Khamis, 21 Jun 2012

KALAU KITA BINATANG : VIDEO ITU BERSUARA

Assalamualaikum WBT.


Bunyi kesakitan pada setiap helaan nafas seekor gajah menusuk ke dalam telinga. Mata saya terpaku. Terpegun. Tangan yang mengawal kusor mahu sahaja menekan butang 'X.' Tetapi, tangan ini seperti disimen. Sudahnya, saya menjamah sesuatu daripada situasi itu.




Kebosanan yang mengisi ruang sepi membuatkan saya ke hulu ke hilir di jalan raya alam maya tanpa tujuan. Saya singgah di perhentian Youtube seketika. Lalu, saya temui video yang sebelum ini pernah saya tonton di peti televisyen. Niat untuk berkongsi video ini dengan anda cuma datang ketika saya menontonnya buat kali yang kedua itu.


Okey. Kalau anda datang ke sini dan tertanya-tanya ini video apa, takut-takut untuk menekan butang 'main.' Meh sini saya jelaskan. Video ini berkenaan dengan proses bagaimana seekor gajah betina melahirkan anaknya. Okey? Jelas. Terpulang kepada anda. Kalau berani dan tak ada masalah, boleh terus tonton. Tapi kalau anda seorang yang lemah semangat, terus tekan butang 'berhenti' dan baca sahaja apa yang tercatat di sini.


Apa perasaan anda? Tersentuh? Kan? Samalah kita. Saya tak tahu kenapa video ini sangat meninggalkan kesan kepada saya walhal asalnya, video ini bukan video motivasi. Bukan juga video untuk renungan. Video ini holistiknya cuma menceritakan proses seekor gajah yang melahirkan anaknya.


Video ini membawa pengertian kuasa ibu. Tidak kiralah ibu itu dari kalangan manusia mahupun binatang. Pentingnya; dia adalah ibu. 'Item' yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk nyawa yang lain. 'Item' yang sanggup meniti ruang-ruang kesakitan demi kelangsungan hidup. 'Item' yang bersusah payah untuk melahirkan anaknya. Itu perjuangan. Perjuangan yang jauh lebih besar daripada menumpaskan musuh di medan perang. 






Saya sangat tersentuh ketika ibu gajah itu menyepak-nyepak tubuh anak kecilnya untuk memastikan anak itu terus bernyawa. Saya sangat tersentuh ketika ibu gajah itu bersusah payah menolak tubuh anaknya jauh daripada takungan darah yang melambak. Saya sangat tersentuh apabila ibu gajah itu berusaha membantu anaknya yang tidak pernah berdiri itu untuk menegakkan kaki. Saya sangat tersentuh apabila ibu gajah itu sentiasa berada di sisi anaknya yang masih lagi kekok dalam mengatur langkah.


Itulah kuasa yang tidak ada pada mana-mana manusia. Meskipun seorang kekasih mahupun seorang kawan. Ibu mengatasi segala-galanya. Kuasanya mungkin sahaja membantu nyawa yang hampir terputus, tersambung kembali. 


Saat ini, benar-benar saya rasakan idea saya kontang untuk dicurahkan kepada tangan. Kaku. Sepi. Mesej video ini telah membuatkan saya hilang kata-kata. Jadi, saya serahkan pada anda, pada mata anda dan pada neuron anda untuk memahami dan menghadamkan apa yang terzahir.


* Ini mungkin satu cadangan untuk anda yang sudi membaca. Kalau anda seorang penceramah yang mahu menyampaikan mesej yang berkesan mengenai 'ibu' ataupun pengajaran kepada insan-insan yang pernah membuang bayi, mungkin video ini BAHAN yang sesuai. :)

Tiada ulasan: