Isnin, 30 Julai 2012

TAK SEMUA MATA AKAN SUKA

Assalamualaikum WBT.


Baru-baru ni, ada kisah yang menyapa mata. Biasalah... kisah budak-budak sekolah macam saya ni, memang banyak asam, garam dan lada paprikanya. Kisahnya mudah jika kita pernah mengalaminya pada waktu silam. Memang mudah sebab masa sekarang, kita telah nampak dengan jelas senjata untuk melawannya. Cuma kepada yang baru menjamah secubit dua garam kehidupan, mungkin perkara ini agak berat.





Pendapat merupakan letusan ilham atau pandangan kaca mata sendiri terhadap sesuatu perkara di mana pendapat itu lahir daripada organ otak kita sendiri. Kadang-kadang, mungkin ada pihak yang akan bangkit daripada kerusi lalu memberikan kita tepukan tahniah. Mungkin juga ada yang tersenyum kerana mendoakan kecerahan masa hadapan kita. 


Tapi, sayangnya dunia tak selalu potpuri. Sama ada kita mahu akur mahupun mengingkarinya, telinga kita tetap akan mendengar suara-suara protes yang melawan arus kita. Tak kisahlah jika tindakan itu dilaksanakan secara bertata susila atau secara biadap mahupun secara 'api dalam sekam.'


Apabila berpeluang menjadi pemimpin, sistem penghadaman saya sudah terbiasa menelaah situasi seumpama ini. Memang jika ikutkan hati pada peringkat awalnya, kita boleh sahaja berlari ke tingkat bangunan paling tinggi lalu menjerit sekuat hati. Ataupun paling tidak, kita tunjukkan sikap memberontak kepada manusia yang blur tak tahu apa-apa. 


Baru-baru ini, ketika saya melihat kondisi tersebut berulang kepada manusia lain... saya tersenyum. Fikiran mengatakan bahawa inilah apa yang saya rasakan dahulu. Saat kita rasa jeritan kita adalah yang paling kuat, tetapi sebenarnya jika dipandang sekeliling, manusia-manusia lain sengaja menyumbat earphone ke telinga. Saat kita rasa pendapat kita dah habis cemerlang, rupanya belum cukup kukuh untuk memegang tali-tali belon yang bukan sedikit itu. 


Itu realiti seorang pemimpin. Ada orang kata, jadi pemimpin macam mengulam gula-gula. Tetapi sebenarnya apa yang dijamah saban hari cumalah lada paprika semata-mata. Tekanan hadir melalui pelbagai medium dan salah satu daripadanya ialah ini. Perasaan ketika itu, hmm... okey, saya jujur. Ini perasaan dia; rasa tak dihormati, baran 24 jam, semangat jatuh tersungkur, rasa setiap kepercayaan selama ini seperti tin yang dah dipenyekkan lalu dihumban ke tong sampah. Nah!


Hakikatnya, seorang pemimpin tetap manusia yang ada perasaan dan emosi. Sesekali jika rumput di bawah mengutuk langit yang megah, sedikit sebanyak hati seperti dipalu-palu. Sesekali kalau anak buah menutup telinga, sedikit sebanyak emosi dirantai tanda-tanda soal. 


Heiy... cuba ambik masa untuk duduk diam-diam. Tarik nafas panjang-panjang. Istighfar berkali-kali. Bayangkan kita seperti sedang kembali ke masa kecil kita yang penuh dengan suka tanpa ada duka seberat itu. Buat apa sahaja asalkan kemarahan itu terhakis. Kerana benda itulah benda pertama yang harus kita laksanakan jika ditiup situasi itu.


Letakkan diri kita pada manusia-manusia yang memprotes itu. Mungkin jika kita berada di tempat mereka, kita sebenarnya banyak persamaan. Cuba fikir, dalam satu-satu keadaan, takkan semuanya sempurna dan cemerlang? Takkan semuanya menerima tanpa banyak soal? Tak ada cabaranlah hidup ni namanya kalau begitu. Ingat satu cukuplah, tak semua orang akan suka dengan kita mahupun dengan ideologi kita.


Kita lemah. Kan itu sikap manusia? Mungkin apabila kita mampu untuk melakukannya, pandangan kita boleh diservis sehingga menjadi lebih baik. Pandangan kita itu juga mungkin tanpa kita sedar sebenarnya salah. 


Dalam hidup, ada pemimpin. Dalam pemimpin, ada kesedaran. Dalam kesedaran, ada kefahaman bahawa setiap hari penuh dengan kejutan. Kejutan itu jangan diizinkan menguasai diri seorang pemimpin. Sebaliknya, jadikan itu sebagai kompas yang boleh memandu kita ke arah yang lebih tepat. Wei, pemimpin pun belajar setiap hari tau.

Tiada ulasan: