Sabtu, 4 Februari 2012

MEMOIR HARI KECIL

Assalamualaikum WBT.


Lama sungguh blog ni tak dikemas kini. Memandangkan komputer dimasukkan ke wad ICU beberapa hari, jadi proses pengemaskinian tergendala buat beberapa ketika. 


Tak tahulah kenapa otak ni memutar kembali apa yang dah tercatat pada cerita masa kecil. Sesiapa pun di sini, saya pasti, pernah melalui situasi-situasi kanak-kanak yang memang payah untuk neuron kita lupakan. Zaman yang tak memerlukan kita untuk fikir apa yang ada pada hari esoknya; kelabu atau jingga. Yang kita fikir, bangun dari tidur terus fikir nak main apa.


Berkali-kali saya terfikir. Kalaulah masa ni merupakan satu mesin yang boleh saya putarkan kembali, saya nak berbuat demikian. Hahaha... dengar macam dah putus asa dah dengan hidup sekarang. Tak, sebenarnya tak. Emosi ni cuma mahu merasai kembali detik-detik masa kecil dulu. Detik yang tak menuntut kita untuk terlalu serius dalam meniti landasan hidup.


Bila cakap pasal hari kecil, apa yang saya bayangkan? Macam-macam. Terlalu banyak sebenarnya. Dari main hujan sampailah ke mengganggu ibu-ibu ayam yang sedang menjalani proses pengeraman telur. Dari minum petang bersama lepat pisang hasil tangan arwah Wan hinggalah belajar buat air bandung pertama kalinya.


Tapi, untuk entri ni saya cuma nak berkongsi dengan anda satu sahaja item yang masih segar dalam kad memori ingatan saya. Siapa dekat sini yang ingat lagi pada memori Aiskrim Malaysia?





Aiskrim Malaysia antara 'abjad' yang mengisi ruang hari kecil saya. Dengan menunggang basikal yang kerap kali terputus tali basikalnya, kami menuju ke rumah seorang peniaga kecil-kecilan yang kami gelarkan sebagai Wan De. RM1 boleh dapat 10 batang aiskrim. Perisa asam boi, milo dan bandung antara warna-warna yang membuatkan beg plastik menjadi sarat untuk dibawa pulang. 


Lalu, petang yang bosan menjadi nyaman. Tak perlukan gunting untuk mengerat pangkal aiskrim itu. Cukup dengan hanya menggunakan gigi. Tak perlukan televisyen untuk menghabiskan masa sambil menikmati aiskrim Malaysia tu. Cukup dengan hanya bertemankan asap dari timbunan daun-daun kering yang dibakar. 


Mengenangkan memori itu membuatkan saya, yang berdiri di masa sekarang, tersenyum seorang diri. Cukup sweet. Detik itu, aiskrim yang berharga 10 sen itu sudah mampu untuk membuat tekak seorang kanak-kanak menghadamkan manis sebuah kisah hari kecil. Sebuah kisah yang akan dibawa hingga ke hari dewasa. Lalu membuatkan otak tertanya-tanya... 


"Bukankah bagus kalau anak-anak zaman sekarang dapat merasakan pengalaman seperti itu?"

Sekonyong-konyong, bila mengenangkan memori aiskrim Malaysia membuatkan otak ini terkenang pada arwah Wan. Tolong Wan sapu daun-daun kering atau tolong cabutkan uban Wan, Wan akan upah belanja aiskrim Wan De. Sesungguhnya, bukan ganjaran tu yang meninggalkan kesan bila saya dah melepasi zaman itu. Tapi, apa yang lebih berharga adalah kenangan yang tak boleh ditukar kembali bersama dengan arwah Wan. Boleh dikatakan hampir separuh masa kecil saya diisi dengan adanya Wan. 

Membesar dan berlajar dengan kenangan Aiskrim Malaysia mempunyai nilai RM yang terlalu tinggi. Mungkin sekarang aiskrim-aiskrim yang berada di dalam peti sejuk besar di mana-mana kedai runcit atau pasar-pasar raya jauh lebih sedap berbanding aiskrim 10 sen itu, tetapi nilai sentimental yang ada pada aiskrim Malaysia jauh lebih tinggi jika nak dibandingkan dengan semua jenis aiskrim lain yang ada dalam muka bumi ini.

Bila teringat pada memoir masa kecil, saya tahu... semalam adalah guru yang paling jujur. Saya yang berdiri pada garis masa hari ini perlu sedar akan hakikat bahawa kenangan tidak boleh direwind kembali. Tetapi, 'videonya' boleh diulang tayang untuk kita ambil apa yang baik, dan kita buang apa yang buruk. 

Tiada ulasan: