Isnin, 6 Februari 2012

SIMPAN SAJA BAHASA ITU DI DALAM POKET

Assalamualaikum WBT.


Sebelum menaikkan kelajuan jari-jari untuk menaip entri baru ni, saya dahulukan dengan ucapan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. Selawat ke atas junjungan besar dan manusia terhebat, Nabi Muhammad SAW.


Melewati satu demi satu laman-laman Facebook atau Twitter mahupun blog-blog, sendi-sendi mata ini mahu saja 'terseliuh' bila membaca susunan ayat-ayat remaja masa kini. Mutakhir ini, terlalu banyak berlakunya gejala memesongkan ejaan asli bahasa Melayu sehinggakan berlakunya transformasi yang melampau-lampau. *apahal pulak tiba-tiba ni?!


 penatt sanad2! 
 naa mwa2 ta tentu pasal 
 lao kaw x kesah pasal aku, taa pe laa 
 bosan kowd! 






Okey... yang nilah yang saya maksudkan. Ah... saya jamin, dalam senarai rakan-rakan FB anda, pasti ada dua tiga orang yang gaya penulisannya begini. Okey, saya bukan mahu mencerca mahupun menempelak. Cuma ada ketikanya, saya cuba meletakkan diri saya di tempat Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan. Apa 'perasaan' objek pegun itu bila melihat kandungan-kandungannya digubah sebegitu rupa? 


Menjejakkan kaki di alam Pra-Universiti membuatkan saya matang untuk menghargai apa yang komuniti kita miliki. Tambah-tambah lagi, saya berpeluang mengambil subjek Bahasa Malaysia yang sememangnya berputar 180 darjah, berbeza dengan subjek BM yang saya pelajari ketika di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dulu. Ya, saya akui bahawa saya mampu tersenyum bangga dengan keputusan SPM saya pada subjek BM. Tetapi, bila saya aplikasikan apa yang saya pelajari di peringkat SPM pada peringkat STPM, ternyata saya silap. 


Subjek BM di STPM menuntut saya untuk menjadi pengguna bahasa yang matang. Saya terpaksa buang segala perkataan bombastik yang kerap saya gunakan di SPM dulu. Berkali-kali diingatkan pada otak saya, karangan yang hebat adalah karangan yang matang dari segi gramatisnya, bukan dari segi puitis. Sememangnya, itu satu perkara yang agak 'mengikat' otak saya yang dah terbiasa dengan gaya puitis. Tapi, demi universiti, demi masa depan bahasa kita... saya akur dengan yakinnya.


Lalu, saya tinggalkan tabiat-tabiat tak senonoh ketika menaip di laman Facebook mahupun ketika menghantar SMS kepada kawan sedikit demi sedikit. Biarlah orang kata "Weh! Kau apahal jadi sasterawan pulak ni?" Saya pekakkan telinga, butakan mata.


Saya okey bila orang meringkaskan perkataan-perkataan ketika menulis atau menaip. Jujur, saya tak ada masalah dengan itu. Saya okey bila orang mencampur adukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris ketika bercakap. Jujur, saya tak ada masalah dengan itu. Tapi... bila ini melibatkan pemberontakan sesetengah remaja yang mahu bereksperimentasi dengan gaya penterjemahan emosi, saya jadi kaku.


Perlukah penambahan abjad-abjad yang tidak relevan pada perkataan semudah 'saya,' 'kita,' dan 'kau'? Sehingga membuatkan lidah yang normal menjadi bercabang-cabang? 

Saya tahu pasti ada yang sinikal bila melihat pada kritikan ini. Saya tahu, pasti ada yang akan menempelak dengan mengatakan "Lantaklah! Ayat aku bukan ayat kau!" Tapi sebelum tu, fikir sedalam-dalamnya. Untuk apa kita berbuat begitu tapi dalam masa yang sama, kita sedang menghunuskan pisau pada masa depan kita? Kita sedang mengacukan pistol pada warisan untuk anak cucu kita?


Kenapa untuk entri kali ni, saya berani untuk berkata sebegini sedangkan sebelumnya, saya tak pernah berbuat demikian? Jawapannya cukup mudah... sebab jawapannya ada pada anda. Baca frasa di bawah ni...


20 atau 30 tahun akan datang, bila ada anak cucu kita berlari mendapatkan kita yang sedang duduk bersandar di kerusi malas lalu bertanyakan soalan...
"Grandpa... was it really that Malays have their own language? Why I never heard you speak in Malay?


Apa jawapan yang akan anda lafazkan? Sekurang-kurangnya, jadikan detik ini, detik ketika anda sedang membaca pesanan ini, sebagai penggerak langkah anda untuk berubah. Mungkin perbuatan menukarkan struktur ejaan melampau-lampau seperti itu cuma seekor kuman pada anda. Tapi, ingatlah... seekor kuman mampu untuk mendatangkan penyakit berbahaya yang akan merebak jika tidak diubat. 


Kalau anda enggan melakukannya demi generasi akan datang, setidak-tidaknya... lakukanlah demi identiti diri anda sendiri.





Saya mengagungkan Bahasa Melayu.

8 ulasan:

syira syah berkata...

rasa geli kan budak2 skg guna bahasa pelat2 macam tu. haha
BM kat universiti lagi susah dari STPM.

dari lensa faiz berkata...

hahah .. yeah .. makin tinggi makin susah! :)

Natasya Naslin berkata...

slalunye budak2 yg dok buat status pelik2 kat FB ... geram je bila terbaca... ~

dari lensa faiz berkata...

hahahha.. sabor je lah

mimey eidah (owner fida story) berkata...

zaman moden,macam-2 bahasa di putar belitkan..ada pulak tu bahasa F,tak faham aku dengan budak-2 ni

dari lensa faiz berkata...

hahahaha ... memberontak tu ... hahaha

Shawn Razaleigh berkata...

saya disini membantah hujah saudara, tiba2*


haha, sokong2, saja je nak buat macam ala2 bahas.


bahasa lu best

dari lensa faiz berkata...

shawn razaleigh komen ...

*pengsan

hahahahahhahahahahahahahaha