Ahad, 22 Januari 2012

PANDANG LANGIT LIHAT BULAN

Assalamualaikum WBT.
Entri sebelum ni, saya pernah menggali lagu Hurt di mana itu tergolong di dalam grup lagu Bahasa Inggeris. Mungkin sedikit sebanyak, saya tertanya-tanya kepada diri sendiri. Ada ke lagu Bahasa Melayu yang hebat seperti lagu Hurt? Saya imbas kembali kad memori saya. Saya jelajah dan saya dengar satu persatu lagu Bahasa Melayu berentak balada yang saya miliki.


Lalu saya terjumpa. Lagu retro Arwah Tan Sri P. Ramlee. 
Engkau Laksana Bulan 



Engkau laksana bulan
Tinggi di atas kayangan
Hatiku dah kau tawan
Hidupku tak keruan

Mengapa ku disiksa
Kenapa kita bersua
Berjumpa dan bercinta
Tetapi menderita

Ooooo...
Kau cabutlah nyawaku
Oh Tuhanku... mengapakah
Kau bezakan hidupku?
Oh Tuhanku... mengapakah
Manusia begitu


Lagu petikan dari filem lama Penarek Becha ini menyelusuri emosi seorang penarik beca bernama Amran yang menyimpan perasaan pada anak orang kaya, Azizah. Penceritaannya mungkin dianggap stereotaip pada sesetengah manusia yang kerap saja mengkritik kuman yang kelihatan. Tapi, pada mata saya... cerita Amran dan Azizah melalui bait-bait Engkau Laksana Bulan membawa warna yang tersendiri. Ini menjadikan lagu ini berdiri sebagai sebuah lagu yang dicipta kerana mengandungi cerita tersendiri. 

Liriknya terlalu pendek. Tetapi, tiga rangkap itu sudah mampu untuk membawa perasaan yang mendengar terbawa-bawa pada kisah Amran dan Azizah. Sebenarnya, lagu ini seolah-olah suara Amran pada Tuhan bila dia mengadu tentang cintanya dengan Azizah. Amran seolah-olah mengasingkan diri daripada puluhan manusia yang meludah jijik dan mengerling hina padanya hanya kerana dia mencintai gadis yang tidak sama taraf dengannya. Lalu dia mengadu pada malam, pada bulan, pada Tuhan perasaannya yang hancur menjadi debu. Kerana dia sedar dia bukan siapa-siapa. Kerana dia sedar dia tidak ada sepuluh briefcase yang sarat dengan not-not kertas untuk dia pinang Azizah. Kerana dia sedar dia cuma ada beca yang sudah uzur, bukan motokar berkilat yang menjalar. 

Mendengar lagu ini membuatkan saya merasakan bahawa suara P Ramlee berhasil membawa emosi yang secukupnya. Tidak kurang, tidak berlebih-lebihan. Malah, apa yang saya fikirkan, lagu Engkau Laksana Bulan bukan cuma menceritakan kisah Amran dan Azizah. Sebaliknya ia turut menceritakan kisah yang ada di sebalik P Ramlee. P Ramlee seolah-olah pernah melalui pengalaman seperti mana lagu itu. Mencintai seseorang yang berada di kayangan sedangkan dia berpijak di bumi yang berpasir.


Perit untuk dia melihat pada langit malam bagi melihat bulan sedangkan dia tahu, dia tidak punya kuasa untuk menyentuh walau sesaat pun bulan itu. Dia cuma mampu untuk memandang dari jauh kerana dia bukan bintang yang boleh bercahaya di sekeliling bulan itu. 


Emosi sayunya benar-benar terasa ketika dia menyebut "Kau cabutlah nyawaku..." Baris itu seperti memberitahu bahawa dia sudah berputus asa untuk mencintai meskipun perasaan itu masih menebal lagi di dalam hatinya. Betapa dia sebenarnya menyesali sikap manusia yang gemar membeza-bezakan darjat berbanding ikhlas hati. Betapa dia menyesal kerana jatuh cinta pada tempat yang salah. 


Saya dapat merasakan keperitan emosi pada suara P Ramlee yang mendatar pada hampir keseluruhan bahagian. Seolah-olah P Ramlee benar-benar berada dalam keadaan yang putus asa untuk menyanyikan lagu ini. Seolah-olah P Ramlee benar-benar berada dalam keadaan putus cinta untuk menyanyikan tiga rangkap lagu ini. 

Lagu ini lagu terbaik? Ya. Lagu ini mampu menunjukkan emosi tersendiri? Ya. Saya kagum pada mereka yang pernah wujud pada era P Ramlee. Mereka mampu untuk menghasilkan lagu yang masih lagi relevan biarpun berpuluh tahun masa berlalu. Lagunya ada jiwa meskipun pada kadar muzik dan lirik yang terlalu minimum. Saya pernah dengar lagu Engkau Laksana Bulan dalam bervariasi versi. Tetapi bagi saya, versi asal ini tetap yang terbaik.


Akhir sekali, wang ringgit takkan boleh beli kebahagiaan di akhirat kelak. Kaya miskin tak ada bezanya kerana akhirnya nanti kita akan kembali ke perut juga. Kita semua sama. Meskipun ada yang di atas dan ada yang melata di bawah. Sekali lagi, kita semua sama. Tak adil untu kita, manusia biasa, untuk mengadili mereka yang kurang bernasib baik. Di dunia ini, kita masih lagi boleh untuk mengherdik dan menghina. Tetapi, siapa tahu? Dekat akhirat nanti orang yang hina itulah yang lagi tinggi 'darjat'nya berbanding kita. 


Jadi, sebelum terlambat, cepat-cepatlah buat pusingan U.

Jumaat, 20 Januari 2012

SANGKAR SEORANG PEREMPUAN

Assalamualaikum WBT.


Sekali lagi saya nak berkongsi dengan anda satu lagi karya Samsiah Mohd Nor yang berada dalam arkib saya. Novel ni mungkin novel lama, pada pandangan saya. Saya cuma berkesempatan untuk membacanya bila ia diterbitkan kembali.




Bila saya melihat karya ini, saya menilainya sebagai sebuah novel yang nipis tetapi sarat mengendong SMS yang tersirat. Sekali lagi Samsiah Mohd Nor memberikan impak mega kepada jiwa saya. Samsiah Mohd Nor membawa kornea ini untuk menyelusuri hidup seorang wanita. Cerita ini membuatkan kita terfikir akan setinggi mana kuantiti kesabaran kita sebagai seseorang yang bernama manusia yang ditugaskan untuk 'membaca apa yang sudah tertulis.' Cerita ini membuatkan saya kagum pada kuasa seorang wanita, isteri dan ibu. 


Sangkar diprologkan dengan cerita Jazma, seorang anak kampung yang hidup melarat. Dia seorang anak yang taat pada ibunya di mana dia korbankan hidupnya dengan membanting tubuh kecilnya bagi mencari suap-suap nasi buat mulut keluarganya. Takdirnya berterusan apabila dia dihantar ke banglo Andak, saudara jauh mereka, untuk berkhidmat sebagai orang gaji. Dalam gelumang rindu pada ibu serta resah kerana terpisah jauh daripada kehidupan lampaunya, dia bertemu dengan wajah-wajah penuh rahsia penghuni banglo itu.


Andak yang kelihatan sempurna dan baik hati kerana sentiasa bersabar dengan kerenah kakaknya yang berubah-ubah. Herman yang pasif dengan kehidupan dan mengalami kegagalan dalam perkahwinan. Akhir sekali Mak Long yang penuh rahsia. Jalan ceritanya beterusan hinggalah bila tiba pada satu babak, Mak Long yang selama ini dianggap 'bisu' membuka hijab lama.


Penilaian pandang pertama saya yang menganggap Sangkar sedang menyelusuri hidup Jazma ternyata silap. Jazma tidak lebih sekadar benang yang menggerakkan layang-layang. Kerana kehadirannyalah, hijab keluarga itu terbuka. Sangkar itu merupakan simbolik kepada kehidupan Mak Long yang menderita.

Sungguh. Emosi saya benar-benar terasa pada liku-liku kehidupan Mak Long yang penuh dengan hitam. Letakkan diri anda pada diri Mak Long. Dia berkahwin dengan Pateh Awang Chik atas aturan keluarga. Bila ibunya meninggal, adiknya iaitu Andak, diambil tinggal bersama dengan dirinya lantaran Andak tidak punya sesiapa lagi di dalam bumi ini melainkan dia sebagai seorang kakak. Bahagia Mak Long berpanjangan. Dapat dikesan kebahagiaan Mak Long yang meniti hidup di samping suami sesempurna Pateh Awang Chik. Herman dilahirkan lambang cinta mereka. Dan Andak juga tampak seronok atas kebahagiaan kakaknya. 


Takdir sudah tertulis... ketika Mak Long sedang mengandungkan anak yang kedua, dia keguguran. Lantaran itu, dia terlantar di hospital selama sebulan. Di sinilah bermulanya kisah tragis Mak Long. Usai sebulan, dia pulang ke banglo itu. Dia terkesan perubahan susun atur perabot dan cahaya pada wajah Andak. Tiba pada satu saat, segalanya terbongkar apabila Andak hamil, hasil hubungan zina dengan abang iparnya sendiri yakni Pateh Awang Chik.






Penuh tersusun dan tragis sekali Samsiah Mohd Nor mengatur jalan cerita ini. Semenjak daripada peristiwa itu, Mak Long terus menjadi manusia yang 180 darjah berbeza dari kehidupan sebelum ini. Dia diceraikan Pateh Awang Chik dalam terpaksa kerana mahu menutup malu pada perut Andak yang kian ketara. Dia berkurung di dalam kamar tingkat bawah selama bertahun-tahun. Dia membisu dalam air mata bersama dengan dendam dan amarah yang terpendam, walaupun Andak dan Pateh Awang Chik sudah merayu kepadanya. 


Mak Long sekadar mampu untuk melihat anak kandungnya, Herman dijaga adiknya. Dia sekadar mampu untuk mendengar tatkala Herman memanggil Andak dengan panggilan 'emak' sedangkan selayaknya panggilan itu dilontarkan kepadanya. Dia mampu untuk bertahan selama bertahun-tahun di dalam kamar tersebut hanya kerana anaknya. Meskipun dia berdendam pada gelak tawa bahagia Andak dan Pateh Awang Chik yang boleh kedengaran dari dalam kamar sangkarnya, dia tetap bertahan. Cukuplah jika dia dapat melihat dengan matanya sendiri anaknya membesar dilimpahi dengan kasih sayang.


Samsiah Mohd Nor sememangnya mampu merenggut emosi saya yang sedang ceria menjadi muram usai menamatkan pembacaan novel ini. Jijik! Saya hairan. Samsiah Mohd Nor menulis seperti mana kita menulis. Dia menggunakan bahasa seperti mana bahasa yang kita gunakan. Tetapi, apa yang ada pada jari dia sehinggakan perasaan jijik itu boleh timbul sebegitu sekali? Perasaan benci dan sayu begitu kuat merantai diri. 


Sungguh. Saya benar-benar menyumpah pada watak Andak dan Pateh Awang Chik. Sewenang-wenangnya mereka melakukan kesalahan, lalu dengan sewenang-wenangnya juga kesalahan itu diperdagangkan di hadapan orang yang teraniaya. Saya kagum pada penciptaan watak Mak Long. Penuh misteri dan antagonis pada mulanya. Tetapi, semua itu rupanya bersebab. Sangkar yang daripada awal dianggap misteri rupanya menyimpan 1001 kisah duka. 


Siapa di sini yang akan normal bila suaminya dirampas adik kandung sendiri? Siapa di sini yang akan biasa bila anak kandungnya beribukan wanita lain? Tuhan Maha Adil. Cerita Mak Long bagaikan dicipta untuk memberi pengajaran kepada Jazma sendiri bagi melihat dirinya dalam satu refleksi yang berbeza. Itu dari segi Jazma.


Dari segi kita juga sama sebenarnya. Bila kita rasakan bahawa kita adalah manusia yang paling malang dalam hidup ni, sebenarnya besar kemungkinan untuk tanggapan itu menjadi salah. Pandang dan lihat sekeliling lalu tanya kembali soalan kepada diri kita ; 
"Betul ke aku manusia paling malang?" 
Kadang-kadang Tuhan uji manusia di sekeliling kita agar apa yang terjadi itu menjadi 'guru' kepada kita balik. 


Akhir sekali saya konklusikan begini.
Kita berhak menulis apa saja yang kita mahu dalam hidup ni tapi sayangnya kita cuma menulis dengan pensil. Tuhanlah yang berhak untuk memegang pemadam lalu Dia hilangkan segala 'perkataan' yang tidak sepatutnya ada dalam hidup kita itu. 

Khamis, 5 Januari 2012

KALAU KITA BINATANG : BISU SEEKOR DANIA

Assalamualaikum WBT.


Resah yang jelas kedengaran dari ngiauan Dania membuatkan otak ni ditikam dengan ratusan tanda soal. Tambahan pula bila mata ini melihat perubahan ketara pada perut Dania yang sebelum ini bunting dah menjadi kempis. Sah, Dania dah beranak. Itu yang pasti. Tapi, apa yang masih lagi menjadi soalan; di mana?


Keliling rumah dicari. Tak ada. Dari dalam membawa ke luar. Dania hilang seketika dan hanya pulang waktu makan je. Jadi, misi dilancarkan bagi mencari di mana anak Dania. Dania diekori ke mana-mana saja. Lalu... persoalannya terjawab. Dania beranak di rumah orang. Tak perlulah saya sebutkan siapa orang tersebut.


Kucing ini benar-benar sedang melalui satu frasa yang sukar. Anak-anaknya dirampas oleh 'mereka sekeluarga.' Saat kucing yang tak berakal tu berperasaan mahu menjenguk anak yang dikandungnya selama tiga bulan, dia disepak dan diusir. Lebih tepat lagi, hak Dania sebagai ibu dinafikan.


Atas alasan apa manusia tidak berhati perut tu memperlakukan Dania sebegitu rupa? Hanya disebabkan Dania beranak di perkarangan rumah diakah, anak-anak Dania yang cantik-cantik tu dirampas? Hanya disebabkan kucing itu tak ada suara untuk memekik "jangan ambik anak aku!!!" dia boleh diperlakukan sebegitu rupa?





Beberapa info yang mata anda perlu tahu mengenai Dania. Dia dikutip daripada pasar ketika tubuhnya masih lagi bersaiz 'anak kucing.' Kucing gelendangan yang cuma mengharapkan insang-insang ikan yang dicampak ke atas lantai yang kotor. Kucing gelendangan yang hampir kehabisan suaranya hanya kerana mahu mengemis secubit roti canai di warung tepi pasar *roti canai makanan kegemaran Dania. Dania kemudiannya dibawa pulang. Dania pernah beranak sebelum ni dan syukur, ketiga-tiga anaknya hidup dengan sihat. Bila sentuh bab ibu kucing, Dania bukanlah seekor ibu yang cemerlang. Dia tak reti nak gigit tengkuk anaknya untuk dipindahkan merata-rata. Mungkin disebabkan tu, dia tak mampu untuk bawak anak dia lari dari rumah sipolan tu. 


Mata Along bercerita, melihat dengan mata kepala sendiri anak kucing yang baru lahir dimain-mainkan oleh anak si sipolan itu. Diberi susu tin pada bibir-bibir kecil itu, bukan susu Dania yang sepatutnya diberikan. Bila Along pergi menuntut, lantas pembohongan mereka katakan. Lidah murahan mereka berkata; "Itu bukan anak Dania!"


Mana perikemanusiaan seorang manusia sempurna seperti engkau sehinggakan kau sanggup memperlakukan binatang yang lagi rendah tarafnya berbanding engkau itu sebegitu rupa? Jangan ulang ayat skeptikal; Kucing tu binatang. Binatang mana ada perasaan. Kalau kau manusia yang dicanang-canangkan ada perasaan, kenapa kau buat begitu? 


Saya boleh terima kalau anak-anak kecil dia yang menipu mengatakan bahawa itu bukan anak Dania. Tetapi, bila si sipolan yang sememangnya sudah dewasa itu juga turut berfikiran seperti budak yang degil tidak mahu ke tadika, jelas menunjukkan takat kekejaman meningkat jauh lebih tinggi daripada takat kemanusiaan. 


Kemudian, lebih kurang tiga minggu selepas itu... anak-anak si sipolan datang ke rumah mahu memulangkan seekor anak kucing yang sudah uzur dan cuma menunggu jam untuk mati. Katanya ini anak kucing rumah saya. Fuuhhh... lihat tak? Betapa dungunya otak mereka?


Kadang-kadang, saya pernah terfikir... Andai kata Tuhan 'memulangkan' kembali situasi seumpama itu pada lantai kehidupan si sipolan... apa yang bakal emosinya jeritkan? Biarlah dia rasa apa yang Dania rasa di saat kucing itu hilang hak untuk menyentuh walau sesaat anak yang dikandungnya sendiri. Biarlah dia rasa apa yang Dania rasa ketika kucing itu dihalau cuma kerana kucing itu mahu menjenguk seketika anaknya yang dirampas. 

Maaf... seperti yang saya pernah katakan dalam entri sebelum ni... hati lelaki yang sedang menaip ini sememangnya sensitif bila bab-bab haiwan ini disentuh sebegitu rupa. 


Cuma satu saja pesan saya pada si sipolan dan sesiapa saja yang berperilaku seperti sipolan, ingat... akhirat itu ada. Qada' dan Qadar itu juga ada...