Ahad, 22 Januari 2012

PANDANG LANGIT LIHAT BULAN

Assalamualaikum WBT.
Entri sebelum ni, saya pernah menggali lagu Hurt di mana itu tergolong di dalam grup lagu Bahasa Inggeris. Mungkin sedikit sebanyak, saya tertanya-tanya kepada diri sendiri. Ada ke lagu Bahasa Melayu yang hebat seperti lagu Hurt? Saya imbas kembali kad memori saya. Saya jelajah dan saya dengar satu persatu lagu Bahasa Melayu berentak balada yang saya miliki.


Lalu saya terjumpa. Lagu retro Arwah Tan Sri P. Ramlee. 
Engkau Laksana Bulan 



Engkau laksana bulan
Tinggi di atas kayangan
Hatiku dah kau tawan
Hidupku tak keruan

Mengapa ku disiksa
Kenapa kita bersua
Berjumpa dan bercinta
Tetapi menderita

Ooooo...
Kau cabutlah nyawaku
Oh Tuhanku... mengapakah
Kau bezakan hidupku?
Oh Tuhanku... mengapakah
Manusia begitu


Lagu petikan dari filem lama Penarek Becha ini menyelusuri emosi seorang penarik beca bernama Amran yang menyimpan perasaan pada anak orang kaya, Azizah. Penceritaannya mungkin dianggap stereotaip pada sesetengah manusia yang kerap saja mengkritik kuman yang kelihatan. Tapi, pada mata saya... cerita Amran dan Azizah melalui bait-bait Engkau Laksana Bulan membawa warna yang tersendiri. Ini menjadikan lagu ini berdiri sebagai sebuah lagu yang dicipta kerana mengandungi cerita tersendiri. 

Liriknya terlalu pendek. Tetapi, tiga rangkap itu sudah mampu untuk membawa perasaan yang mendengar terbawa-bawa pada kisah Amran dan Azizah. Sebenarnya, lagu ini seolah-olah suara Amran pada Tuhan bila dia mengadu tentang cintanya dengan Azizah. Amran seolah-olah mengasingkan diri daripada puluhan manusia yang meludah jijik dan mengerling hina padanya hanya kerana dia mencintai gadis yang tidak sama taraf dengannya. Lalu dia mengadu pada malam, pada bulan, pada Tuhan perasaannya yang hancur menjadi debu. Kerana dia sedar dia bukan siapa-siapa. Kerana dia sedar dia tidak ada sepuluh briefcase yang sarat dengan not-not kertas untuk dia pinang Azizah. Kerana dia sedar dia cuma ada beca yang sudah uzur, bukan motokar berkilat yang menjalar. 

Mendengar lagu ini membuatkan saya merasakan bahawa suara P Ramlee berhasil membawa emosi yang secukupnya. Tidak kurang, tidak berlebih-lebihan. Malah, apa yang saya fikirkan, lagu Engkau Laksana Bulan bukan cuma menceritakan kisah Amran dan Azizah. Sebaliknya ia turut menceritakan kisah yang ada di sebalik P Ramlee. P Ramlee seolah-olah pernah melalui pengalaman seperti mana lagu itu. Mencintai seseorang yang berada di kayangan sedangkan dia berpijak di bumi yang berpasir.


Perit untuk dia melihat pada langit malam bagi melihat bulan sedangkan dia tahu, dia tidak punya kuasa untuk menyentuh walau sesaat pun bulan itu. Dia cuma mampu untuk memandang dari jauh kerana dia bukan bintang yang boleh bercahaya di sekeliling bulan itu. 


Emosi sayunya benar-benar terasa ketika dia menyebut "Kau cabutlah nyawaku..." Baris itu seperti memberitahu bahawa dia sudah berputus asa untuk mencintai meskipun perasaan itu masih menebal lagi di dalam hatinya. Betapa dia sebenarnya menyesali sikap manusia yang gemar membeza-bezakan darjat berbanding ikhlas hati. Betapa dia menyesal kerana jatuh cinta pada tempat yang salah. 


Saya dapat merasakan keperitan emosi pada suara P Ramlee yang mendatar pada hampir keseluruhan bahagian. Seolah-olah P Ramlee benar-benar berada dalam keadaan yang putus asa untuk menyanyikan lagu ini. Seolah-olah P Ramlee benar-benar berada dalam keadaan putus cinta untuk menyanyikan tiga rangkap lagu ini. 

Lagu ini lagu terbaik? Ya. Lagu ini mampu menunjukkan emosi tersendiri? Ya. Saya kagum pada mereka yang pernah wujud pada era P Ramlee. Mereka mampu untuk menghasilkan lagu yang masih lagi relevan biarpun berpuluh tahun masa berlalu. Lagunya ada jiwa meskipun pada kadar muzik dan lirik yang terlalu minimum. Saya pernah dengar lagu Engkau Laksana Bulan dalam bervariasi versi. Tetapi bagi saya, versi asal ini tetap yang terbaik.


Akhir sekali, wang ringgit takkan boleh beli kebahagiaan di akhirat kelak. Kaya miskin tak ada bezanya kerana akhirnya nanti kita akan kembali ke perut juga. Kita semua sama. Meskipun ada yang di atas dan ada yang melata di bawah. Sekali lagi, kita semua sama. Tak adil untu kita, manusia biasa, untuk mengadili mereka yang kurang bernasib baik. Di dunia ini, kita masih lagi boleh untuk mengherdik dan menghina. Tetapi, siapa tahu? Dekat akhirat nanti orang yang hina itulah yang lagi tinggi 'darjat'nya berbanding kita. 


Jadi, sebelum terlambat, cepat-cepatlah buat pusingan U.

Tiada ulasan: