Ahad, 23 Jun 2013

BELASUNGKAWA : JACK SPARROW TELAH PERGI

Assalamualaikum WBT.


*Mengeluh. Masuk hari ni, saya agak sudah hampir tiga bulan Jack Sparrow pergi meninggalkan kami sekeluarga. 27 April lalu, Jack Sparrow sudah tidak bernafas lagi ketika saya memeriksanya (rutin saya setiap pagi). Jasadnya sudah kaku. Nafasnya sudah tiada. 






Lebih kurang 2 tahun Jack Sparrow bersama dengan kami sekeluarga, hari itu... Jack Sparrow tiba-tiba tidak boleh berdiri seperti biasa. Mulutnya juga tidak berleter seperti biasa. Jack melangkah setapak dua, kemudian dia jatuh. Kepalanya statik. Sedikit pun dia tidak bersuara. Tubuhnya terperosok di tepi dinding. Hari demi hari, bulan demi bulan... kondisi Jack masih tidak pulih. Tubuhnya yang berisi makin kurus meskipun Jack masih lagi berupaya untuk mengunyah nutrisi.

Diusung ke klinik, sudah. Namun, Jack masih tidak sembuh. Malah kondisinya bertambah teruk dari hari ke hari. Hinggalah tiba pada suatu hari, tiba-tiba Jack sudah tidak punya daya untuk menegakkan tubuhnya sendiri. Jack terlantar tanpa gerakan-gerakan yang ekstrim. Hanya bola matanya sahaja yang bergerak-gerak seperti dia cuba memberitahu sesuatu. hanya kuping telinganya sahaja yang bergerak-gerak saat dia menangkap bunyi goncangan botal Friskies. 

Jack tidak mampu lagi untuk mengunyah makanan meskipun yang terhidang di hadapannya merupakan masakan kegemarannya. Meneguk air apatah lagi. Kerana kasihan, saya suapkan juga makanan ke mulut Jack biarpun cuma sedikit. Kerana belas, saya suapkan juga susu ke mulutnya agar tenaganya bersisa. 

Sayu rasanya apabila Jack merenung saya dengan satu pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Hari demi hari, mata yang selalu merenung itu dihurung semut. Saya bersihkan setiap hari kerana simpati. Perutnya masih berombak tetapi semut-semut itu sewenang-wenangnya mahu menjamah sendi-sendi mata Jack. Saya bisikkan pada binatang ini, "Jack, kalau Jack nak mati, A'ih tak nak Jack mati macam ni."

Simpati. Luluh hati kami sekeluarga apabila mengenangkan hakikat bahawa Jack tidak mungkin lama lagi di dunia ini. Kucing yang selalu berleter di dapur tidak kira masa ini tidak akan lagi meriuhkan hari-hari seterusnya. Kucing yang selalu mahu bermanja ini tidak mungkin lagi menyuakan kepalanya untuk diusap.

Hampir dua minggu Jack berkeadaan begitu. Hinggalah pada suatu pagi, ketika saya mahu memeriksanya seperti biasa... saya terkaku. Tubuh Jack sudah dingin, kaku. Nafasnya yang berombak telah tiada. Nyawanya telah dicabut. Perlahan-lahan, saya telan hakikat bahawa Jack telah pergi. 

Berminggu lamanya saya rasakan kesunyian. Meskipun jasad Jack telah reput di bawah bumi, memori terhadap Jack tidak mungkin hilang semudah itu. Semenjak daripada kecil, kucing yang satu ini sentiasa mahu bermanja, lebih-lebih lagi dengan saya. Selalu sahaja dia datang mengganggu ketika saya sedang leka dengan komputer. Sirennya mudah, bunyi ngiauan yang mendayu-dayu dan membingitkan. Jack bukan mengiau kerana kelaparan. Tetapi dia cuma mahu saya mengusap-ngusap kepalanya. Itu sahaja. Selepas itu dia akan senyap dan tertidur. 

Jacklah satu-satunya kucing yang paling mudah untuk dipanggil. Saya tak perlu menggoncangkan Friskies. Saya juga tak perlu mengumpannya dengan lidi. Sekali saya memetik jari, pasti langkah Jack beralih ke arah saya. Dia mengikut sahaja ke mana arahnya bunyi petikan jari itu, beria-ia mengejarnya sehinggalah tapak tangan saya mendarat ke kepalanya, menepuk-nepuk manja. Rajin juga kadang-kadang dia memanjat belakang saya lalu duduk berteleku di situ.

Kini, detik-detik seumpama itu tidak mungkin akan berulang lagi. Tuhan dah menetapkan awal-awal lagi bahawa persinggahan Jack cuma seketika. Saya teringat pada cerita bahawa binatang di hari akhirat kelak akan menjadi debu. Fungsinya di dunia ini hanyalah sebagai medium untuk menambahkan kuantiti pahala mahupun isi padu dosa seseorang manusia. Baik layanan kita terhadap mereka, beratlah sedikit timbangannya. Buruk layanan kita terhadap mereka, jangan ditagih belas kasihan.

Terima kasih Jack untuk persinggahan ini. Terima kasih kerana berada di dalam lingkungan ini. Terima kasih untuk setiap bingit yang Jack hadiahkan untuk telinga ini. Terima kasih untuk setiap geselan dan keriangan yang Jack beri ketika A'ih diserang kesesakan trafik idea dalam menyudahkan ayat. Terima kasih kerana memahami setiap maksud petikan jari.

...dan Tuhan, terima kasih kerana pinjamkan Jack untuk kami. 

p/s : hanyut di dunia pengangguran begitu indah. Bolehkah ini dijadikan sebagai alasan atas keterlanjuran saya tidak mengemas kini blog ini sebegitu lama? Maaf!!!

Selasa, 9 April 2013

NASKHAH SERAM MALAYA : TERBAIK ATAU TERBURUK

Assalamualaikum WBT.

Rasanya dah lama saya tak mengarang sebarang entri yang berbaur dunia seni. Rasanya sudah setahun. Cuma baru-baru ini, filem 'Sembunyi : Amukan Azazil' yang saya tonton telah mendorong saya ke sini lalu dengan pantas sahaja menaip tajuk entri di atas.

Pawagam Malaysia dilimpahi dengan lambakan naskhah seram saban tahun. Daripada dahulu sampai sekarang, kenyataannya.. kita memang boleh mengesan improvisasi naskhah bergenre seperti ini di dalam industri kita. Pelbagai jalan cerita sudah dibentangkan. Pelbagai 'hantu' sudah dihidangkan. Pelbagai teknik kreatif sudah dipaparkan. 

Namun... persoalan yang selalu muncul di fikiran saya ialah adakah filem seram Malaysia sudah mencapai tahap yang terbaik? Okay, daripada skop filem... kita besarkan ke skop televisyen pula. Sukar untuk saya temui satu naskhah seram yang mampu digelarkan sebagai yang terbaik. Bukan tidak ada, cuma kemunculannya cuma dapat dibilang dengan jari sahaja. 

Jujur saya katakan, ketika kaki melangkah masuk ke pawagam bagi menghadamkan filem 'Sembunyi : Amukan Azazil,' saya mengharapkan yang terbaik memandangkan filem ini merupakan garapan Kabir Bathia. Sekejap, saya tak kata filem ini teruk. TAK! Filem ini okey... ya, cuma berada di tahap okey. Saya sendiri mengagumi Kabir Bhatia melalui karya-karya sebelumnya.

Tetapi... filem seram ini seperti kekurangan sesuatu. Sama seperti beberapa filem seram Malaysia yang lain. Seperti yang saya katakan tadi, saya harapkan yang terbaik untuk 'Sembunyi : Amukan Azazil' memandangkan sebelum ini Filmscape Production cemerlang melalui 'Kekasihku Seru' dan 'Penunggu Gunung Raya.' Sayangnya, filem tersebut jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan drama-drama bersiri tersebut.



Berbalik kepada kekurangan tadi... ya, filem seram Malaysia masih kurang tarikannya. Saya tidak tahu. Persoalan yang sering bermain di otak; Mengapa tahap keseraman perlu diukur pada teknik tatarias wajah hantu atau muzik-muziknya yang suspens? Mengapa tahap keseraman perlu disertakan dengan jeritan nyaring si heroin yang membingitkan? Mengapa tahap keseraman FILEM-FILEM KITA perlu mengambil kira faktor-faktor seperti ini?

Seboleh-bolehnya... saya tidak mahu membandingkan mana-mana produk kita dengan produk-produk luar. Tetapi, dalam isu ini saya perlu... perlu melakukannya. Harus diingat, perbandingan ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan martabat produk kita. Tidak. Perbandingan ini semata-mata untuk renungan.

Sampai ke hari ini, saya masih mengagumi filem seram daripada Thailand. Negara ini saya gelarkan sebagai pengeluar filem seram terbaik di dunia dibandingkan dengan Korea, Indonesia mahupun Barat. Thailand seperti mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Naskah-naskhah seperti The Shutter, Long Khong dan The Letters Of Death merupakan antara naskhah yang memberikan impak yang luar biasa kepada jiwa saya.






Apa yang menarik? Darah yang melimpah ruah? Saya tak rasa begitu. Tatarias hantunya yang menakutkan? Oh... Malaysia jauh lebih baik.  Jadi apa?

Jiwa mereka dalam setiap karya mereka. Saya dapat rasakan setiap filem seram mereka dibikin dengan jiwa seolah-olah kisah itu benar-benar berlaku di dalam kehidupan si penulis skrip. Filem seram mereka dibikin dengan penuh teliti dan berseni. Kadang-kadang pengakhirannya langsung tidak kita jangka pun. Pengajaran dan tema yang mereka kemukan juga sangat dominan. Lihat caranya mereka mengadun seni, ketelitian dan tema dalam satu jalan cerita yang cukup menarik untuk dicernakan. 

Setiap kali menonton filem seram Thailand, saya selalu merasakan bahawa 'hantu' itu benar-benar berada di sebelah saya. Saya selalu merasakan seperti saya mahu menutup sahaja mata agar visualnya tidak menghantui saya. Saya selalu merasakan seram sejuk yang tidak pernah saya rasai ketika menonton mana-mana cerita seram keluaran negara lain. Terutama ketika menonton babak kematian yang berturut-turut. Saya seolah-olah merasakan bahawa saya pula yang akan mati selepas seseorang watak itu mati.

Saya tahu setiap manusia ada penilaian masing-masing. Cuma setakat ini, dalam pemikiran saya... naskhah seram Malaysia yang mencapai tahap 'baik' ialah filem 'Histeria' dan drama bersiri 'Kekasihku Seru.' Yang lain bukannya tidak bagus cuma kurang memberikan kesan kepada saya. Sehingga ke hari ini saya masih terbayang-bayang taktik Kabir Bhatia mengolah watak Waris sehinggakan setiap kali Waris muncul di kaca televisyen, bulu roma saya sudah mula berdiri.

Saya sentiasa menantikan filem-filem seram di Malaysia diangkat sebagai salah satu negara pengeluar naskhah seram di dunia. Mungkin sama hebat seperti negara-negara lain. Masanya selalu ada untuk pembikin naskhah seram supaya tidak melulu menata rias wajah hantu yang kononnya menakutkan. Jiwa itu yang paling penting kerana penonton bukannya buta. Mereka sudah dapat mengagak sesebuah filem itu dibuat dengan bersungguh-sungguh atau cuma sekadar mahu mengaut keuntungan. Ya, duit mungkin boleh menjamin kesenangan para krew. Tetapi harus diingat, duit keuntungan bukan segala-galanya. Yang penting ialah kepuasan kerana kalian ialah penggiat seni. Saya ulang... penggiat seni. 

Selamat berjaya, pembikin naskhah seram Malaya!

*Sekurang-kurangnya, 'Sembunyi: Amukan Azazil' tidak kosong. Itu yang membuatkan saya rasa tak rugi. 

Jumaat, 1 Mac 2013

MOTOKAR WIRA

Assalamualaikum WBT.

Bakul berisi pakaian yang hendak disidai dibawa keluar. Ketika saya terpandangkan garaj kereta, baru saya perasan. Kereta Kelisa yang selalu saya kemudi tidak ada di dalam garaj. Debar. Saya mula berdebar. Apakah? Apakah motokar itu sudah dibawa lari?

Saya menarik nafas lega tatkala terpandang akan jawapan kepada kemusykilan saya. Proton Wira putih yang sering digunakan oleh Abah untuk ke tempat kerja sedang tersadai di hadapan rumah. Pulang sahaja mereka senja itu, Mak memberitahu Proton Wira yang kami sekeluarga gelarkan sebagai 'Kereta Putih' itu mengalami kerosakan sekali lagi. Sekali lagi. 

Kereta Putih mati di tengah jalan buat kali yang saya kurang pasti. Saya mencongak. Sudah banyak kali motokar yang satu ini mengalami hal yang sebegitu rupa. Jika diimbas, Kereta Putih telah bersama dengan kami dalam satu jangka masa yang amat panjang. Saya tidak ingat sebetulnya umur Kereta Putih.

Yang boleh saya katakan... Kereta Putih mencatatkan pelbagai memoir bersama keluarga kami. Saya masih ingat ketika kecil dahulu, kami empat beradik berhimpit di tempat duduk belakang jika hendak ke mana-mana secara berjemaah. Saya masih ingat pengalaman tangan saya tersepit pada cermin kereta dek kerana terlalu obses dengan naik turunnya cermin automatik tersebut (kereta sebelumnya memerlukan tenaga manual untuk menurunkan tingkap. Faham? Yang kena kayuh kalau nak buka tingkap). Saya masih ingat jasa motokar ini yang menghantar saya ke sekolah rendah setiap pagi. Malah hingga ke sekolah menengah, Kereta Putih masih menjadi kenderaan wajib untuk saya ke sekolah. Terkenang pula komen jujur rakan saya yang mengatakan bunyi enjin usang kereta tersebut senang dicam. 

Apabila diingat-ingat balik, jasa Kereta Putih tak mampu nak disenaraikan hanya dalam satu naskhah buku. Jasanya menjangkaui itu. Kereta Putih masih relevan meskipun garaj kami sudah dipenuhi dengan kereta-kereta yang jauh lebih baharu dan selesa. Kereta Putih masih kami perlukan meskipun kordinat parkirnya sudah berubah yakni tidak lagi di  dalam garaj sebaliknya cuma berbumbungkan pohon dan langit. Kereta Putih masih lagi logik meskipun kondisi tubuhnya sudah ada yang kemek.

Buktinya, jika hendak mengangkut durian sebakul... bonet Kereta Putihlah yang menjadi penadahnya. Jika hendak ke tempat yang kondisi jalannya tidak stabil, Kereta Putihlah yang menjadi penemannya. Untuk masa-masa yang akan datang, saya masih mahu melihat tubuh Kereta Putih. Saya masih mahu mendengar bunyi enjinnya yang tidak ada pada kereta-kereta lain.

Kereta Putih masih tersadai untuk beberapa hari yang berikutnya. Sama ada faktor umur atau kerosakan ulang tayang, saya tidak tahu. Yang pasti, saya belum bersedia untuk melihat kereta ini dikeluarkan daripada keluarga kami. Nilai sentimentalnya sudah seperti gam yang melekat kuat. 

Kereta Putih... untuk generasi keluarga kami yang akan datang, tolong jangan 'mati' dahulu... kerana saya mahu mereka saksikan inilah motokar yang saya gunakan dalam segenap hidup saya untuk meneroka dunia. Inilah motokar yang menjadi saksi kepada setiap yang berlaku dalam lingkungan keluarga kami. Inilah motokarnya... Inilah...


Selasa, 19 Februari 2013

NASI GORENG MAK

Assalamualaikum WBT.

Pagi itu, usai solat Subuh... saya ke dapur. Jam ketika itu 6:15 pagi. Mereka dah berangkat keluar demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang 'pekerja.' Rumah ketika itu sudah sunyi. Yang kedengaran cuma bunyi enjin bas sekolah yang melintas di hadapan rumah.

Tudung saji diangkat. Nasi goreng hasil air tangan mak menyapa mata. 



Rasa... warna... tekstur.. sekalipun tak pernah berubah. Semuanya sama seperti sebelum-sebelum ni. Sama seperti nasi goreng yang pernah saya hadamkan ketika saya bersekolah rendah dahulu. Sama. Ya, anda sedang melihat sepinggan nasi goreng yang dibuat oleh mak saya. Rupanya tak sama seperti nasi goreng RM4.50 yang boleh didapati di mana-mana restoran. Rupanya juga tak sama seperti nasi goreng ciptaan Chef Wan, Jamie Oliver (eh?) dan Buddy Cake Boss (eh lagi?). 

Tak ada hirisan lobak, tak ada cebisan ayam. Nasi goreng buatan mak cukup sederhana.. cukup untuk mengalas perut kami adik-beradik. Pagi itu, ketika mulut menjamah hidangan tersebut... fikiran saya menerawang ke arah lain meskipun peti televisyen  sedang ralit 'menjerit' di hadapan. 

Saya sudah merasa berpinggan-pinggan juadah yang bernama 'nasi goreng' di merata-rata warung. Nasi Goreng Pattaya, Nasi Goreng Tom Yam, Nasi Goreng Paprik... ada di antaranya sememangnya sedap. Saya sendiri juga pernah memasak nasi goreng hasil air tangan saya. Tetapi, seperti ada sesuatu yang kurang jika hendak dibandingkan dengan nasi goreng mak. Susah untuk saya gambarkan kekurangan itu.

Dalam kesibukan meniti karier sebagai seorang pekerja di sebuah syarikat telekomunikasi, mak masih mempunyai masa untuk menyediakan nutrisi-nutrisi buat santapan kami sekeluarga. Memang bunyinya kedengaran tipikal. Tetapi itulah kenyataan yang sememangnya wujud dalam 'era makanan segera + ketuhar gelombang mikro + bibik' ini. Seorang ibu masih relevan dalam kehidupan seorang yang bernama anak meskipun dunia kini dilambakkan dengan pelbagai gajet yang jauh lebih mudah dan cepat penggunaannya.

Itu yang sukar dicari meskipun kita diibaratkan seperti seorang pelari maraton yang sudah mengelilingi dunia. Setiap inci masakan dan juadah di setiap penjuru dunia sudah dicuba dek lidah.. namun tiada satu pun yang dapat menandingi masakan seorang emak. Kan? 

Emak memasak dengan hati. Dahulu, ketika saya lihat juri Top Chef mempersendakan pesertanya yang memasak dengan jiwa... saya turut ketawa. Tetapi, lama-kelamaan saya mula sedar bahawa sesebuah masakan itu tak akan ada sedapnya jika si pembuatnya tidak mempunyai jiwa. 

Apabila saya melihat kepada keadaan itu... saya mula sedar hakikat bahawa seorang ibu mempunyai kuasa yang tidak mampu dimiliki oleh sesiapa dengan mudah. Malah jika hendak diberi trofi atau pengiktirafan sekalipun, belum tentu itu semua mampu membalas jasa seorang ibu. Contoh yang paling dekat.. tengoklah. Bagaimana seorang ibu begitu berbangga memasak untuk keluarganya meskipun tugas itu tidak diiringi oleh sesen pun ganjaran.

Nilai sentimental pada sepinggan nasi goreng mak tak pernah padam meskipun masa selalu sahaja berlari ke hadapan. Seperti yang saya nyatakan tadi. Rasa dan tekstur itu masih kekal menyebabkan sesudu sahaja nasi goreng mak disuap... saya dibawa melayang ke momen-momen lalu. Ada waktu lapang, mak sanggup bangun awal pagi bagi menyediakan resepi yang satu ini. Resepi semudah itu sudah cukup membuatkan kami kenyang dengan kasih sayang walaupun tanpa ayam, sayur atau telur goreng. Cukup hanya dengan sepinggan nasi.

Untuk sang anak... ibu untuk dihargai kerana tanpa air tangannya, kita tak ubah seperti predator yang lahap mencari nutrisi. Tanpa masakan ibu, kita takkan mampu berlari menerbangkan layang-layang ketika kecil dahulu. Tanpa masakan ibu, kita mampu melangkah ke dalam dewan SPM dengan perut yang tidak berkeroncong. Tanpa masakan ibu, kita mungkin tidak akan rindu setengah mati terhadap ibu ketika kita berada jauh di perantauan. Yang paling penting... tanpa masakan ibu, untuk memulakan langkah pada setiap hari merupakan satu perkara yang mustahil.

Untuk setiap ibu di dunia ini... berbanggalah kerana kami, anak-anak, begitu berterima kasih kepada kalian dalam memastikan nutrisi terus disuap dan dihargai oleh kami. Takkan ada mana-mana anak yang mampu berdiri kuat tanpa ibu di belakangnya. Terima kasih untuk khidmat kalian sebagai tukang masak selama ini. Terima kasih dan terima kasih.

Nasi goreng di pinggan sudah habis. saya renung ke arah pinggan yang kosong. Kalaulah... kalaulah Tuhan takdirkan untuk saya berada jauh daripada mak satu hari nanti... tercampak ke mana-mana universiti atau tempat kerja, persoalan mula bermain di fikiran saya. Rindukah saya pada sepinggan nasi goreng mak? 

Saya hela nafas. Jawapannya; ya. 


Rabu, 9 Januari 2013

KALENDAR YANG TAK AKAN HILANG

Assalamualaikum WBT.

Okey, hari ni 8 Januari 2012... hampir sebulan saya meninggalkan alam persekolahan. Hari ini, entah kenapa, saya rasa terlalu janggal. Saya bangun awal pagi tadi dan apabila saya melihat mak dan abah ke Tampin tanpa diisi dengan kehadiran saya di dalam perut kereta tersebut, saya seperti terkaku. 

Janggal. Saya rasa janggal. Selalunya, waktu-waktu itu, saya sudah terlentok di tempat duduk belakang, melayan lagu dari corong earphone sementara menunggu untuk memasuki pagar sekolah. Selalunya, waktu-waktu itu, saya sudah memangku beg yang tak terlalu berat dek disumbat dengan nota-nota ilmiah. Selalunya, waktu-waktu itu, saya mungkin sedang terkejar-kejar ke pejabat sekolah untuk menguruskan perhimpunan pagi. Selalunya, waktu-waktu itu, pantang ada masanya cikgu tidak menembusi kelas, saya sudah bergelak sakan bersama dengan rakan. 

Selalunya....

Saya lihat pada kalendar di skrin fon genggam. Tahun 2013 sudah menjengah. Paparan itu sekali gus 'menampar' saya dengan kenyataan bahawa saya sudah tidak ada di waktu yang lepas lagi. Saya bukan lagi Faiz yang ada di ruang 2012 mahupun 2011. 

Itu realiti yang sememangnya berputar. Untuk mengulangi setiap momen yang tertera pada jalan-jalan 2012, hal itu sememangnya tidak mungkin. Saya cuma ada otak untuk menyimpan semua memori itu. Memori ketika kami berkampung di kem pengakap. Memori ketika kami melaksanakan tugas minggu orientasi buat adik-adik di bawah kami. Memori ketika saya sedang bermesyuarat dengan exco-exco badan pengawas. Memori ketika kami sekelas mengadakan jamuan sebaik sahaja duit kelas yang terkumpul mencukupi. Memori ketika kami beramai-ramai mengaminkan doa sebelum memulakan pelajaran. 

Sesiapa sahaja yang pernah berada di dalam lingkungan keluarga Prauniversiti atau Tingkatan Enam pasti merasakan perkara yang sama. Pengalaman setahun lebih itu amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan pengalaman 11 tahun yang sudah. Berbeza. Benar kata orang, apabila kita berada di Tingkatan Enam, kita akan lebih menghargai waktu-waktu sekolah yang tak pernah kita hargai sebelum ini. 

Kami terlalu rapat sehinggakan pelajar kelas yang sana boleh makan sepinggan bersama-sama dengan pelajar kelas yang sini. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap masalah peribadi tersimpan kemas dalam genggaman rakan yang lain. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap konflik yang dilakukan oleh salah seorang daripada kami dibetulkan sebaik mungkin. Kami terlalu rapat sehinggakan setiap komplot mampu dijalankan kerana apabila seorang bersetuju, semua pasti akan mengikut. Kami terlalu rapat sehinggakan sehari sahaja bergaduh, dunia terasa terlalu sepi.

Atas sebab apa yang mendorong kami menjadi begitu rapat? Sedangkan sebelum ini kami datang daripada sekolah, latar belakang dan kisah yang berbeza-beza? Harus soalan ini ditanya oleh sesiapa sahaja yang melihat situasi ini.

Semua yang pernah berada di alam Tingkatan Enam pasti faham. Apabila kami memilih untuk memasuki alam ini, kami sedia maklum akan halangan yang bakal kami tempuhi. Antaranya ialah pandangan masyarakat terhadap kelompok ini iaitu sama ada terlalu rendah sehinggakan pilihan ini dianggap seperti tidak relevan sama sekali ATAU terlalu tinggi sehinggakan subjek-subjek yang kami pelajari dianggap amat berat dan mampu memustahilkan kami untuk menembusi pintu universiti. 

Mungkin atas sebab itulah, kami yang bersama-sama menempuhi jatuh bangun perit duka dalam cara yang tersendiri selama ini(saya tahu pasti pelajar institusi lain ada halangan dalam cara mereka sendiri) mampu untuk membina satu tali yang diikat kuat. Kami tak ramai... seorang jatuh, yang lain pasti merasa sakitnya juga. Hanya sebab ini... ya, hanya sebab ini. Kami suka bersama-sama, kami sakit pun bersama-sama.










Sumpah... setiap momen bersama dengan mereka tak pernah sekalipun tak bermain di dalam otak. Persinggahan saya di 'hentian rehat PraU' ini mengajar saya ilmu yang tak mungkin saya perolehi daripada mana-mana ensiklopedia. Alam ini mewakili sebahagian daripada usia remaja saya yang sememangnya sudah terisi dengan pelbagai cerita drama, aksi dan komedi. Persinggahan yang satu ini menambah apa yang sudah sedia ada selama ini untuk saya bawa ke alam yang akan datang pula. 

Untuk penutup, saya tak berminat untuk mengucapkan penghargaan kepada semua warga PraU memandangkan saya sudah berkali-kali melakukannya. Saya cuma berminat untuk menyampaikan pesanan kepada mereka yang sewenang-wenangnya mencerca kami yang berada di dalam lingkungan keluarga PraU.

Ya, kami masih berpakaian sekolah dan mengheret beg sekolah, tidak seperti anda. Ya, kami bangun pada awal pagi semata-mata untuk menapak ke dalam pagar sekolah, tidak seperti anda. Ya, kami masih bergelar pelajar sekolah. Ya, kami menuntut ilmu yang terlalu ekstrim. 

Wahai manusia-manusia berhati mulia... untuk masa hadapan, jangan tanya kenapa bangsa kita tidak berada di hadapan selagi sikap anda yang suka mengkritik negatif dan buta pada positif itu masih wujud di dalam diri. Tidak ada salahnya sesuatu pilihan itu jika Tuhan yang mencipta pilihan tersebut. Kan setiap kesusahan ada hikmah?? Sudah. Bagi yang masih berdegil, letakkan sahaja senjata anda. Ambil secawan kopi dan duduk. Lihatlah... masa hadapan kami akan lebih cerah berbanding masa hadapan anda, wahai pengkritik yang cuma tahu mengkritik.