Rabu, 9 Januari 2013

KALENDAR YANG TAK AKAN HILANG

Assalamualaikum WBT.

Okey, hari ni 8 Januari 2012... hampir sebulan saya meninggalkan alam persekolahan. Hari ini, entah kenapa, saya rasa terlalu janggal. Saya bangun awal pagi tadi dan apabila saya melihat mak dan abah ke Tampin tanpa diisi dengan kehadiran saya di dalam perut kereta tersebut, saya seperti terkaku. 

Janggal. Saya rasa janggal. Selalunya, waktu-waktu itu, saya sudah terlentok di tempat duduk belakang, melayan lagu dari corong earphone sementara menunggu untuk memasuki pagar sekolah. Selalunya, waktu-waktu itu, saya sudah memangku beg yang tak terlalu berat dek disumbat dengan nota-nota ilmiah. Selalunya, waktu-waktu itu, saya mungkin sedang terkejar-kejar ke pejabat sekolah untuk menguruskan perhimpunan pagi. Selalunya, waktu-waktu itu, pantang ada masanya cikgu tidak menembusi kelas, saya sudah bergelak sakan bersama dengan rakan. 

Selalunya....

Saya lihat pada kalendar di skrin fon genggam. Tahun 2013 sudah menjengah. Paparan itu sekali gus 'menampar' saya dengan kenyataan bahawa saya sudah tidak ada di waktu yang lepas lagi. Saya bukan lagi Faiz yang ada di ruang 2012 mahupun 2011. 

Itu realiti yang sememangnya berputar. Untuk mengulangi setiap momen yang tertera pada jalan-jalan 2012, hal itu sememangnya tidak mungkin. Saya cuma ada otak untuk menyimpan semua memori itu. Memori ketika kami berkampung di kem pengakap. Memori ketika kami melaksanakan tugas minggu orientasi buat adik-adik di bawah kami. Memori ketika saya sedang bermesyuarat dengan exco-exco badan pengawas. Memori ketika kami sekelas mengadakan jamuan sebaik sahaja duit kelas yang terkumpul mencukupi. Memori ketika kami beramai-ramai mengaminkan doa sebelum memulakan pelajaran. 

Sesiapa sahaja yang pernah berada di dalam lingkungan keluarga Prauniversiti atau Tingkatan Enam pasti merasakan perkara yang sama. Pengalaman setahun lebih itu amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan pengalaman 11 tahun yang sudah. Berbeza. Benar kata orang, apabila kita berada di Tingkatan Enam, kita akan lebih menghargai waktu-waktu sekolah yang tak pernah kita hargai sebelum ini. 

Kami terlalu rapat sehinggakan pelajar kelas yang sana boleh makan sepinggan bersama-sama dengan pelajar kelas yang sini. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap masalah peribadi tersimpan kemas dalam genggaman rakan yang lain. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap konflik yang dilakukan oleh salah seorang daripada kami dibetulkan sebaik mungkin. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap komplot mampu dijalankan kerana apabila seorang bersetuju, semua pasti akan mengikut. Kami terlalu rapat sehinggakan sehari sahaja bergaduh, dunia terasa terlalu sepi.

Atas sebab apa yang mendorong kami menjadi begitu rapat? Sedangkan sebelum ini kami datang daripada sekolah, latar belakang dan kisah yang berbeza-beza? Harus soalan ini ditanya oleh sesiapa sahaja yang melihat situasi ini.

Semua yang pernah berada di alam Tingkatan Enam pasti faham. Apabila kami memilih untuk memasuki alam ini, kami sedia maklum akan halangan yang bakal kami tempuhi. Antaranya ialah pandangan masyarakat terhadap kelompok ini iaitu sama ada terlalu rendah sehinggakan pilihan ini dianggap seperti tidak relevan sama sekali ATAU terlalu tinggi sehinggakan subjek-subjek yang kami pelajari dianggap amat berat dan mampu memustahilkan kami untuk menembusi pintu universiti. 

Mungkin atas sebab itulah, kami yang bersama-sama menempuhi jatuh bangun perit duka dalam cara yang tersendiri selama ini(saya tahu pasti pelajar institusi lain ada halangan dalam cara mereka sendiri) mampu untuk membina satu tali yang diikat kuat. Kami tak ramai... seorang jatuh, yang lain pasti merasa sakitnya juga. Hanya sebab ini... ya, hanya sebab ini. Kami suka bersama-sama, kami sakit pun bersama-sama.










Sumpah... setiap momen bersama dengan mereka tak pernah sekalipun tak bermain di dalam otak. Persinggahan saya di 'hentian rehat PraU' ini mengajar saya ilmu yang tak mungkin saya perolehi daripada mana-mana ensiklopedia. Alam ini mewakili sebahagian daripada usia remaja saya yang sememangnya sudah terisi dengan pelbagai cerita drama, aksi dan komedi. Persinggahan yang satu ini menambah apa yang sudah sedia ada selama ini untuk saya bawa ke alam yang akan datang pula. 

Untuk penutup, saya tak berminat untuk mengucapkan penghargaan kepada semua warga PraU memandangkan saya sudah berkali-kali melakukannya. Saya cuma berminat untuk menyampaikan pesanan kepada mereka yang sewenang-wenangnya mencerca kami yang berada di dalam lingkungan keluarga PraU.

Ya, kami masih berpakaian sekolah dan mengheret beg sekolah, tidak seperti anda. Ya, kami bangun pada awal pagi semata-mata untuk menapak ke dalam pagar sekolah, tidak seperti anda. Ya, kami masih bergelar pelajar sekolah. Ya, kami menuntut ilmu yang terlalu ekstrim. 

Wahai manusia-manusia berhati mulia... untuk masa hadapan, jangan tanya kenapa bangsa kita tidak berada di hadapan selagi sikap anda yang suka mengkritik negatif dan buta pada positif itu masih wujud di dalam diri. Tidak ada salahnya sesuatu pilihan itu jika Tuhan yang mencipta pilihan tersebut. Kan setiap kesusahan ada hikmah?? Sudah. Bagi yang masih berdegil, letakkan sahaja senjata anda. Ambil secawan kopi dan duduk. Lihatlah... masa hadapan kami akan lebih cerah berbanding masa hadapan anda, wahai pengkritik yang cuma tahu mengkritik. 

Sabtu, 5 Januari 2013

FAIL PUISI-PUISI AKU : PUISI UNTUKMU YAHUDI

Assalamualaikum WBT.

Tempoh hari, ketika saya melakukan operasi menyelongkar kotak-kotak lama, saya terjumpa sebuah buku nota yang saya sangka telah hilang lebih kurang empat tahun yang lepas di salah satu kem yang saya sertai. Buku kumal inilah yang menjadi saksi kepada permulaan saya menggarap kertas demi kertas puisi-puisi yang menterjemahkan emosi setahun jagung saya ketika itu. Ya, buku inilah yang melihat lemah kuat percubaan-percubaan pertama saya. 


Antara lambakan puisi yang terdapat di dalamnya, saya tertarik kepada salah satu puisi yang bertajuk "Sehitam Israel, Semerah Palestin." Puisi yang ditulis pada tarikh 6 Februari 2009 ini menyebabkan saya tenggelam di dalam bait-bait ayatnya. 

Sejak daripada kecil, saya membesar dengan melihat kerakusan Zionis di bumi Palestin. Daripada taraf gelandangan, tiba-tiba dijulang seperti maharaja oleh seluruh kuasa dunia yang tidak bermata. Puisi ini merupakan antara suara terawal dalam menempelak kebiadapan mereka. 


Sehitam Israel, Semerah Palestin

Pada satu perjalanan masa,
Dunia pinjaman ini digegarkan,
Menyaksikan darah umpama lautan,
Menatap tangisan laksana gerimis.

Meskipun tusukan peluru tiada permata,
Bergema suara di udara yang bilau,
Debu yang berterbangan mengaburi mata,
Namun hati masih celik,
Dalam menilai antara tubuh manusia dengan topeng syaitan.

Kudrat mereka tidak bersisa
Jeritan sepi dalam dentuman,
Tiada daya bagaikan setitis air yang terjatuh di atas lahar api,
Ada dalam kalangan mereka yang berdiri melaungkan monolog hati,
Tetapi tetap bungkam di sisi sang raja.

Angkasa saksi segala,
Yang indah rupanya seketika,
Dunia bersuara sehingga ke saat ini,
Saduran kedamaian menjadi hasrat,
Nafaskan keamanan, rejamkan kejahatan,
Agar tiada lagi tompok merah,
Supaya tersingkir segala noda hitam.

Lahirkan tekad nan gergasi,
Putih boleh kembali,
Jika manusia menyulam jari,
Kerana yang suci bakal diwarisi oleh mereka yang bakal mengerti bumi.

Kadang-kadang, subjek yang satu ini sentiasa membuatkan saya hairan. Kuasa-kuasa besar dunia bukan main menggelinjang apabila rusuhan, rampasan kuasa mahupun ketidakadilan berlaku di sana sini penjuru dunia. Tapi, apabila keadaan yang lebih teruk tersimbah di bumi Palestin, mengapa yang HARAM pada mata mereka, menjadi HALAL dengan tidak semena-mena? Mengapa bijak kononnya pada permulaan, kemudian berubah menjadi si tolol dengan begitu mudah?

Untuk mereka yang kononnya bijaksana, biasalah... respon klise terhadap isu ini ialah mereka 'bersaudara' dalam hal merunjam Palestin. Mereka bersekutu. Mereka mahu menghancurkan Islam di muka dunia ini. Mereka mahu itu dan ini. Respon-respon ini sebenarnya belum cukup kuat untuk dijadikan peluru bagi membongkar dan menyelerakkan keegoan mereka yang di sana. Persoalan yang lebih besar ialah KENAPA mereka mahu melakukan itu semua??? Kenapa?

Saya ajukan soalan ini kepada mereka yang berpihak di sebelah sana. Saya tujukan persoalan ini kepada mereka yang menghalalkan setiap titis darah manusia di bumi Palestin. Jawab. Tolong jawab soalan ini. Tolak tepi seketika isu Iluminati. Tolak tepi seketika faktor Freemason. Jawab dengan mengikut perspektif anda sebagai manusia yang sempurna otaknya.

Adakah Islam merupakan ancaman yang paling besar kepada kalian? Adakah Palestin halangan yang terhebat untuk kalian menghebahkan kehebatan masing-masing? Adakah agama ini menjentik kaki anda yang sedang galak berlari ke singgahsana teragung di dunia? Tidak adakah ancaman lain untuk difokuskan sehinggakan seluruh ketakutan kalian dihalakan ke arah Islam?

Beginilah wahai manusia-manusia yang tunduk menyembah sang Dajjal... saya tahu kalian mampu menghitung dengan mudah kuantiti hinaan yang kalian terima daripada setiap penjuru dunia. Saya yakin kalian sudah menghadamkan jutaan kata-kata nasihat daripada mereka yang mempunyai rasa simpati. Anda diboooo oleh manusia yang bukan sedikit. Anda diboikot oleh segenap dunia. Semua halangan ini, saya pasti, sudah lali di telinga anda. 

Buatlah seteruk mana sekalipun provokasi, kalian tetap dengan kepala yang bersalut batu. Bikinlah sehebat mana sekalipun protes, kalian tetap membutakan mata... memekakkan telinga. Rakyat Palestin tetap dijadikan sebagai boneka. Tulang yang bersalut daging milik penghuni Palestin tidak apa-apa jika hendak dibandingkan dengan revolver canggih milik kalian. Tangisan ibarat muzik pop di telinga. Maruah bagaikan tisu yang bergumpal-gumpal di dalam tong sampah. Wanita dan anak kecil bagaikan Barbie Doll yang boleh kalian lemparkan.

Atas alasan inilah, penutup untuk entri ini tidak akan sesekali saya noktahkan dengan konklusi yang menyeru kalian untuk menghentikannya. Saya tidak akan menghabiskan entri ini dengan frasa klise yang mahukan kalian letakkan senjata dan menginsafi perbuatan kalian. Tidak. Sebaliknya, saya mahu menyimpulkan entri ini dengan konklusi :

Wahai manusia yang berkiblatkan Dajjal, Freemason, Iluminati dan segenap sampah akhirat, anda mahukan Palestin? Ambil.... Anda mahukan Al-Aqsa? Silakan... Anda mahukan hak ke atas setiap butir tanah Palestin.. ambillah.

Kenyataannya... anda tahu ataupun berpura-pura tidak tahu, tanah yang direbut-rebut itulah yang akan menjadi tempat 'tuhan' kalian direjam. Tanah itulah yang akan menjadi saksi 'tuhan' kalian ditombak oleh Nabi Isa a.s. Tanah itulah yang akan melihat betapa 'tuhan' kalian yang selama ini gagah berdiri menjadi larutan garam dek gentar dengan kebenaran yang hakiki. Dunia ini belum berpenghujung seperti yang kalian impikan kerana selepasnya ada akhirat yang menanti. Apabila akhirat menyapa kelak... tiada satu kuasa pun yang boleh menandingi ALLAH S.W.T.

Nah... terima, hadam dan simpan kenyataan ini baik-baik. Sekian.