Khamis, 21 Jun 2012

KALAU KITA BINATANG : VIDEO ITU BERSUARA

Assalamualaikum WBT.


Bunyi kesakitan pada setiap helaan nafas seekor gajah menusuk ke dalam telinga. Mata saya terpaku. Terpegun. Tangan yang mengawal kusor mahu sahaja menekan butang 'X.' Tetapi, tangan ini seperti disimen. Sudahnya, saya menjamah sesuatu daripada situasi itu.




Kebosanan yang mengisi ruang sepi membuatkan saya ke hulu ke hilir di jalan raya alam maya tanpa tujuan. Saya singgah di perhentian Youtube seketika. Lalu, saya temui video yang sebelum ini pernah saya tonton di peti televisyen. Niat untuk berkongsi video ini dengan anda cuma datang ketika saya menontonnya buat kali yang kedua itu.


Okey. Kalau anda datang ke sini dan tertanya-tanya ini video apa, takut-takut untuk menekan butang 'main.' Meh sini saya jelaskan. Video ini berkenaan dengan proses bagaimana seekor gajah betina melahirkan anaknya. Okey? Jelas. Terpulang kepada anda. Kalau berani dan tak ada masalah, boleh terus tonton. Tapi kalau anda seorang yang lemah semangat, terus tekan butang 'berhenti' dan baca sahaja apa yang tercatat di sini.


Apa perasaan anda? Tersentuh? Kan? Samalah kita. Saya tak tahu kenapa video ini sangat meninggalkan kesan kepada saya walhal asalnya, video ini bukan video motivasi. Bukan juga video untuk renungan. Video ini holistiknya cuma menceritakan proses seekor gajah yang melahirkan anaknya.


Video ini membawa pengertian kuasa ibu. Tidak kiralah ibu itu dari kalangan manusia mahupun binatang. Pentingnya; dia adalah ibu. 'Item' yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk nyawa yang lain. 'Item' yang sanggup meniti ruang-ruang kesakitan demi kelangsungan hidup. 'Item' yang bersusah payah untuk melahirkan anaknya. Itu perjuangan. Perjuangan yang jauh lebih besar daripada menumpaskan musuh di medan perang. 






Saya sangat tersentuh ketika ibu gajah itu menyepak-nyepak tubuh anak kecilnya untuk memastikan anak itu terus bernyawa. Saya sangat tersentuh ketika ibu gajah itu bersusah payah menolak tubuh anaknya jauh daripada takungan darah yang melambak. Saya sangat tersentuh apabila ibu gajah itu berusaha membantu anaknya yang tidak pernah berdiri itu untuk menegakkan kaki. Saya sangat tersentuh apabila ibu gajah itu sentiasa berada di sisi anaknya yang masih lagi kekok dalam mengatur langkah.


Itulah kuasa yang tidak ada pada mana-mana manusia. Meskipun seorang kekasih mahupun seorang kawan. Ibu mengatasi segala-galanya. Kuasanya mungkin sahaja membantu nyawa yang hampir terputus, tersambung kembali. 


Saat ini, benar-benar saya rasakan idea saya kontang untuk dicurahkan kepada tangan. Kaku. Sepi. Mesej video ini telah membuatkan saya hilang kata-kata. Jadi, saya serahkan pada anda, pada mata anda dan pada neuron anda untuk memahami dan menghadamkan apa yang terzahir.


* Ini mungkin satu cadangan untuk anda yang sudi membaca. Kalau anda seorang penceramah yang mahu menyampaikan mesej yang berkesan mengenai 'ibu' ataupun pengajaran kepada insan-insan yang pernah membuang bayi, mungkin video ini BAHAN yang sesuai. :)

Rabu, 13 Jun 2012

TUNGGU SEKEJAP

Assalamualaikum WBT.




Hati sarat dengan desakan yang begitu memekakkan. Emosi jadi tidak tentu arah. Kerja yang terbentang di hadapan mata. disepak jauh-jauh. Jeritan terus sahaja bergema.


Stress! Stress! Stress!


Penantian kadang-kadang macam menunggu proses loading internet jenama siput, macam menunggu durian hilang duri, macam menunggu harimau mengembek! Sungguh! Memandangkan saya bercita-cita mahu menjadi seorang novelis semenjak daripada berumur seawal 11 tahun, saya sudah terbiasa dengan perasaan seperti ini.


Bermula dengan menulis cerita-cerita 'bodoh' dalam buku sekolah yang dah tak digunakan lagi, sehinggalah saya fokus kepada satu-satu jalan cerita. Bayangkan... sekarang umur saya 19 tahun. Manuskrip itu saya taip ketika saya selesai menduduki PMR. Bayangkan lamanya macam mana....


Okey, saya tahu seseorang (atau lebih) akan kata ayat klise: "Biasalah tu." Jawapan klise saya juga : "Eh, jom berdiri dekat tempat saya, jom. :)"


Yakin! Pasti! Anda yang sedang membaca, pasti pernah berada dalam kondisi seperti ini.  Yalah, kondisi yang saya maksudkan luas maknanya. Mungkin anda rasa nak koyakkan sahaja buku sekolah kerana anda yakin tak dapat nak habiskan esei sepanjang 700 patah perkataan. Mungkin juga anda rasa nak campak periuk ke luar koridor kerana masakan anda tak menjadi dan dikutuk orang lain. Mungkin juga anda rasa nak menjerit di dalam pejabat kerana anda masih tercangak di situ meskipun langit telah gelap dan anda masih belum lagi siapkan pekerjaan anda.


Kita rasa tertekan kerana kita seperti satu-satunya individu yang jauh ke belakang. Emosi kita rasa membuak-buak kerana kita terlalu terdesak untuk melihat hasilnya kelak tapi kerjanya baru siap 45%.


Tarik nafas. Hembus. Tarik dan hembus.


Anda cuma perlukan secawan oksigen kerana otak anda terlalu tebal dengan asap jerebu. Fuhhh! Percayalah.. si penaip ini juga selalu berada dalam situasi seumpama ini. Memang berat! Terasa seperti KLCC menghempap kepala anda. Ditambah lagi dengan tekanan dan sinis-sinis manusia yang tak kenal erti penyepak. Aduhai... tak tau bagaimana mahu menggambarkan situasi diri ketika itu.


Betul. Anda cuma perlu bertenang. Cuba bayangkan tidak ada satu objek pun di sekeliling anda. Di ruang itu cuma ada anda dan 'pekerjaan' itu. Fokus dan pedulikan unsur-unsur luar yang cuba mencelah. Pedulikan kata-kata orang yang diharapkan sebagai hero yang boleh mengurangkan beban masalah kita tetapi mereka bersikap sebaliknya dengan berkata : "BIASALAH TU." Pedulikan. Kalau perlu, tempelak sahaja mereka itu.


Bila kita hampir tiba pada noktah yang terakhir, satu perasaan akan meresap secara automatik ke dalam jiwa. Tenang setenang-tenangnya. Rileks serileks-rileksnya. Bahagia sebahagia-bahagianya. Kita akan merasakan perasaan seperti kitalah manusia yang berjaya mengubah dunia. Kita akan merasakan perasaan seperti kita telah menghasilkan satu karya seni yang cukup agung.


Kadang-kadang, kejayaan hasil daripada menunggu adalah jauh lebih indah jika hendak dibandingkan dengan kejayaan yang datang bergolek. Hakikatnya, penantian itu langsung tidak menyeksakan jika kita teliti sebetul-betulnya. Penantian itu seperti satu proses untuk menghasilkan lukisan di atas kanvas. Hasilnya, kanvas itu mampu sahaja dijual dengan harga yang melambung tinggi.


 Kualiti itu jauh lebih penting berbanding kualiti. Setuju? 

Ahad, 3 Jun 2012

MENTOL UNTUK HARI-HARI ESOK

Assalamualaikum WBT.






Sesetengah manusia selalu skeptikal pada manusia yang pernah melakukan kesalahan semasa silamnya. Saya lihat situasi seumpama ini selalu. Tidak kira di mana. Di sekitar kawasan perumahan, di sekolah, di dalam drama televisyen swasta. 


 Penagih dadah yang baru sahaja keluar daripada pusat pemulihan dipulau sejauh-jauhnya. Perempuan yang pernah mengandung anak tidak sah taraf dihina sekeji-kejinya. Pelajar yang pernah dibuang sekolah dipandang sesinis-sinisnya.  


Wow! Adilnya dunia ini pada mata mereka. Adilnya jika hati rasa puas melihat sisa-sisa istana yang cuba dibina diruntuhkan dengan segera. Tahukah anda, wahai manusia-manusia berhemat, perasaan mereka itu? Tahukah anda bahawa dunia ini roda? Tahukah anda mungkin mereka lebih mulia berbanding dengan anda?


Tak ada masa untuk saya hasilkan entri ini semata-mata untuk menempelak golongan-golongan itu. Entri ini saya tujukan untuk mereka yang pernah dan belum pernah merasai betapa hebatnya peluang kedua.






Jujur saya akui di ruang ini. Saya antara orang yang pernah diberi keizinan untuk meraih peluang kedua. Maksudnya, saya pernah meniti detik-detik yang hampir membuatkan saya terperosok di sudut kamar yang terlalu gelap. Saya pernah meniti tangga ke bawah apabila jalanan hidup ini yang saya anggap saya telah pilih dengan betul, sebenarnya penuh dengan kaca dan paku. Lalu akhirnya saya terjatuh.


Kemudian, saya berhijrah. Berhijrah kepada sesuatu yang 180 darjah berbeza daripada kehidupan sebelumnya. Saya seperti menjadi orang baharu. Perlahan-lahan, jalan itu saya tempuhi. Pilihan itu menentukan sama ada saya mampu untuk berdiri sebagai seorang pengembara ataupun tidak. Lalu, jawapan akhirnya ialah ya. Saya boleh mengatakan bahawa saya bahagia dengan pilihan ini. Saya rasakan setiap saat seperti bernyawa. 


 Kesakitan itu boleh sahaja menjadi sifar jika kita berkehendakkan demikian. Kesakitan lampau itu mampu sahaja terubat jika kena pada antibiotiknya. Itulah peluang kedua, kehebatan peluang kedua.

Mungkin orang sekeliling berhak untuk melabekan anda sebagai seorang yang hipokrit. Kerana kita lupakan kisah semalam dan berkelakuan seolah-olah negatif semalam itu langsung tidak meninggalkan impak kepada diri kita langsung. Kerana kita seolah-olah lupa bahawa kitalah manusia yang melakukan kesalahan itu. Ya, biarkan sahaja. Tapi, satu perkara yang perlu diingat, andalah yang berhak menentukan apa yang anda selesa kerana hidup itu seluruhnya milik anda. Bukan milik mulut-mulut mereka.


 'Kecederaan' kelmarin itu jangan dijadikan sebagai video yang dimainkan berulang kali di dalam otak untuk diratap dan ditangisi. Sebaliknya, jadikan 'kecederaan' itu sebagai plaster untuk anda tampal pada lubang-lubang yang menghalang langkah anda pada hari-hari   akan datang. 


Sesiapa yang sedang membaca saat ini... pasti anda pernah menempuhi hidup yang kadang kala difikirkan terlalu tidak adil. Anda pernah gagal dalam ujian memandu. Anda pernah putus cinta dengan manusia yang dah anda kenali sepanjang lima tahun. Anda pernah kehilangan ibu buat selama-lamanya akibat kanser. Anda pernah ketagih pil-pil khayal. Anda pernah sekalipun membunuh bayi-bayi yang tidak berdosa. 


Ketahuilah... apa yang anda lakukan hari ini, tak semestinya menunjukkan apa yang bakal berlaku pada hari esok. Dunia ini seperti bola, sebentar bola itu bergolek memasuki longkang, sebentar bola itu menjengah gawang gol dengan megahnya. Pedulikan manusia-manusia yang menempelak tingkah laku anda. Pedulikan mereka yang tidak henti-henti menghentam anda. Anda! Cuma diri anda sahaja yang mampu mengubah asid menjadi neutral. Cuma anda yang mampu mengubah hidup anda sendiri. Cuma anda. 






* Saya pernah mendengar cerita ini dahulu tapi bagi saya ini cuma sekadar secebis cerita kosong. Cuma pada tahun lepas, ketika saya mengikuti satu program, saya tertarik pada cerita ini kembali dan mula memikirkannya secara mendalam. Bunyinya lebih kurang begini.


 Pencipta mentol gagal sebanyak 99 kali dalam 
 hidupnya sepanjang proses membikin sebiji 
 objek bercahaya. Tidak putus asa, akhirnya...
 dia cuma berjaya pada percubaannya yang 
 ke-100.