satu hakikat. 


Tak semestinya kejayaan dalam akademik sahaja yang mampu membanggakan mak dan abah. Kejayaan dalam pembinaan akhlak. Kejayaan dalam ko-kurikulum. Atau secara holistiknya, kejayaan dalam hidup. Itu sebenar-benarnya kejayaan yang dinantikan mereka. Cuma mungkin pada mereka bila ada keputusan yang tip top, hidup pada masa depan akan lebih terjamin. Itu kan normal?


Satu peringatan saya kepada manusia-manusia yang tidak berpeluang membanggakan ibu dan bapa anda dengan keputusan peperiksaan anda. Meskipun anda gagal sekalipun dalam peperiksaan, percayalah rahmat Tuhan bertebaran di muka bumi. Mungkin bila kita di sini kita tak berjaya. Siapa tahu bila di sana kita bahagia? Terus usaha dan sabar menunggu. Percaya atau tidak, matahari tetap akan bersinar bila tiba masanya.




Bila anda berjaya dalam hidup, nescaya segala penat lelah ibu dan bapa kita akan terbayar. Sekali lagi saya ingatkan. Tak semestinya anda gagal akademik bermaksud anda gagal dalam hidup secara keseluruhannya.


Satu saja pesanan dan peringatan. Tolong jangan dihancurkan bunga yang mahu berkembang di hati ibu dan bapa kita. Sesungguhnya tidak ada apa-apa yang mereka mahukan ketika anda baru saja belajar bertatih melainkan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.




TARGET : BERJAYA DALAM HIDUP
kalau bukan untuk diri sendiri, lakukan demi senyuman ibu dan bapa kita...

Isnin, 12 Mac 2012

MEMOIR HARI KECIL 2

Assalamualaikum WBT.


Bila bercakap tentang hari-hari kecil, sekonyong-konyong pantas sahaja fikiran ini menerawang dan memikirkan apa sahaja momen yang saya anggap sebagai suatu subjek yang perlu ditafsir. Bukan dengan ensiklopedia, tapi dengan neuron. Bila difikir-fikir... bukan sedikit cerita yang berterabur di hari-hari semalam. Oleh sebab itulah yang mendorong   saya membikin entri bersiri khas yakni MEMOIR HARI KECIL bagi saya merakamkan apa sahaja momen pembelajaran untuk saya renungkan.


Bercakap tentang aktiviti saya ketika hari kecil, saya pantas teringat pada betapa seronoknya berbasikal ketika petang menyapa hari seorang kanak-kanak. Meskipun trek yang dilalui sama sahaja setiap hari, tetapi bila saja tapak kaki boleh memijak pedal basikal tepat pada waktunya.. itu sudah cukup menggembirakan.


Basikal yang dibeli oleh Abah kerap saya tunggangi bila rimas berkurung di dalam sangkar papan. Daripada berbaring merenung atap yang ditutup dengan kain rentang lelangit, lebih baik menunggang basikal. Mengizinkan angin yang rakus menyapa kulit muka membuatkan fikiran menjadi lebih tenang. Lebih tenang daripada menghabiskan masa menghadap Facebook pada masa sekarang. 





Jatuh dari basikal. Saya agak anda mesti pernah merasai situasi ini. 



  1. Jatuh basikal ketika kali pertama belajar menunggangnya. 
  2. Jatuh basikal ketika kali pertama Abah menanggalkan roda ketiga dan keempat yang menjadikan basikal itu tidak seimbang. 
  3. Jatuh basikal ketika mahu menyelamatkan diri daripada dikejar angsa-angsa yang galak mencari mangsa untuk 'dicium'. 
  4. Jatuh basikal ketika jalan tar dirasakan seperti kapas. 
  5. Jatuh basikal akibat ruang di antara handle dengan tempat duduk diterjah ayam gila (ini faktor yang menyebabkan saya fobia nak pegang ayam sampai sekarang).



Hahahahahahahaha.. semuanya laju saja menyapa otak lalu dibawa ke jari untuk diluahkan pada ruang ini. Sejujurnya, semua yang saya nyatakan itu adalah semua yang saya hadapi ketika menunggang basikal di hari kecil. 


Difikir-fikir balik... masa tu reaksi saya selepas jatuh dari basikal adalah menyumpah seranah. Lutut dan siku adalah antara bahagian yang kerap tersayat dan berdarah. Kalau sakit pun, berair mata biasalah tu. Hahahahaha...


Momen-momen ketika jatuh dari basikal membuatkan saya melihat refleksinya pada masa sekarang. Sememangnya itu adalah suatu simbolik kepada apa yang saya hadapi dalam pengembaraan mencari hidup. 


 Setiap kesakitan yang dihadapi pada hari-hari semalam sebenarnya menjadi ubat kepada kesakitan kita yang akan datang. 


Setuju? Saya setuju. Apa sahaja peristiwa yang mampu membuatkan saya merasai kesakitan sama ada luar mahupun dalam membuatkan saya matang dalam mentafsir potensi diri. Membuatkan saya lebih bersedia andai kata saya berdepan dengan situasi seumpama itu pada masa-masa akan datang.. lalu saya tahu bagaimana nak 'menyepak' benda itu pergi dari hidup kita. 


Takkan pada usia sekarang bila saya diserang dengan kesakitan saya mahu menyumpah seranah... seperti mana yang saya lakukan sesudah jatuh dari basikal ketika kecil dahulu? Sebaliknya, saya harus berdepan dengannya menggunakan senjata emosi. Bagaimana saya perlu selesaikan dengan menimbangkan baik buruk akibat daripada kesakitan yang lepas agar efeknya tidak berulang. Itu kan sepatutnya digelar sebagai kerja manusia?




Sebelum saya meninggalkan papan kekunci ini, secara konklusinya.. kesakitan bukan noktah pada sebuah novel yang digelarkan sebagai kehidupan. Kesakitan cuma kesalahan ejaan yang boleh dihilangkan dengan memadamkan kembali kesalahan ejaan itu. Rileks... sebab esok masih ada.


*Bila tengok budak-budak zaman sekarang yang memilih untuk menunggang motosikal berbanding menunggang basikal membuatkan saya faham pada peredaran zaman. Ya, mungkin satu hari nanti bila mereka ada blog dan mahu bercerita tentang pengalaman masa kecil... mereka boleh bercerita pasal peristiwa jatuh dari motosikal. :)

Ahad, 11 Mac 2012

BABAK DUA

Assalamualaikum WBT.


Melepasi gerbang Mac membuatkan saya sedar dan tersentak. Blog ni dah setahun ditubuhkan. Hahahaha... sekejap je rasanya. Rasa seperi baru dua tiga hari lepas blog ni dinyawakan oleh jari-jari ni. 


Hampir 365 hari cuma 50 lebih je postnya? Hahahaha... okey. Yang ni saya akui. Saya bukan seorang yang rajin mengemas kini blog. Antara faktornya ialah saya bukan spesies yang tercangak lebih 12 jam di hadapan skrin komputer dan saya selalunya cuma akan menaip entri bila ada mood yang mencurah-curah. Kualiti bukan kuantiti. Mungkin istilah ini sesuai untuk saya gambarkan  perangai saya.


Maaf banyak-banyak kalau cara saya ini tak selandasan dengan pemikiran anda. Maaf banyak-banyak kalau idea-idea saya sebelum ni tak sehaluan dengan idealogi anda. Maaf banyak-banyak kalau bahasa saya selama ini tidak sejiwa dengan emosi anda. Insya-Allah. Blog ni akan saya perbaiki dari masa ke masa. Kita kan sebagai manusia belajar tiap-tiap hari? 


Jika saya mampu untuk memilih mimpi, saya mahu bermimpi agar saya akan terus menconteng di ruang ini. Setahun tempohnya ruang ini dijadikan sebagai tempat untuk saya berkongsi pelbagai cerita dunia dari lensa saya sendiri. Itu bukan suatu perkara yang dikategorikan sabagai 'main-main.' Ya, seperti yang saya katakan. Saya sememangnya mahu blog ini untuk terus bernyawa pada masa-masa akan datang.





 INSPIRASI APRESIASI ASPIRASI 

Inspirasi saya adalah dunia.
Apresiasi saya kepada pelakon-pelakon di bumi ini.
Aspirasi saya untuk mata-mata anda yang sudi singgah di ruang ini.

TERIMA KASIH

Ahad, 4 Mac 2012

PEJUANG, PEMIMPIN DAN PEREMPUAN

Assalamualaikum WBT.


Novel cinta klise sudah saya genggam di tangan. Disebabkan dah tak ada pilihan dan terdesak untuk mengisi masa bosan, saya capai sahaja mana-mana novel cinta yang agak menarik untuk diletakkan di kaunter pembayaran. Entah kenapa pula, hati saya tergerak untuk mengelilingi sekali lagi rak-rak novel yang terdapat di gedung buku tersebut. Mata ini meneliti hampir setiap buku yang terdapat di situ. Lalu, tiba-tiba saya terpandang pada sebuah buku yang letakknya agak terpencil daripada buku-buku lain.



Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan
Terus saya capai lalu saya letakkan kembali novel cinta yang asalnya menjadi pilihan saya di raknya kembali. Menoktahkan pembacaan selepas tempoh dua hari, sejujurnya, inilah kali pertama saya membaca novel sejarah sehingga tamat. Penilaian saya terhadap novel ini, Azzah AR berjaya menterjemah Shamsiah Fakeh dengan cara yang tidak berlebih-lebihan dan saya mudah faham dengan kronologi-kronologi plot novel ini. Beliau berjaya menterjemah Shamsiah Fakeh sehingga kita merasakan bahawa kisah itu sedang bermain-main di hadapan mata.


Apa yang membuatkan jari ini laju saja mencapai naskhah setebal 265 muka surat ini? Realitinya, jari yang sama ini pernah mengarang satu puisi khas untuk wanita bernama Shamsiah Fakeh yang bertajuk Shamsiah Fakeh : Andai Kau Boneka hampir dua tahun yang lepas (satu hari nanti saya akan kongsikan di ruang ini). Jari yang sama ini juga pernah menyelak halaman majalah Mastika yang mengupas cerita tentang seorang Shamsiah Fakeh. 


Jadi, ketika ada manusia-manusia yang mencerca beliau, pemikiran saya yang masih setahun jagung ketika itu merasakan satu emosi yang berlainan. Emosi itu tidak menghina seperti yang lain-lain. Emosi itu juga tidak bereaksi "aku peduli apa?" Tetapi, emosi itu menyelusuri kisah yang tersorok di sebalik ketebalan buku teks sejarah. Kisah seorang pejuang yang bergelumang di medan lumpur. Emosi itu kemudiannya membuatkan saya meletakkan Shamsiah Fakeh dalam singgahsana yang tersendiri.






Merdeka pada matanya lari daripada pengertian golongan intelektual yang lain. Merdeka pada seorang pejuang seangkatan dengannya adalah kebebasan yang sudah lama sepatutnya menjadi milik mereka tetapi dirampas dan dijaga rapi oleh orang luar yang cuma tahu bergoyang kaki. Merdeka adalah satu pengembalian hak mutlak yang telah lama hilang. Merdeka adalah memijak bara api, selagi tidak sakit selagi itu ia tidak bermaruah. 


Harga diri yang tinggi menyebabkan dia enggan tunduk merayu pada penjajah. Kerana harga diri dia lupakan kain batik dan lemah lembut, dia pakaikan seluar dan lumpur pada kulit. 


Selama ni, saya sekadar mengagumi beliau. Ya, ketika ada manusia yang mencebik bibir, saya tetap dengan pendirian saya. Lalu, bila mereka bertanya... "Kenapa Shamsiah Fakeh disamakan dengan Tunku Abdul Rahman?" Saya cuma membisu kerana jawapan yang bakal keluar dikhuatiri akan memakan diri. Usai membaca novel ini, baru saya mengerti keseluruhan cerita yang sebelum ini cuma separuh saya hadamkan. Sekarang saya punya alasan kenapa saya mengagumi beliau sebagai seorang pejuang kemerdekaan. 


Saya belajar maksud kemerdekaan pada perspektif yang berbeza. Saya belajar erti hidup moyang-moyang kita yang sanggup mengenepikan hidup sendiri lalu meletakkan perjuangan menghalau penjajah di tangga nombor satu. Saya belajar membina jati diri dengan sendirinya. Saya belajar menghargai setiap keringat pejuang-pejuang yang tidak berbaju mewah. 


Kini, saya faham apa itu merdeka secara holistiknya. Kini, saya mengerti jawapan yang akan disuarakan hati saya bila ada manusia yang meludah hina. Kini, saya abadikan wanita ini dalam teks sejarah otak saya. 






Untuk Shamsiah Fakeh. Andai kau boneka, ketahuilah... biar semua orang menghina, biar tidak ada satu buku pun yang mentakrifkan kau sebagai seorang pejuang, biar tidak ada satu pingat pun yang membayar titis-titis keringat kau... Biar aku, anak muda ini yang menghargai dan menghayatinya.


Terima kasih untuk semua pejuang kemerdekaan. Dari krew-krew Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Leftenan Adnan, Shamsiah Fakeh dan lain-lain. Terima kasih kerana menghulurkan kami oksigen untuk kami bernafas sebagai seorang Malaysia. 


Merdeka ! Merdeka bukan untuk 31 Ogos sahaja. Merdeka untuk bila-bila masa! 

Khamis, 1 Mac 2012

PENULIS DI MESIN TAIP SKRIP : KRAYON SYAI HIDAYAH

Assalamualaikum WBT.


Desakan dan rayuan *ok melampau daripada Syai Hidayah yang menggesa saya untuk menaip entri mengenai beliau, membuatkan saya terpaksa akur. Hahahaha... Baru lagi saya kemas kini blog ni pasal 'penulis di mesin taip skrip.' Hari ni, detik saya menaip ni, sekali lagi saya nak buat perkara yang sama. 


Syai Hidayah. Permulaan pengenalan kami adalah ketika kami berada di Tingkatan 1. Dari Tingkatan 1 sampai tingkatan 5, kami sekelas. Tapi, dalam tempoh lebih kurang 5 tahun tu, kami cuma betul-betul menandatangani perjanjian KAWAN SAMPAI MAMPUS ketika pengenalan itu mencecah usia empat tahun. Lama kan? Situasi itu berlaku pun disebabkan tragedi yang kami tempuhi bersama-sama. Mungkin ketika itu masa yang sebetulnya untuk kami kenali mana hitam dan mana putih secara lebih jelas. Macam entri sebelum ni laungkan, dia adalah antara kawan yang sebenarnya berdiri pada kadar jarak sentimeter daripada saya. 





Sejujurnya saya akui, saya bukan jenis orang yang pandai 'berkawan.' Hahahaha... saya agak sukar untuk menerima kawan yang saya maksudkan sebagai sebenar-benarnya kawan. Syai Hidayah antara individu yang melepasi  'ujian penapisan' tersebut. Mungkin disebabkan saya selesa bila bercakap, berjalan atau ketawa dengannya. Atau secara konklusinya, kami mempunyai hubungan kimia yang sangat kuat.

Syai Hidayah antara pensil yang mengajar saya tentang satu sisi kehidupan yang lain. Mengenali dia membuatkan saya lebih sedar akan realiti, manusia yang tak sempurna tak semestinya tak boleh menjadi manusia yang lebih baik. Mengenali dia membuatkan saya sedar bahawa semalam bukannya esok. Mengenali dia membuatkan saya menjadi lebh berani untuk mencuba mana-mana petak kehidupan dengan lebih yakin.

Seorang yang agak sarkastik pada kata-katanya. Lawak yang kadang-kadang langsung tak boleh nak dijangka. Idea-idea gila yang mehitam atau memutihkan hari-hari kami. Penasihat yang telus dan tak bertapis-tapis nasihatnya. Ini semua antara faktor yang menyebabkan hubungan persahabatan kami menjadi  lebih akrab.

Apa yang lagi penting yang saya mahu kongsi dengan mata anda yang sedang membaca, saya lebih matang dalam 'perjalanan menjadi kaunselor bila berkawan dengan beliau. Atau dalam erti kata lainnya, dia merupakan bahan eksperimentasi saya dalam melunaskan tanggungjawab sebagai seorang kaunselor. Saya tak tau apa efeknya nasihat saya kepada dia. Tetapi, apa yang sedar, bila saya cuba 'membetulkan' dia, dalam masa yang sama, saya juga belajar daripada nasihat saya itu sendiri.


Ketika kami sedang galak melalui mana-mana lorong demi mempelajari sebuah subjek bernama kehidupan yang menuntut energi kami menjadi manusia, persahabatan ini tak akan sesekali hilang sebegitu sahaja. Bergaduh, bertekak dan berselisih pendapat, itu normal dalam mana-mana persahabatan. Itu bukan harganya untuk kami putuskan persahabatan kami dengan mudah. 





Untuk Syai Hidayah... aku tahu aku jarang SMS kau. Aku tahu aku selalu tolak ajakan kau untuk lepak sama-sama. Aku tahu mungkin sedikit sebanyak kau terasa dengan sikap aku. Tapi, satu yang kau kena tahu... semua tu tak akan sesekali menjadi penyapu yang akan menghalau semua 'janji-janji' kita untuk menjadi kawan sampai bila-bila. Hahahaha... 


Terima kasih sebab kau sudi jadi pelanggan tetap khidmat kaunseling aku. Terima kasih sebab kau sudi jadi panadol yang hilangkan sakit kepala. Terima kasih sebab kau sudi jadi Febreze yang hilangkan bakteria dalam hidup. Terima kasih sebab kau sudi jadi pensil yang menulis dan melengkapkan kisah 
'penulis di mesin taip skrip.'
 TERIMA KASIH RATU PANTUN!!!