Ahad, 1 Julai 2012

HARGA SELEMBAR IKLAN

Assalamualaikum WBT.

Kebelakangan ini, ketika halaman akhbar diselak-selak, pasti mata ini disapa iklan-iklan merapu. Hah? Merapu? Apa yang merapunya? Hendak tahu definisi deskripsi ini?





Mutakhir ini, lambakan iklan atau produk yang terpampang di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen amatlah menjengkelkan. Perasan atau tidak, betapa mudahnya 'mereka' memperdagangkan hal-hal berkaitan dengan seks atau perkara-perkara lucah dengan sewenang-wenangnya. Maksud yang lebih jelas, mereka menggunakan item seumpama itu untuk melariskan produk mereka.


Setakat nak promosi produk yang mudah, tapi strategi pemasarannya begitu melampau. Sampaikan hilang malu pabila muka terpampang menceritakan 'selok-belok' hal-hal atas katil. Kalau saya pembeli, maaf... saya tak mahu beli produk yang dipromosikan sebegitu rupa.


Positifnya, jika ada pun, mungkin mereka boleh melariskan produk tersebut memandangkan sekarang ekonomi kita seperti situasi di gelanggan sumo. Bisnes perlu ada persaingan. Tapi sudah terang lagi bersuluh 'mereka' cuma menuangkan kesan negatif kepada peradaban manusia.


Apa yang akan anda (pembaca) lakukan jika ada anak-anak kecil yang baru pandai mengeja bertanyakan anda mengenai hal itu? Apa yang akan anda lakukan jika anak-anak naif itu menjadikan hal tersebut sebagai senda gurau harian mereka? Begitukah cara 'mereka' yang gila mahu memasarkan produk, mendidik anak-anak yang baru hendak mengenal yang mana satu ABC, yang mana satu alif ba ta?


Saya tahu jika saya menulis komen seperti ini, saya berisiko dilabelkan sebagai 'ketinggalan zaman.' Okey... ini hujah saya. Kalau sudi, baca. 


Kenapa kita perlu jadi maju dari segi lahiriah tetapi aspek akhlak kita humbankan ke dalam longkang? Majukah namanya kalau hal-hal bilik tidur diperdagangkan seumpama itu? Seperti 'maruah' jatuh ke nombor dua lalu 'duit' menjuarai carta? 


Ayat ni mungkin kedengaran klise tetapi ketahuilah.. sememangnya kita berpijak di bumi Timur. Bukan Barat. Kalau Barat, yalah.. hal-hal seumpama ini tidak apa jika digembar-gemburkan. Jadi di sini, perlukah ketika kita masih berpijak di Timur tetapi kita sibuk nak terbang ke Barat, mahu jadi seperti mereka? Walhal Barat pandang pun tidak Timur ni.


Hentikanlah. Berhenti daripada menggunakan taktik murahan seperti ini. Jika enggan mahu mengikut resmi padi Timur dan masih berkeras mahu mengikut resmi lalang Barat, setidak-tidaknya hormatlah. 


Hormat kerana anda berada di Timur, bukan di Barat.
Kepada pengusaha akhbar mahupun stesen televisyen.. tolong. Jangan bazirkan duit pelanggan anda dengan lembaran iklan-iklan seperti itu.

Tiada ulasan: