"Awak ingat keputusan SPM awak tu cemerlang sangat? Teruk! Buat habiskan duit mak bapak je."
"Tak ada gunalah saya panggil orang macam awak ni, harapkan dah besar tapi tak tau nak buat apa-apa."
"Macam manalah dia boleh suka dekat kau? Tak faham aku."
"Aik, belajar ke? Fuiyo, budak pandai."
"Blog kau bosanlah!"
...dan banyak lagi.Mungkin ini sebahagian daripada kata-kata parasit yang selalu menjadi 'deejay' di telinga dalam seumur hidup kita. Suka atau tidak, itulah garam yang terpaksa kita hadamkan. Redha atau protes, mungkin ini antara tindakan klise kita terhadap manusia yang kerap menuturkan kata-kata parasit.
Tak perlu tanya kenapa kerana jika itu soalannya, jawapannya cuma ada pada pemilik otak psiko itu. Jelas dan terang. Visi dan misi kata-kata cacian itu bertujuan mahu melihat reaksi kita : langkah terhenti, wajah tertunduk, mata digenangi air mata, lalu lidah kelu tak berbahasa. Senang cerita, manusia ini berparti ria apabila misinya untuk melihat semangat kita terhumban ke tanah berlumpur tercapai. Kalau pun tidak berjaya, sehabis daya dia terus mencuba dan mencuba sehinggalah kita jadi seperti mana yang dia mahu.
Kadang-kadang, kita susah nak percaya. Orang yang menuturkan ayat provokasi itu mungkin sahaja orang yang paling rapat dengan kita. Mereka mungkin sahaja orang yang mempunyai taraf pendidikan yang setinggi angkasa. Mereka mungkin sahaja orang yang langsung tidak pernah wujud dalam ensiklopedia hidup kita.
Bila difikir-fikir, untuk apa sebenarnya kita melayan manusia seperti mereka? Walaupun berkali-kali kita menegah telinga untuk menghadamkan ayat itu, tetapi telinga ini tetap mahu mendengar. Lalu mangsanya ialah emosi yang jatuh merudum.
Mungkin jika diberi kalkulator, susah untuk kita membilang dengan tepat bilangan manusia yang berpsikologi seumpama ini. Saya tak punya kuasa Boboiboy untuk melenyapkan terus manusia seperti mereka daripada hidup ini. Hidup saya sendiri tak mampu, inikan pulak hidup kalian. Tapi, mungkin satu cadangan saya ini boleh membantu sedikit sebanyak.
Fokus dan teruskan sahaja yakin kepada item yang sudah, sedang atau belum dilakukan oleh anda. Pasangkan apa sahaja gadget seperti alat pendengar telinga berjenama Beats agar anda tak lagi dihantui suara-suara sumbang itu. Pejam mata dan anggap mereka tidak pernah berdiri di sisi anda. Teruskan tersenyum, rasionalnya ialah kalau dia psiko kita... kita psikolah dia balik! Hahha...
Fikir satu sahajalah. Apabila kita fokus, pasti hasil kerja kita itu akan menjadi cemerlang. Seterusnya hasil itu akan diiktiraf oleh orang yangt lebih pandai menghargai. Saat itu nanti, manusia-manusia tak berhati perut itu cuma mampu membisu dan tertunduk malu. Saat tulah baru dia menyesal dan sedar akan hakikat lalu berkata : "Tahniah! Aku dah agak, kau boleh berjaya punya!" kononnya mahu melupakan dengan mudah apa yang telah mereka lakukan terhadap kita sewaktu silam.
Ya, tak bohong. Percayalah. Pesan saya cuma satu... kalau anda sedang berdepan dengan manusia parasit yang sering mengungkapkan ayat-ayat negatif ini, tidak adillah jika kita terlalu awal menyerah kalah. Bangun! Buktikan kepada mereka bahawa pendirian kita jauh lebih kukuh berbanding dua menara KLCC! Buktikan kepada mereka tak semestinya cita-cita setinggi langit itu tidak akan tercapai!
Kalau anda percaya akan diri anda sendiri, pasti apa yang mustahil akan menjadi realiti.
Kepada manusia parasit pula, pintu yang terbuka itu tidak menjemput pun anda untuk bertandang... jadi tolong keluar daripada hidup kami, bolehkah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan