Isnin, 30 November 2015

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 1

Assalamualaikum WBT.

Mengenali ‘mereka’ – sahabat-sahabat YDP-ku -  mungkin membuka satu muka surat baharu dalam hidup agaknya. Perkenalan kami datang dari latar belakang yang berbeza-beza. Seorang dari kolej sana, dari daerah sana, pulau situ, pulau sini. Dan... boom! Sejujurnya, aku tak tahu di mana titik permulaan kami mula rapat kerana hal yang satu ini berlaku tanpa rencana, tanpa sedar. Bergurau, berjumpa dan berdiskusi hampir setahun lamanya membuatkan kami rapat antara satu sama lain. Pernah bekerja juga beberapa kali dengan mereka berbekalkan satu misi yang sama iaitu menjaga kebajikan insan lain. Mungkin, faktor-faktor itu yang merapatkan jurang antara kami.

Lalu, entah semangat supernatural mana yang merasuk, tiba-tiba kemahuan untuk ke seberang laut itu menjadi begitu membuak-buak di dalam diri. Idea tak akan berjalan tanpa usaha, kan? Realiti tak akan terlaksana tanpa angan-angan kosong, kan?

Jadi, nah… beberapa helai kertas proposal terhasil. Proposal itu kekal sebagai beberapa helai kertas yang tercatat ayat-ayat di atasnya. Itu sahaja fikiran kami. Kerana pada aku program ini cukup mega. Pendek kata, nak diluluskan memang payahlah jugak. Sejujurnya, aku sedikit ragu-ragu ketika itu. Kalaulah sekali pun proposal ini diluluskan, mungkin destinasinya tidaklah sejauh itu – yang mana, kami mungkin terpaksa mengubah destinasinya. Tidak Indonesia, mungkin mana-mana negara Asia Tenggara. Seperti biasa yang berlaku sebelum-sebelum ini.

Rezeki mungkin. Kami terkedu apabila dimaklumkan bahawa permohonan kami lulus. Lulus! Maksudnya Istanbul sudah kelihatan bayang-bayangnya di hadapan mata! Nak percaya atau tidak? Itu persoalan yang bermain di fikiran sebenarnya dari momen kami tahu proposal itu diluluskan hinggalah membawa ketika kami sudah berada di dalam perut kapal terbang. Ya kan aku kata? Aku sampai susah betul nak percaya bahawa kami akan ke Istanbul!

Beberapa bulan sebelum kami ke Istanbul, kami kerap berjumpa antara satu sama lain. Tidak ‘muka-ke-muka,’ setidak—tidaknya syukur ada Whatsapp untuk memudahkan kami berhubung dengan rakan kami yang nun jauh di Sandakan dan Labuan.Perancangan diatur cantik-cantik. Kerja dijalankan kemas-kemas (Insya-ALLAH).

Program mana yang tidak dilanda masalah kan? Aku rasa mana-mana program sekali pun, sesempurna mana pun ia, pasti terpalit masalah walau secuit. Beberapa hari sebelum ke Istanbul pun kami masih lagi dihujani dugaan demi dugaan.

Namun, payah macam mana sekalipun, kami akhirnya tiba di hari yang kami tunggu-tunggu. Berat macam mana sekali pun, pergi tetap pergi. Tiket dah ada. Beg dah disumbat semahu mungkin. Baju sejuk sudah diambil dari dobi. Gambar teaser pun sudah bersepah-sepah di Instagram.

Dan…



Kami terbang ke Kuala Lumpur dahulu daripada Kota Kinabalu. Berkampung seketika di KLIA1 sementara menanti penerbangan ke Abu Dhabi. Perangai aku kalau dah sampai di airport, aku jenis malas betul nak usung barang banyak-banyak. Di tangan ada hand-carry, lugage yang dah terpatah rodanya, banner lagi. Hai, cukup aku malas! Sebab itu, pantang je nampak kerusi, terus kami berlabuh.

Sebelum entri yang ini ditutup, aku rasa tak lengkap episod-episod travelog ini kalau cerita yang satu ini tidak ‘direkodkan’ sekali. Entah petunjuk apa yang Tuhan mahu beri, mungkin juga apa yang berlaku itu satu peringatan kepada kami.

Aishah tiba-tiba menjerit. Not-not dolar yang tersimpan kemas di dalam beg duitnya boleh hilang dikebas orang. Ke hulu ke hilir juga untuk menguruskan kes itu. Kami yang berkumpul ketika Aishah menguruskan hal tu, termenung dan berpandangan sesama sendiri.

Muhasabah diri. Throwback fikir apa yang Tuhan ‘hantar’ kami dalam perjalanan mahu ke Istanbul ini. Syaitan menghasut sedikit sebanyak. Apa sebenarnya yang kami dah buat sampai sebegini banyak dugaan yang perlu kami lalui? Rasa macam bertubi-tubi pulak dugaan yang kami perlu hadapi dalam mahu ‘membayar’ harga ke Istanbul. Sudahlah sebelum sampai ke hari ini, bertubi-tubi kami diduga. Sudah hampir memasuki perut kapal terbang pun, ada lagi dugaan yang menghantui.

Mungkin apa yang berlaku itu, satu alarm yang Tuhan berikan kepada kami. Fikir-fikir, lebih baik duit tu hilang di sini berbanding hilang di negara orang. Setidak-tidaknya, kami sedar lebih awal. Kami seperti dihantar mesej oleh Tuhan agar tidak terlampau gembira, sehingga kami alpa.

Yang hilang tetap hilang. Aisyah kesat air mata, on-kan kembali mood ke Istanbul walaupun yang hilang itu boleh tahan besar amaunnya – kepada ‘mak cik mengandung’ yang mengambil wang itu, moga Allah memudahkan jalanmu nanti di akhirat. Hand-carry, pasport dan lain-lain aksesori sudah kemas di dalam genggaman kami.





Jadi, ayuh. Istanbul, aku datang!

Jumaat, 6 November 2015

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : A PROLOGUE

Mata aku terbuka luas bila secara tiba-tiba suara kapten Etihad yang kami huni sekarang bergema melalui corong earphone yang memang dari awal lagi sudah terlekat di telinga. Sedikit sebanyak, fokus aku (sebelum terlelap tadi) terhadap 'The Devil Wears Prada' yang tadinya terpampang di skrin di hadapan aku, terganggu. Ambil masa jugak sebenarnya untuk tunggu terjemahan bahasa Arab yang digunakan. Beberapa saat  kemudian, baru aku mula faham intipati mesejnya. Katanya, Etihad yang kami huni kini akan tiba ke Istanbul dalam masa beberapa minit sahaja lagi.

Tak berapa lama kemudian, skrin di depan sit aku mula menunjukkan sayup-sayup view tanah yang sebelum ni ditutup oleh awan. Makin jelas, jelas dan jelas.



Aku pandang Sila yang duduk kat belah kiri aku. Aku pandang kanan, pandang Su dengan Aishah. Aku on kamera iPhone, on selfie mode, aku angkat tinggi dan intai muka Im, Pie, Dana, Ling dan Arep yang duduk kat belakang kami.

Mata aku kembali memandang daratan Istanbul yang semakin hampir. Dalam hati, dah macam air batu campur, dah macam rojak special dekat kafe library. Masa tu, baru timbul perasaan 'percaya-tak-percaya.' Peliknya, aku tak rasa pun perasaan macam ni masa di KLIA sebelum ni. Apatah lagi masa transit di Abu Dhabi tadi.

Perasaan teruja tu boleh pulak pilih timing. Cantik-cantik datang masa Istanbul dah ada depan mata. Masa tu baru kami berpandangan sesama sendiri. Siapa sangka, wei? Bermula dengan hanya beberapa helai kertas proposal, akhirnya mimpi yang satu ni terbentang di depan mata. Lepas 1001 cabaran, dugaan dan macam-macam lagi, akhirnya Istanbul kami lihat dengan mata kepala sendiri.

Sebelum ni, kalau diminta untuk senaraikan tempat mana dalam dunia ni yang aku nak pergi sangat, awal-awal yang aku sebut ialah Istanbul. Memang dari dulu lagi aku sangat impikan Istanbul. Bila baca sejarah dia, tengok di Google gambar-gambar Istanbul, masa tu aku cuma letak dalam hati mungkin Istanbul cuma kekal sebagai mimpi. Masa tu, sikit pun aku tak pernah jangka, Istanbul yang dah aku simpan baik-baik dalam mimpi, hari ni dalam masa beberapa minit sahaja lagi, hidung aku akan menyedut oksigen kota tu. 

Daratan semakin hampir, tali pinggang keselamatan dah dipasang kemas-kemas. Debar dalam hati, jangan cakap. Menggila macam 7.9 skala Ritcher. Hagia Sophia, Masjid Biru, tembok Konstantinopel, aiskrim 'lambung' dah macam memanggil-manggil aku. Sumpah, aku excited!

Seketika kemudian, bunyi tayar berdecit menyentuh landasan tar Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul menandakan kami telah selamat mendarat di bumi. Fuh! Let's the journey begin!



*Perjalanan kami ke sini, kalau nak digambarkan dalam satu perkataan, tak ada perkataan yang boleh menggambarkannya. Pulang dari Istanbul, aku rasa sangatlah rugi jika pengalaman di Istanbul cuma terzahir melalui ratusan gambar di Instagram. Aku mahu tulis perjalanan ini. Untuk aku. Untuk masa tua nanti. Untuk sesiapa sahaja yang ikhlas. InsyaAllah. Entri yang ini akan ada episod-episodnya. Bukan sebab nak menunjuk, bukan sebab tak ada kerja lain. Cuma bagi aku, lagi cantik kalau setiap satu hari tu aku rakamkan dalam entri-entri yang berasingan. Kemas dan puas hati.