Isnin, 30 Julai 2012

TAK SEMUA MATA AKAN SUKA

Assalamualaikum WBT.


Baru-baru ni, ada kisah yang menyapa mata. Biasalah... kisah budak-budak sekolah macam saya ni, memang banyak asam, garam dan lada paprikanya. Kisahnya mudah jika kita pernah mengalaminya pada waktu silam. Memang mudah sebab masa sekarang, kita telah nampak dengan jelas senjata untuk melawannya. Cuma kepada yang baru menjamah secubit dua garam kehidupan, mungkin perkara ini agak berat.





Pendapat merupakan letusan ilham atau pandangan kaca mata sendiri terhadap sesuatu perkara di mana pendapat itu lahir daripada organ otak kita sendiri. Kadang-kadang, mungkin ada pihak yang akan bangkit daripada kerusi lalu memberikan kita tepukan tahniah. Mungkin juga ada yang tersenyum kerana mendoakan kecerahan masa hadapan kita. 


Tapi, sayangnya dunia tak selalu potpuri. Sama ada kita mahu akur mahupun mengingkarinya, telinga kita tetap akan mendengar suara-suara protes yang melawan arus kita. Tak kisahlah jika tindakan itu dilaksanakan secara bertata susila atau secara biadap mahupun secara 'api dalam sekam.'


Apabila berpeluang menjadi pemimpin, sistem penghadaman saya sudah terbiasa menelaah situasi seumpama ini. Memang jika ikutkan hati pada peringkat awalnya, kita boleh sahaja berlari ke tingkat bangunan paling tinggi lalu menjerit sekuat hati. Ataupun paling tidak, kita tunjukkan sikap memberontak kepada manusia yang blur tak tahu apa-apa. 


Baru-baru ini, ketika saya melihat kondisi tersebut berulang kepada manusia lain... saya tersenyum. Fikiran mengatakan bahawa inilah apa yang saya rasakan dahulu. Saat kita rasa jeritan kita adalah yang paling kuat, tetapi sebenarnya jika dipandang sekeliling, manusia-manusia lain sengaja menyumbat earphone ke telinga. Saat kita rasa pendapat kita dah habis cemerlang, rupanya belum cukup kukuh untuk memegang tali-tali belon yang bukan sedikit itu. 


Itu realiti seorang pemimpin. Ada orang kata, jadi pemimpin macam mengulam gula-gula. Tetapi sebenarnya apa yang dijamah saban hari cumalah lada paprika semata-mata. Tekanan hadir melalui pelbagai medium dan salah satu daripadanya ialah ini. Perasaan ketika itu, hmm... okey, saya jujur. Ini perasaan dia; rasa tak dihormati, baran 24 jam, semangat jatuh tersungkur, rasa setiap kepercayaan selama ini seperti tin yang dah dipenyekkan lalu dihumban ke tong sampah. Nah!


Hakikatnya, seorang pemimpin tetap manusia yang ada perasaan dan emosi. Sesekali jika rumput di bawah mengutuk langit yang megah, sedikit sebanyak hati seperti dipalu-palu. Sesekali kalau anak buah menutup telinga, sedikit sebanyak emosi dirantai tanda-tanda soal. 


Heiy... cuba ambik masa untuk duduk diam-diam. Tarik nafas panjang-panjang. Istighfar berkali-kali. Bayangkan kita seperti sedang kembali ke masa kecil kita yang penuh dengan suka tanpa ada duka seberat itu. Buat apa sahaja asalkan kemarahan itu terhakis. Kerana benda itulah benda pertama yang harus kita laksanakan jika ditiup situasi itu.


Letakkan diri kita pada manusia-manusia yang memprotes itu. Mungkin jika kita berada di tempat mereka, kita sebenarnya banyak persamaan. Cuba fikir, dalam satu-satu keadaan, takkan semuanya sempurna dan cemerlang? Takkan semuanya menerima tanpa banyak soal? Tak ada cabaranlah hidup ni namanya kalau begitu. Ingat satu cukuplah, tak semua orang akan suka dengan kita mahupun dengan ideologi kita.


Kita lemah. Kan itu sikap manusia? Mungkin apabila kita mampu untuk melakukannya, pandangan kita boleh diservis sehingga menjadi lebih baik. Pandangan kita itu juga mungkin tanpa kita sedar sebenarnya salah. 


Dalam hidup, ada pemimpin. Dalam pemimpin, ada kesedaran. Dalam kesedaran, ada kefahaman bahawa setiap hari penuh dengan kejutan. Kejutan itu jangan diizinkan menguasai diri seorang pemimpin. Sebaliknya, jadikan itu sebagai kompas yang boleh memandu kita ke arah yang lebih tepat. Wei, pemimpin pun belajar setiap hari tau.

Selasa, 24 Julai 2012

MAAF ITU 1000 KILOGRAMKAH?

Assalamualaikum WBT.






Maaf mungkin merupakan perkataan yang agak sensitif pada sesetengah orang. Maaf juga mungkin merupakan perkataan yang paling tinggi harganya. Maaf mungkin perkataan yang paling tinggi kuantiti kilogramnya.


Kadang-kadang orang mungkin akan kata memaafkan memang mudah, tapi nak melupakan terlalu susah. Kan? Saya pun pernah berada di dalam kondisi sebegitu.  Bila kita anggap maaf merupakan perbuatan yang bermaksud menyingkirkan segala jenis kemarahan terhadap seseorang tetapi dalam masa yang sama, otak masih berdegil untuk melupakan kesakitan itu.


Bila saya fikir-fikir, ya. Memang tak salah kalau kita berpendirian macam tu. Meskipun saya faham, akan wujud ramai manusia yang akan berkata : "Eee.. tak baiklah macam tu. Lupakan jelah apa yang dia dah buat." atau "Hipokritlah kau kalau kau maafkan dia, tapi kau tak nak cakap sepatah pun dengan dia."


Tapi, bila lama-lama fikir... saya sedar akan satu realiti. Kemaafan bermaksud penghapusan perasaan sakit akibat daripada perbuatan negatif seseorang. Saya ulang, perasaan SAKIT. Bukan marah. Kerana marah itu terlalu spesifik. Sakit itu makanya lebih jauh. Sakit menghimpunkan marah, sedih, hilang semangat, hilang mood dan macam-macam lagi. 


Sebab tu, pandangan peribadi saya, kita bukan benar-benar memaafkan jika kita cuma menghapuskan perasan marah sedangkan perasaan sakit yang lain itu dibiarkan terus bercambah. Adilkah kita kepada diri kita sendiri? 


Benci kesannya terlalu banyak. Daripada kawan baik, boleh menjadi bisu. Daripada seorang pengagung cinta, boleh jadi trauma. Daripada senyum, boleh bertukar gila. Daripada saudara, boleh menjadi bara. Kesan yang paling ketara atau secara kesimpulannya, suka menjadi duka


Lalu bila keadaan menjadi seperti itu, maaf jadi tuntutan. Bibir lafazkan maaf, tapi hati begitu kuat prinsipnya. Emosi benci menebal dalam diam lalu meracuni mulut untuk membisu, menuba telinga untuk pekak dan menyimbah mata dengan air mata. Modd direntap-rentap sehingga kita hilang kekuatan mungkin sepanjang minggu. 


Aduhai... bila diimbas kotak masa semalam, mungkin saya salah seorang daripada manusia-manusia ini. Tapi, bila saya sendiri mampu untuk berfikir kesannya yakni memaafkan tetapi tak melupakan atau tidak memaafkan secara holistik, efeknya hanya berbalik kepada diri sendiri. Macam mana kita nak jadi sempurna kalau kita anggap manusia lain cukup sempurna.


Heiy... setiap orang buat kesalahan dalam hidup kan? Tanpa sedar, kita mungkin pernah ter'mengumpat' kawan depan-depan, ter'bergurau' lebih-lebih dengan adik-beradik, ter'menyakitkan' hati cikgu. Fuuuhh... setiap manusia tak sempurna. Daripada ketidaksempurnaan itulah kita belajar macam mana mahu menjadi bukan sempurna, tapi menjadi lebih baik. 


Hayatilah sebenar-benarnya takrifan ini. Percaya, apabila kita maafkan sesuatu kesalahan, kita tak rugi apa-apa pun. Kita belajar daripada kesalahan orang itu. Kita jadi lebih tenang. Kita akan lebih bercas positif. Macam-macam.


Sebab tu, maaf itu tak berat walau sekilogram pun. Apa yang menyebabkan perbuatan itu menjadi berat ialah kesukaran kita meneutralkan perasaan benci itu. Benci itulah yang menyebabkan maaf menjadi obesiti.





Uish! Dah Ramadhan wei, selamat beramal ya! 

Ahad, 15 Julai 2012

PINTU KELUAR DI SANA YA, PARASIT

Assalamualaikum WBT.





"Awak ingat keputusan SPM awak tu cemerlang sangat? Teruk! Buat habiskan duit mak bapak je."
"Tak ada gunalah saya panggil orang macam awak ni, harapkan dah besar tapi tak tau nak buat apa-apa."
"Macam manalah dia boleh suka dekat kau? Tak faham aku."
"Aik, belajar ke? Fuiyo, budak pandai."
"Blog kau bosanlah!"
...dan banyak lagi.

Mungkin ini sebahagian daripada kata-kata parasit yang selalu menjadi 'deejay' di telinga dalam seumur hidup kita. Suka atau tidak, itulah garam yang terpaksa kita hadamkan. Redha atau protes, mungkin ini antara tindakan klise kita terhadap manusia yang kerap menuturkan kata-kata parasit.


Tak perlu tanya kenapa kerana jika itu soalannya, jawapannya cuma ada pada pemilik otak psiko itu. Jelas dan terang. Visi dan misi kata-kata cacian itu bertujuan mahu melihat reaksi kita : langkah terhenti, wajah  tertunduk, mata digenangi air mata, lalu lidah kelu tak berbahasa. Senang cerita, manusia ini berparti ria apabila misinya untuk melihat semangat kita terhumban ke tanah berlumpur tercapai. Kalau pun tidak berjaya, sehabis daya dia terus mencuba dan mencuba sehinggalah kita jadi seperti mana yang dia mahu.


Kadang-kadang, kita susah nak percaya. Orang yang menuturkan ayat provokasi itu mungkin sahaja orang yang paling rapat dengan kita. Mereka mungkin sahaja orang yang mempunyai taraf pendidikan yang setinggi angkasa. Mereka mungkin sahaja orang yang langsung tidak pernah wujud dalam ensiklopedia hidup kita.


Bila difikir-fikir, untuk apa sebenarnya kita melayan manusia seperti mereka? Walaupun berkali-kali kita menegah telinga untuk menghadamkan ayat itu, tetapi telinga ini tetap mahu mendengar. Lalu mangsanya ialah emosi yang jatuh merudum. 


Mungkin jika diberi kalkulator, susah untuk kita membilang dengan tepat bilangan manusia yang berpsikologi seumpama ini. Saya tak punya kuasa Boboiboy untuk melenyapkan terus manusia seperti mereka daripada hidup ini. Hidup saya sendiri tak mampu, inikan pulak hidup kalian. Tapi, mungkin satu cadangan saya ini boleh membantu sedikit sebanyak. 


Fokus dan teruskan sahaja yakin kepada item yang sudah, sedang atau belum dilakukan oleh anda. Pasangkan apa sahaja gadget seperti alat pendengar telinga berjenama Beats agar anda tak lagi dihantui suara-suara sumbang itu. Pejam mata dan anggap mereka tidak pernah berdiri di sisi anda. Teruskan tersenyum, rasionalnya ialah kalau dia psiko kita... kita psikolah dia balik! Hahha... 


Fikir satu sahajalah. Apabila kita fokus, pasti hasil kerja kita itu akan menjadi cemerlang. Seterusnya hasil itu akan diiktiraf oleh orang yangt lebih pandai menghargai. Saat itu nanti, manusia-manusia tak berhati perut itu cuma mampu membisu dan tertunduk malu. Saat tulah baru dia menyesal dan sedar akan hakikat lalu berkata : "Tahniah! Aku dah agak, kau boleh berjaya punya!" kononnya mahu melupakan dengan mudah apa yang telah mereka lakukan terhadap kita sewaktu silam.


Ya, tak bohong. Percayalah. Pesan saya cuma satu... kalau anda sedang berdepan dengan manusia parasit yang sering mengungkapkan ayat-ayat negatif ini, tidak adillah jika kita terlalu awal menyerah kalah. Bangun! Buktikan kepada mereka bahawa pendirian kita jauh lebih kukuh berbanding dua menara KLCC! Buktikan kepada mereka tak semestinya cita-cita setinggi langit itu tidak akan tercapai! 


 Kalau anda percaya akan diri anda sendiri, pasti apa yang mustahil akan menjadi realiti. 

 Kepada manusia parasit pula, pintu yang terbuka itu tidak menjemput pun anda untuk bertandang... jadi tolong keluar daripada hidup kami, bolehkah? 



Khamis, 12 Julai 2012

PERILAKU SANG PEMADAM

Assalamualaikum WBT.


Pertama sekali memang mintak maaf sebab 'kekurang-hajaran' saya yang sudah lama tidak terkinja-kinja di laman ini. Serius sungguh! Memang sibuk. Tambahan pula, 'jelingan' dan 'perli' buku-buku yang sentiasa memprovok saya untuk menelaahnya membuatkan masa saya makin mengecil. 


Kedua, ya... saya juga dalam proses untuk mengubah wajah blog ini. Bukan bermaksud saya tidak menghargai identiti yang lama itu. Tidak. Tetapi saya cuma mahukan sesuatu yang lebih matang dan selesa. Ini sebahagian daripada permulaan. Selebihnya, insya-Allah akan menyusul. 


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------




Bekas menyimpan alatan tulis akan habis saya selongkarkan jika saya sedang menggelabah mencari pen, pembaris, highlighter mahupun apa sahaja objek untuk digunakan. Entah kenapa, satu hari saya terkaku merenung sebiji pemadam yang hampir lunyai. Pantas sahaja otak berputar ligat memikirkan ayat yang pernah diposkan di laman Facebook. 


Pos itu sekadar bercerita mengenai kisah dongengan pemadam dan pensil. Pos itu lebih kurang begini :


Pensil bertanya kepada pemadam mengapa setiap kesalahan yang dia lakukan akan segera dipadam oleh pemadam? Pemadam dengan rendah diri menuturkan jawapannya bahawa itu merupakan tugasnya. Pemadam tahu dan sedar, satu hari nanti dia akan pupus. Dia mahukan pensil mengenangnya sebagai teman sejati yang sentiasa membetulkan setiap kesalahan yang dicoretkan oleh pensil.


Saya terpegun dan saya terus tertarik. Saya tafsirkan kisah ini dan saya cantumkan dengan kisah saya yang sememangnya dikelilingi oleh ramai manusia bernama kawan. 


Fikir dan fikir, jauh di sudut hati saya merebak satu perasaan. Perasaan itu kemudiannya mengepung hati dan emosi secara menyeluruh. 


Saya ialah kawan. Itu salah satu daripada 'kerjaya' saya di muka dunia. Saya mahu jadi seperti pemadam itu. Teman yang sentiasa akan membetulkan kawannya jika terdapat secalit tompok kesalahan. Teman yang setia ada di tepi lalu bersedia menjalankan tugasnya sebagai seorang 'pembetul kesalahan.' Teman yang menyamakan kepentingan dirinya sendiri dengan kepentingan kawannya. Teman yang ikhlas dan jujur. 


Apabila diselusuri definisi 'kawan,' saya benar-benar pasti manusia bernama itu merupakan salah satu pemilik peratus yang tinggi dalam menghuraikan hidup seseorang manusia yang lain. Begitu besar dan dominan bayang seorang kawan kerana dia sanggup menjadi seorang kawan. 


Kawan yang sebenar ialah kawan yang setia, jujur dan ikhlas. 


Tangan ditadah menitip nota kepada Tuhan, andai kata habis ingatan ini disedut sehingga kontang... usah hindarkan manusia-manusia yang saya gelarkan sebagai 'kawan' itu daripada fikiran kerana tanpa mereka, hidup saya tak awesome.

Ahad, 1 Julai 2012

HARGA SELEMBAR IKLAN

Assalamualaikum WBT.

Kebelakangan ini, ketika halaman akhbar diselak-selak, pasti mata ini disapa iklan-iklan merapu. Hah? Merapu? Apa yang merapunya? Hendak tahu definisi deskripsi ini?





Mutakhir ini, lambakan iklan atau produk yang terpampang di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen amatlah menjengkelkan. Perasan atau tidak, betapa mudahnya 'mereka' memperdagangkan hal-hal berkaitan dengan seks atau perkara-perkara lucah dengan sewenang-wenangnya. Maksud yang lebih jelas, mereka menggunakan item seumpama itu untuk melariskan produk mereka.


Setakat nak promosi produk yang mudah, tapi strategi pemasarannya begitu melampau. Sampaikan hilang malu pabila muka terpampang menceritakan 'selok-belok' hal-hal atas katil. Kalau saya pembeli, maaf... saya tak mahu beli produk yang dipromosikan sebegitu rupa.


Positifnya, jika ada pun, mungkin mereka boleh melariskan produk tersebut memandangkan sekarang ekonomi kita seperti situasi di gelanggan sumo. Bisnes perlu ada persaingan. Tapi sudah terang lagi bersuluh 'mereka' cuma menuangkan kesan negatif kepada peradaban manusia.


Apa yang akan anda (pembaca) lakukan jika ada anak-anak kecil yang baru pandai mengeja bertanyakan anda mengenai hal itu? Apa yang akan anda lakukan jika anak-anak naif itu menjadikan hal tersebut sebagai senda gurau harian mereka? Begitukah cara 'mereka' yang gila mahu memasarkan produk, mendidik anak-anak yang baru hendak mengenal yang mana satu ABC, yang mana satu alif ba ta?


Saya tahu jika saya menulis komen seperti ini, saya berisiko dilabelkan sebagai 'ketinggalan zaman.' Okey... ini hujah saya. Kalau sudi, baca. 


Kenapa kita perlu jadi maju dari segi lahiriah tetapi aspek akhlak kita humbankan ke dalam longkang? Majukah namanya kalau hal-hal bilik tidur diperdagangkan seumpama itu? Seperti 'maruah' jatuh ke nombor dua lalu 'duit' menjuarai carta? 


Ayat ni mungkin kedengaran klise tetapi ketahuilah.. sememangnya kita berpijak di bumi Timur. Bukan Barat. Kalau Barat, yalah.. hal-hal seumpama ini tidak apa jika digembar-gemburkan. Jadi di sini, perlukah ketika kita masih berpijak di Timur tetapi kita sibuk nak terbang ke Barat, mahu jadi seperti mereka? Walhal Barat pandang pun tidak Timur ni.


Hentikanlah. Berhenti daripada menggunakan taktik murahan seperti ini. Jika enggan mahu mengikut resmi padi Timur dan masih berkeras mahu mengikut resmi lalang Barat, setidak-tidaknya hormatlah. 


Hormat kerana anda berada di Timur, bukan di Barat.
Kepada pengusaha akhbar mahupun stesen televisyen.. tolong. Jangan bazirkan duit pelanggan anda dengan lembaran iklan-iklan seperti itu.