Ahad, 3 Jun 2012

MENTOL UNTUK HARI-HARI ESOK

Assalamualaikum WBT.






Sesetengah manusia selalu skeptikal pada manusia yang pernah melakukan kesalahan semasa silamnya. Saya lihat situasi seumpama ini selalu. Tidak kira di mana. Di sekitar kawasan perumahan, di sekolah, di dalam drama televisyen swasta. 


 Penagih dadah yang baru sahaja keluar daripada pusat pemulihan dipulau sejauh-jauhnya. Perempuan yang pernah mengandung anak tidak sah taraf dihina sekeji-kejinya. Pelajar yang pernah dibuang sekolah dipandang sesinis-sinisnya.  


Wow! Adilnya dunia ini pada mata mereka. Adilnya jika hati rasa puas melihat sisa-sisa istana yang cuba dibina diruntuhkan dengan segera. Tahukah anda, wahai manusia-manusia berhemat, perasaan mereka itu? Tahukah anda bahawa dunia ini roda? Tahukah anda mungkin mereka lebih mulia berbanding dengan anda?


Tak ada masa untuk saya hasilkan entri ini semata-mata untuk menempelak golongan-golongan itu. Entri ini saya tujukan untuk mereka yang pernah dan belum pernah merasai betapa hebatnya peluang kedua.






Jujur saya akui di ruang ini. Saya antara orang yang pernah diberi keizinan untuk meraih peluang kedua. Maksudnya, saya pernah meniti detik-detik yang hampir membuatkan saya terperosok di sudut kamar yang terlalu gelap. Saya pernah meniti tangga ke bawah apabila jalanan hidup ini yang saya anggap saya telah pilih dengan betul, sebenarnya penuh dengan kaca dan paku. Lalu akhirnya saya terjatuh.


Kemudian, saya berhijrah. Berhijrah kepada sesuatu yang 180 darjah berbeza daripada kehidupan sebelumnya. Saya seperti menjadi orang baharu. Perlahan-lahan, jalan itu saya tempuhi. Pilihan itu menentukan sama ada saya mampu untuk berdiri sebagai seorang pengembara ataupun tidak. Lalu, jawapan akhirnya ialah ya. Saya boleh mengatakan bahawa saya bahagia dengan pilihan ini. Saya rasakan setiap saat seperti bernyawa. 


 Kesakitan itu boleh sahaja menjadi sifar jika kita berkehendakkan demikian. Kesakitan lampau itu mampu sahaja terubat jika kena pada antibiotiknya. Itulah peluang kedua, kehebatan peluang kedua.

Mungkin orang sekeliling berhak untuk melabekan anda sebagai seorang yang hipokrit. Kerana kita lupakan kisah semalam dan berkelakuan seolah-olah negatif semalam itu langsung tidak meninggalkan impak kepada diri kita langsung. Kerana kita seolah-olah lupa bahawa kitalah manusia yang melakukan kesalahan itu. Ya, biarkan sahaja. Tapi, satu perkara yang perlu diingat, andalah yang berhak menentukan apa yang anda selesa kerana hidup itu seluruhnya milik anda. Bukan milik mulut-mulut mereka.


 'Kecederaan' kelmarin itu jangan dijadikan sebagai video yang dimainkan berulang kali di dalam otak untuk diratap dan ditangisi. Sebaliknya, jadikan 'kecederaan' itu sebagai plaster untuk anda tampal pada lubang-lubang yang menghalang langkah anda pada hari-hari   akan datang. 


Sesiapa yang sedang membaca saat ini... pasti anda pernah menempuhi hidup yang kadang kala difikirkan terlalu tidak adil. Anda pernah gagal dalam ujian memandu. Anda pernah putus cinta dengan manusia yang dah anda kenali sepanjang lima tahun. Anda pernah kehilangan ibu buat selama-lamanya akibat kanser. Anda pernah ketagih pil-pil khayal. Anda pernah sekalipun membunuh bayi-bayi yang tidak berdosa. 


Ketahuilah... apa yang anda lakukan hari ini, tak semestinya menunjukkan apa yang bakal berlaku pada hari esok. Dunia ini seperti bola, sebentar bola itu bergolek memasuki longkang, sebentar bola itu menjengah gawang gol dengan megahnya. Pedulikan manusia-manusia yang menempelak tingkah laku anda. Pedulikan mereka yang tidak henti-henti menghentam anda. Anda! Cuma diri anda sahaja yang mampu mengubah asid menjadi neutral. Cuma anda yang mampu mengubah hidup anda sendiri. Cuma anda. 






* Saya pernah mendengar cerita ini dahulu tapi bagi saya ini cuma sekadar secebis cerita kosong. Cuma pada tahun lepas, ketika saya mengikuti satu program, saya tertarik pada cerita ini kembali dan mula memikirkannya secara mendalam. Bunyinya lebih kurang begini.


 Pencipta mentol gagal sebanyak 99 kali dalam 
 hidupnya sepanjang proses membikin sebiji 
 objek bercahaya. Tidak putus asa, akhirnya...
 dia cuma berjaya pada percubaannya yang 
 ke-100.

Tiada ulasan: