Ahad, 31 Januari 2016

#AJL30 : KEEP FLAWLESS, STACY!

Assalamualaikum WBT.

Genap seminggu, AJL30 berlangsung. 'Potret' diangkat sebagai juara.

Saat semua menjangkakan 'Assalamualaikum' sebagai juara awal-awal dulu, jauh kat sudut hati aku lebih yakin dengan 'Potret' sebenarnya. Bukan disebabkan mood jiwang lagu ni, tapi bagi aku liriknya yang strong bukan mudah untuk diterokai dengan cincai. Setiap patah kata punya aura. Diadun pula dengan susunan muzik, cantik jadinya 'Potret.' Tambahan lagi, menengokkan juri-juri AJL yang sama macam edisi-edisi yang sudah, aku yakin AJL belum masanya lagi nak mengangkat lagu-lagu seperti 'Assalamualaikum.' Apa-apa pun, aku puas hati sebab jangkaan aku tepat. Tahniah 'Potret'! Tahniah juga 'Assalamualaikum' - walaupun sejujurnya berbanding persembahan malam tu, aku lebih prefer mood festive dalam versi studionya. Mungkin mood akustik itu mahu disesuaikan dengan visual di belakang FT agaknya.

Jadi, 'Not For Sale'.... Awal-awal masa lagu ni dilancarkan dulu, aku tahu ini akan jadi senarai dalam AJL. Mendengar lagu Stacy yang satu ini, aku akui yang 'Not For Sale' berbeza kalau nak diletakkan di sebelah 'Gilalah,' 'Aku Stacy,' 'Pakai Buang,' 'Bosan,' mahupun 'Jahat.' Kalau kematangan yang Stacy gambarkan dalam album #1-nya, jadi 'Not For Sale' menepati kenyataan dia. Ya, Stacy buktikan kematangannya dalam muzik dan dalam masa yang sama, 'Not For Sale' tidak lari daripada identiti konkrit Stacy.

Bila aku katakan 'Not For Sale' akan jadi senarai dalam AJL, maksud aku, ada dua sebabnya. Satu, 'Not For Sale' bagi aku lebih kuat berbanding lagu-lagu Stacy yang lain di AJL sebelum ini. Adunan vokal rendah yang bagi aku sangat rare untuk Stacy persembahkan nanti secara live dicampur dengan mood lagu ini yang ada kelas tersendiri, 'Not For Sale' cukup kuat untuk jadi pelengkap AJL sebenarnya. Walaupun bukan sebagai susunan pemenang, setidak-tidaknya lagu ini akan jadi salah satu catatan peribadi perjalanan Stacy di AJL.

Sebab yang kedua, aku yakin pemilihan Stacy sebagai finalis AJL adalah harus! Harus untuk rating, harus untuk mood kemeriahan AJL itu sendiri. Jadi, takkan pilihan lagu yang perlu ke pentas akhir perlu lagu yang biasa-biasa, kan? Maksud aku, Stacy punya aura yang tersendiri untuk menarik kelompok penonton yang tersendiri kelak di AJL.

Aku jerit 'YESS!!!' sorang-sorang dalam bilik dekat U masa scroll Twitter dan dapat tau, 'Not For Sale' berjaya melangkah ke pentas akhir. Memandangkan aku tak dapat tonton secara langsung saat pengumuman finalis AJL berlangsung, aku masih mengikuti perkembangannya di Twitter. Tolak tepi lagu lain. Bagi aku, AJL yang aku tonton tiap-tiap tahun, takkan ada maknanya untuk aku kalau tak ada Stacy. Pernahkan sekali yang Stacy gagal ke salah satu edisi AJL? Masa tu, aku tengok ala kadar je AJL.

Jadi, malam final itu aku dah siap awal-awal depan TV. Nak tengok AJL punya pasal, nak tengok Stacy punya hal. Giliran Stacy hujung-hujung tahun ni. Sama macam tahun-tahun sudah. Seingat aku, jarang Stacy dapat giliran awal-awal. Pasti hujung-hujung.





Secara keseluruhan, aku sangat-sangat enjoy 'Not For Sale' malam tu. Malah, secara peribadi, aku anggap 'Not For Sale' sebagai antara yang terbaik daripada Stacy di AJL selain daripada 'Bosan', 'Aku Stacy' dan 'Pakai Buang.' Mungkin juga 'Not For Sale' sama efeknya seperti yang dilakukan oleh Siti Nurhaliza masa 'Ku Milikmu' di AJL18 dan Hazami dengan 'Mungkir Bahagia' di AJL21 - efek yang aku maksudkan ialah elemen-elemen yang dipersembahkan buat kita mahu menontonnya berkali-kali di Youtube kerana gimik dan cantiknya persembahan itu.

Beberapa perkara yang aku puji dalam persembahan AJL Stacy kali ini.

1. Jangkaan aku tepat bila Stacy menari seperti Cinderella di dalam ballroom masa pertengahan persembahan. Aku pernah baca komen daripada seseorang tahun lepas yang mengatakan skil menari Stacy dalam Gilalah! di AJL29 sama sahaja modus operandinya. Stacy asyik mempersembahkan skill tarian yang sama. Jadi, aku puas hati sebab Stacy muncul tahun ini dengan skill tarian yang berbeza. Aku 'wow' bila Altimet menyudahkan bahagiannya, Stacy terus menghentakkan kakinya ke lantai, lalu alunan orkestra Dato' Ramli MS menyuntikkan mood ballroom yang cukup indah digabungkan dengan tarian Stacy. Aku tabik kat barisan penarinya juga yang ber-masquerade segala bagi mengikut rentak 'Not For Sale' yang rancak tapi dalam masa yang sama masih ada kelasnya yang tersendiri.

2. Tolak tepi soal vokal, kalau kau nak vokal yang sempurna dan dalam masa yang sama penyanyi itu melompat sana-sini, pi layan Britney sana yang tentu-tentu miming. Normallah semput sana-sini. Tapi, jujurnya aku boleh kata persembahan Stacy kali ini lebih baik kawalan suaranya berbanding yang lepas-lepas. Aku khuatir dengan 'Not For Sale' sebenarnya, yang mula-mula lagi diwarnai low note yang mencabar. Stacy berjaya sempurnakannya.

3. Dato' Ramli MS betul-betul cemerlang dalam mencantikkan 'Not For Sale'. Sampaikan muzik 'Not For Sale' jadi begitu indah malam itu.

4. Pakaian Stacy tahun ini bagi just nice dan kena dengan 'Not For Sale'. Aku lega bila Stacy tidak lagi se-emo masa 'Pakai Buang' dan 'Bosan' dulu dalam menentukan pakaiannya. Haha.

Ada beberapa perkara sahaja sebenarnya bagi aku yang merencatkan persembahan Stacy malam AJL30. Aku tak pasti apa yang aku dengar betul atau tidak. Tapi, kalau ada yang perasan, sistem bunyi terganggu di verse ke-2 'Not For Sale,' kan? Cukup memalukan sebenarnya untuk pentas semegah AJL30. Kedua, penyanyi latarnya juga tak kena. Persembahan Stacy dah ngam, muzik dah okey, sekali penyanyi latar macam apa. Begitu juga dengan skrin latar belakang yang bermood berbeza dengan mood persembahan 'Not For Sale'. The unused props di belakang tu jugak agak mengecewakan. Aku mati-mati ingat, Stacy ada nak panjat ke props dekat belakang dia tu. Sekali, props tu cuma dijadikan sebagai penghias lampu-lampu 'divanya' sahaja.

Aku tak adalah terkejut mana bila 'Potret' yang bawa pulang 'Persembahan Terbaik.' Sekurang-kurangnya, 'Potret' tidaklah sekadar satu persembahan yang plain malam itu. Nak-nak pulak, 50% undian 'Persembahan Terbaik' adalah di tangan orang ramai. Tentu-tentu 'Potret' yang juara carta berminggu-minggu jadi pilihan.

Penyertaan ke-7 Stacy ke AJL tanpa sebarang kemenangan, aku dah terbiasa dengan hakikat itu. Bagi aku, Stacy tidak perlu menang pun. Sejak Stacy tewas masa 'Bosan' dulu pada persembahan semudah 'Bahagiamu Deritaku' dulu, aku dah tak letak sebarang harapan untuk Stacy bawa pulang trofi 'Persembahan Terbaik' lagi. Walaupun realitinya, aku sangat tak berpuas hati mengapa kategori itu perlu ada campur tangan penonton? Kalau dahagakan sangat anugerah yang diiktiraf penonton, lebih baik AJL wujudkan kategori 'Lagu Popular.' Itu lebih baik.

Bagi aku, malam itu, aku lebih berpuas hati dengan 'Not For Sale' berbanding dengan lagu-lagu lain. Aku dah penat melihatkan mood keraian yang sepatutnya ada pada AJL30 diisi dengan persembahan mudah finalis yang cuma play safe dengan hanya berdiri tegak bertemankan mic stand dan gitar - Faizal Tahir, Drama Band dan Dayang Nurfaizah sahaja bagi aku malam itu yang hebat membuat persembahan tanpa sebarang gimik, yang lain, maaf, nak menangis aku tengok persembahan mereka yang dah macam setaraf peringkat separuh akhir sahaja.

Setidak-tidaknya Stacy muncul dengan kelainan, muncul dengan identitinya yang cukup kuat iaitu menari sambil menyanyi. Identiti yang satu ini bagi aku susah untuk mana-mana penyanyi yang baru nak tumbuh dekat Malaysia untuk tiru.

Kalaulah Stacy baca blog picisan ni, satu je aku nak cakap dengan dia.

"Stacy, you will not be remembered as the champion of AJL's. But, instead, I'm sure you do will be remembered as one of the great performers in the history of AJL."

Stacy tak memiliki AJL, tak apa pun. Yang sayangnya, AJL yang tak memiliki Stacy sebagai salah seorang pemenang mereka. Stacy, bak kata salah seorang sahabat saya, macam Noraniza Idris versi pop. Angkatlah juara macam mana sekalipun, tapi persembahan penghibur seperti mereka yang duk usung jemaah penari beribu-riban atas pentas tu lah yang akan diingati 10 atau 20 tahun akan datang.

Aku doakan yang terbaik untuk Stacy. Terus menghiburkan dengan lenggok tari dan vokal yang mantap. Aku menunggu lagu-lagu yang seterusnya daripada Stacy. No matter what, Stacy, I'm still one of your biggest fan! Keep flawless, queen! 

PECAH DAPUR 2

Assalamualaikum WBT.

Kita berhenti sekejap cerita pasal Istanbul ya? Aku sendiri bosan pulak nak memerah kepala fikirkan isi dalam episod-episod di Istanbul.

Cuti ni, aku cuba rajin-rajinkan heret telefon ke dapur setiap kali masa masak. Senang, angkat dari kuali atau lepas tutup api, terus grab phone, tangkap gambar.

Jadi, di bawah merupakan antara menu saya minggu ni. 

1. Nasi Lemak homemade yang Mak buat masa sarapan lepas. Kadang-kadang, menu sarapan macam nasi lemak, roti canai, roti jala ke apa, bila masak sendiri lagi puas hati, kan? Nak tambah berkali-kali pun sapa peduli? Haha. Selalu terbayang-bayangkan sambal tumis mak yang perfect pada tekak aku. Even aku buat pun tak jadi. Mana taknya, sabar bukan sesaat dua. Berminit-minit lamanya! Haha.


2. Asam Pedas Daging. Yang ni aku masak sendiri. Ikut suka hati, ikut tekak sendiri. Campak daun kesum, bunga kantan, serai, lada hitam... Nah, hambik kau! Haha.. Alhamdulillah, habis jugak. 


3. Terung Goreng Berlada. Antara favorite jugak. Mudah dan berselera. Abah dan mak bila makan lauk ni, diorang mungkin suka terung yang empuk sepenuhnya dan hampir lembik. Beza dengan aku, aku lagi suka kalau freshness dan rangup terung masih ada. Sekali kenang, makan dengan bubur nasi kosong pun okey jugak kan? Haha. 


4. Ikan Cencaru Goreng Taucu. Berbanding goreng kicap, sebenarnya aku lagi suka menu ringkas menggunakan taucu. Nak-nak pulak kenakan dengan ikan cencaru (goreng tak payah rangup sangat). Nah!


5. Pucuk Ubi Masak Lemak Cili Api. Ni Mak masak. Sama kaedahnya dengan nangka hari tu, cuma hari ni kita swap dengan pucuk ubi. Ini pucuk ubi sahaja direncahkan dengan ikan bilis. Kalau lainnya, rajin juga mak jadikan daging salai atau ikan tenggiri sebagai 'penemannya.'


6. Telur Mata Masak Kicap. Dah bermenukan pucuk ubi sahaja, tak semua orang dalam rumah ni tekaknya begitu. Jadi, terhasillah lauk ringkas ini. Jadilah, dari tak ada.


7. Kari Ikan Jenahak. Konon-konon nak tiru style Kari Kepala Ikan restoran mamak. Letaklah bendi, terung, cili kering yang dah digoreng terlebih dahulu.. Dan nah! 


8. Bendi Goreng. Seingat aku, kawan mak dulu yang berbangsa India ajar macam mana nak goreng bendi tanpa 'dinodai' lendir bendi tu yang merimaskan. Dari cara membasuhnya (basuh dulu baru potong) sampailah campakkan hirisan lada kering. Beberapa tahun jugaklah teknik ni diaplikasikan Alhamdulillah menjadi. Maafkan kuantiti lada kering yang agak banyak tu, tak sedar pun saya dah terhiris banyak tu. Tak nak membazir, saya leburkan terus semua. Haha.


9. Sambal Daging. Masa pergi pasar tani hari tu, niat nak cari daging salai terbantut sebabkan dah habis. Jadi, mak gantikan dengan daging biasa, konon nak menyalai sendiri. Berhari-hari dalam peti ais, sudahnya selamat aku sambalkan semalam. Titikkan serai untuk mewangikan lagi.


10. Tumis Air Ubi Kentang. Untuk saingkan dengan lauk daging tadi supaya tak berseorangan atas meja, jadi beberapa ubi kentang jadi penyelamatnya. Haha. Campurkan sekali soh hoon dan pucuk tahu. 


Bukan nak tunjuk sangat skil memasak, ceritanya. Tapi, kan aku dah kata. Niat nak menulis ni berkobar-kobar. Jadi apa je yang aku hadap sepanjang cuti ni, seboleh-bolehnya aku gagahkan untuk rakam dan abadikan di dalam blog ni. Esok lusa, mana tau.. mati pulak semangat ni. Sekurang-kurangnya ada jugak benda nak dibaca mata lepas-lepas ni. 

Jumaat, 22 Januari 2016

PECAH DAPUR

Assalamualaikum WBT.

Cek balik senarai pos dalam blog ni, berderet-deret pulak cerita pasal Istanbul. Bukannya apa, masa-masa cuti ni lah masa banyak terlebih nak hadap laptop, nak belek blog bagai. Assignment, final exam dan hidup sebagai pelajar, betul-betul melimitasikan segala kudrat nak menulis, baik di blog, baik di manuskrip. 

Muak jugak sebenarnya nak menatap entri-entri Istanbul je. Sesekali selitkan entri lain apa salahnya kan? Blog aku, bukan blog kau. Eh? Haha.

Cuti bagi aku masa untuk aku balas dendam segala kempunan dan keinginan tekak sepanjang kat universiti. Cutilah masa untuk aku masuk dapur, masak itu dan masak ini. Yalah, kalau kat kolej, bukan boleh masak pun kan? Haha. Eh?

Dari kecik, aku dikenalkan pada dapur. Aku suka makan, obviously. Dan aku suka masak. Belajar dengan mak macam-macam resepi, teknik dan petua buat aku boleh kata tak kekok nak masak untuk tekak sendiri dan tekak keluarga. 

Jarang aku masuk dapur dengan terpaksa. Memandangkan memasak memang minat aku. Duduk berjam depan periuk, berpeluh sana sini, bila lihat hasil masakan kita, kita puas hati. Hilang penat.

Bila cuti ni, selalu jugak ke dapur. Bak kata pensyarah aku dulu, kita bila duduk jauh dari keluarga, sesekali balik apa yang kita nak makan, mak kita mesti masakkan. Haha. Macam tu jugak kisahnya dengan aku. Nak masak ni, masa teman mak pi pasar, kita karang je menu dan bahan-bahan. Terus mak suruh capai. Dengan senang hatinya, bila balik aku yang 'bersilat' kat dapur memasak.

Ni antara menu yang aku masak cuti sem ni.

1. Sayur Pucuk (atau famili aku panggil pucuk tauhu) Masak Lemak Putih. 


2. Tauhu Goreng Berlada. One of the most simple dish yang senang gila nak buat. Dan yang paling penting, sedap gila makan dengan pucuk tahu masak lemak tadi.


3. Sambal Belacan. Aku lagi suka tumbuk dengan lesung instead guna pengisar. Rasa dia lagi pure dan raw.


4. Nangka Masak Lemak Cili Api. Bila duduk sorang-sorang kat bilik masa dekat U, lauk ni selalu aku terbayang-bayangkan bila hadap maggie. Pasar tani bagi aku, tempat paling sesuai untuk cari pelbagai sayur kampung yang segar dan unlimited. Salah satunya, nangka ni. 


5. My own version of Sambal Jawa. 


6. Ni masa cuti sem bulan puasa hari tu. First day bukak puasa di rumah (dalam belasan puasa jugaklah baru aku balik masa tu). Menu pertama yang aku nak Asam Pedas Ikan Kembung. Lain sikit sebab versi keluarga aku, jarang kami guna pucuk kesum atau bunga kantan. Versi yang mak ajar - dari keluarga abah - asam pedas kami bahan asasnya adalah halba dan daun kari. 


7. Pajeri Nanas. Ni pun masa cuti sem bulan puasa yang lepas. First time sebenarnya seumur hidup aku buat ni. Tiba-tiba 'disentuh hidayah' nak belajar buat ni dengan Mak. Mak duduk sebelah, aku hadap kuali. Jenuh nak menunggu dan mengimbangkan itu ini ramuannya. Alhamdullillah, jadi.


8. Ikan Sembilang Masak Lemak Cili Api. Ni bukan aku masak, tapi mak yang masak. Aku belum mampu nak sampai ke tahap ni lagi. Ni my all-time personal favorite. Masakan macam ni bagi aku sangat tinggi tekniknya. Macam mana nak seimbangkan pedas dan masam serta kesegaran ikan sungai, bukan kerja senang. Tak ada yang lagi heaven daripada kesegaran Ikan Sembilang digabungkan dengan rasa masam dari jus limau kasturi dan rasa unik dari pucuk kesum. 


Kadang-kadang, bila lama tak balik cuti, kita bukan nak sangat pun makan rendang ayam ke, nasi ayam ke, apa ke. Masa-masa cuti ni lah, tekak kita teringin nak makan makanan yang simple dan sangat jarang dimakan masa dekat U. Kadang-kadang, tu pun dah cukup.

Mungkin sebab lauk-lauk simple macam ni, makan pulak ramai-ramai dengan famili lagi heaven daripada kita makan sorang-sorang dekat bilik bertemankan dinding dan skrin laptop. 

*Bangga sekejap dengan pencapaian peribadi aku berblog setakat ni. Harap aku terus istiqamah dan konsisten. Jauh-jauhkanlah daripada 'hangat-hangat tahi ayam.' Dahlah 'busuk,' bila makin lama dibiarkan, nak bersihkan pun payah. Haha.

**Percubaan kedua mengemas kini blog terus dari telefon. Satu strategi untuk istiqamah dalam berblog jugak. Haha.

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 5

Assalamualaikum WBT.

Tiap-tiap hari menghadap sarapan yang sama, tekak kami dah mula bosan. Mana taknya, setiap pagi kami dijamu dengan sup cair yang dimakan dengan roti, timun, keju, Koko Krunch, sosej dan minyak zaitun berulang-ulang. Ling sampai nekad nak keluar daripada hotel semata-mata nak cari mana-mana kedai kebab yang dah buka pagi-pagi tu.

Pagi tu, aku jujurnya tak jelas mana arah tuju kami. Masa diorang bincang dekat lobi semalam dengan tour guide kami, aku tak fokus mana pun. Yalah, kan? Masa kat lobi je lah, line Wi-Fi laju gila. Masa tu lah kita sibuk nak meng-update Instagram bagai.

Kenderaan yang membawa kami berhenti di sekitar kawasan taman. Di tengah-tengahnya, ada satu tugu peringatan yang bentuknya biasa kita lihat. Malah, aku cam bentuk tugu ni macam tugu yang ada dekat Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Balik bilik, cek album, rupanya lokasi tu ialah Horse Square.

Kami berjalan agak jauh untuk tiba di sebuah pintu gerbang. Aku terpinga-pinga. Kat mana sebenarnya ni? Muzium apa pulak ni? Aku tanya Pie. Pie jawab. Aku tergamam, susah sikit nak percaya. Aku baca papan tanda yang terletak berhampiran dengan pintu masuk tu. Perlahan-lahan aku terima hakikat. Ya, di hadapan aku sekarang ialah Sultanahmet Mosque! Atau yang selama ini aku kenal sebagai Masjid Biru.


Tak melengahkan masa lagi, kumpulan kami melangkah masuk. Aku dah siapkan awal-awal monopod. Aku nak rakam semaksimum mungkin gambar di sini. Aku terpegun melihat seni bina di hadapan aku kini. Pernah aku baca tentang sejarah Masjid Biru dulu-dulu. Masjid ini dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmed I kononnya untuk menandingi Ayasofya yang telah terbina lebih awal semasa zaman Byzantine. Masjid ini dari luaran taklah sebiru seperti namanya. Tapi, uniknya bahagian dalam masjid ini dihiasi dengan seramik-seramik berwarna biru yang menghiasi kubah serta dindingnya.





Kami keluar daripada pintu yang berlainan. Melintasi taman yang di tengahnya terletak air pancut gergasi, di sebelah sana, aku cam sebuah bangunan berwarna merah pudar yang kelihatan agak lama dan usang. Tak perlu dinyatakan, aku tahu di hadapan aku ini apa.



Ayasofya! Ya Allah! Akhirnya, di hadapan aku sekarang yang Kau hidangkan ialah Ayasofya! Aku tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku masa tu. Terasa sebak macam nak menangis. Terasa bangga kerana impian yang satu ini aku laksanakan hari ini tanpa aku sedar dan bersedia pun. Sejarah dan kisah yang selama ini aku cuma baca secara literal, hari ini aku lihatnya secara realiti dan konkrit.

Ayasofya asalnya merupakan sebuah gereja. Setelah Islam menawan Konstantinopel, Ayasofya dijadikan sebagai masjid. Ayasofya kemudiannya ditukarkan kepada sebuah muzium. Keunggulan Ayasofya ditunjukkan oleh sejarah betapa bangunan ini menjadi rebutan dalam dua agama. Melihat ruang dalam Ayasofya, jelas dapat dilihat elemen-elemen pertembungan antara Kristian dan Islam. Ada satu ruang di dalam Ayasofya, gambar Mary terletak di antara kalimah Allah dan Muhammad. Sungguh unik! Puas sungguh mata aku menjelajah di dalam ruang Ayasofya, tinggalan agung sejarah ini. Rasanya memasuki Ayasofya seperti aku sudah menawan satu Istanbul.





Ukiran Mary di antara kalimah Allah dan Muhammad di dalam Ayasofya


Terselit satu kisah sebenarnya dari kalangan kami di Ayasofya. Kisah Su di sini dilengkapkan konon dengan pertemuan dengan seorang 'putera.' Kahkah! Bukan dari Istanbul, ya. Ni 'putera' yang diterbangkan jauh daripada mana? Daripada Malaysia jugak! Haha. Sesi tegur-menegur tu pulak betul-betul di sekitar The Omphalion. Ikutkan tour guide kami, ada sesetengah komuniti yang menganggap, jika bumi yang berbentuk sfera ini dihamparkan menjadi satu hamparan, maka The Omphalion yang berbentuk petak itu merupakan titik tengah bumi ini. Tak taulah sejauh mana kesahihannya. Sangat novel kisah kau, Su! Konon-konon tajuk novel seterusnya 'Istanbul, Aku Terjatuh!' Haha! Haip, jangan ingat kisah ni terhenti kat sini, ya. Nanti ada sambungannya. Nak tau, kena tunggulah. Even episod Su di Ayasofya ni pun aku tak arif sangat sebab aku tak ada dengan Su masa tu. Yang ada si Pie je. Sampai sempat diorang berdua ber-wefie dengan 'putera' and the gang-nya.

The Omphalion, saksi cinta Su.



Usai makan tengah hari, destinasi kami yang seterusnya adalah kembali ke sekitar Grand Bazaar. Inilah masanya aku memborong lambakan key chain dan beberapa barang lain untuk cenderahati untuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Bagi aku, tak ada sangat barang-barang kat sini yang aku nak beli. Sebab barang macam baju sejuk, beg dan lain-lain bagi aku boleh je kita jumpa dekat Malaysia. Entah-entah lagi murah. Sebab tu, aku betul-betul fokus untuk cari barang yang betul-betul identical dan ada ciri-ciri Istanbul. Aku nak tergelak dekat si Im. Punyalah jauh kami berjalan, benda yang dia cari dan nak sangat beli cuma tuala ke selimut, entah. Bila aku gelakkan, dia kata lebih kurang begini; "Biarlah, sekurang-kurangnya ada juga barang dari Istanbul yang aku ada." Haha. Sumpah, kelakar!




Belum pun lagi reda dengan kes Aisyah hilang duit dekat KLIA hari tu, kami dihentam lagi dengan cerita seterusnya. Bila dah ada dalam kereta, baru Ling sedar yang telefonnya sudah hilang. Puas dicari, diselongkar, tapi hasilnya hampa. Pahit macam mana pun, benda dah jadi. Mungkin telefon Ling dicuri ketika kami berhimpit-himpit di ruangan membeli-belah tadi. Simpati dengan Ling sebenarnya. Tapi, kami pujuk dengan menyatakan mungkin itu rezeki Ling. Hilangnya itu mungkin berganti dengan iPhone 6S. Siapa tahu, kan?

Khamis, 21 Januari 2016

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 4

Assalamualaikum WBT.

Oleh sebab plan untuk berdiskusi dengan grup pelajar Malaysia yang belajar di Istanbul tergendala - plan asal kami adalah pada hari itu - destinasi kami bertukar ke Black Sea. Dari atas bukit, kami dihidangkan dengan pemandangan laut yang terbentang luas. Suasana di sini benar-benar dingin. Tiga lapis tekstil yang membaluti tubuh masih lagi belum kebal untuk menjadi benteng daripada deruan udara sejuk. Aku google, baru aku tahu sebenarnya laut ini memisahkan antara Turki dengan beberapa negara lagi seperti Rusia, Ukraine, Bulgaria dan lain-lain.

Sebenarnya lah kan, bagi aku, objektif kami pagi ni ke Black Sea bukan apa sangat pun. Lebih nak bergambar je sebenarnya. Memandangkan malam tadi aku dah beli monopod, nah, makin menggila kerja diorang ni nak ber-wefie. Pasal monopod tu, cerita dia macam ni. Balik dari makan malam semalamnya, kami yang geng-geng lelaki ni pilih untuk jalan-jalan di luar dulu sebelum berehat di bilik. Terserempak dengan penjual di tepi jalan, aku tertarik dengan monopod yang dijual tu. Fikir punya fikir, mengenangkan lenguh jugak tangan setiap kali nak selfie. Lalu, monopod tu aku capai dengan harga tawar-menawar, 8 TL. Convert punya convert, adalah lebih kurang RM12 harga monopod tu. Kira murah jugaklah kan? Haha. Even monopod tu pun aku guna sampai sekarang.





Pie dengan kebanggaannya pada JDT membawa hingga ke Istanbul.
Su yang bertudung pink si ratu kamera antara kami.


Peminat yang teruja berjumpa secara real dengan artis macam aku. Haha!

Aku tak tau apa motifnya gambar ni. Tengah galak ber-selfie dan dalam masa yang
sama buntu nak buat pose apa, aku paksa diorang buat pos Azwan Ali. Tiba-tiba, kau!
Nah, hambik! Haha!

Taksim Square destinasi kami yang seterusnya hari itu. Sampai di situ, yang pertama menarik perhatian aku ialah monumen di tengah-tengahnya. Salah satu bahagian monumen itu merupakan ukiran patung Mustafa Kemal Ataturk. Aku teringatkan sebuah novel yang aku pernah baca dulu berkenaan dengan Mustafa Kemal Ataturk tentang usaha beliau dalam memahatkan namanya dalam minda orang Turki dengan cara membina patung-patung beliau di serata Turki. Dan yang di depan aku sekarang ni adalah salah satu buktinya, mungkin.




KFC di sini. Totally different! 

Di sekitar situ, terdapat kawasan membeli-belah yang bagi aku, sama keadaannya dengan Jalan Masjid India di Malaysia. Cuma bezanya, mungkin tarikan tram klasiknya yang berdenting membunyikan loceng apabila landasannya diganggu segerombolan manusia serta penjual jagung bakar dan buah berangan atau chestnut yang dijual di mana-mana sudut yang mungkin kita tak jumpa di Jalan Masjid India atau Jalan TAR.


Dengan Pak Im yang berwajah suci

The classic tram was right behind me!

Aku nak bagitau satu je. Ada dua tujuan peribadi aku sebenarnya bila nak ke Istanbul. Satu; aku nak tengok depan mata sendiri Ayasofya. Dua; aku nak makan 'aiskrim terbang' tu. Dan satu impian aku tu terlaksana di sini, di Taksim Square. 

Masa menonong jalan tu, mata aku terus terpaku pada penjual aiskrim yang terselit di celah-celah kedai. Dengan pakaian dia yang macam separa matador dan loceng-loceng yang bergantungan, aku tahu itu tandanya apa. Aku jerit panggil diorang yang kat depan suruh berhenti. Masa tu, perasaan aku sangat membuak-buak nak cuba, tapi tak tau kenapa tersekat-sekat kemahuan yang satu tu. Sudahnya, peniaga aiskrim itu memanggil kumpulan kami seolah-olah dia tahu mahunya kami apa. 

Dengan penuh terujanya, aku keluarkan iPhone dan rakam semua aksi penjual aiskrim itu. Sumpah, wei. Feeling dia lain bila tengok persembahan ni depan mata sendiri. Sebelum ni, kita tengok dalam tv, hari ni kita tengok depan mata. Haha. Riuh-rendah daripada kumpulan kami, menarik beberapa pengunjung lain yang tertarik untuk menontonnya sekali. Kami ketawa tak ingat bila penjual aiskrim itu lincah memainkan aiskrimnya di depan kami, ditambah dengan dentingan loceng dan jeritannya yang lawak gila.

15 TL dihulurkan seorang satu sebagai bayaran kepada aiskrim tadi. Bagi aku, rasanya tak adalah sesedap mana. Aiskrim ni ada rasa sticky dan masam yang berlainan. Sudahnya, aiskrim tu aku tak dapat habiskan pun. Yalah, mana taknya, tangan kanan pegang aiskrim, tangan kiri jagung bakar. Dengan beg 'almari' aku sekali kena jaga. 

Sekali masa kami berjalan ke depan lagi, terjumpa dengan penjual aiskrim lain yang nyata-nyata mempamerkan harga 5TL sahaja untuk satu aiskrim. Masa tu, tahu sudah yang kami memang awal-awal terkena tadi di kedai awal tadi. Haha. Tak apalah. Aku tak kisah pun asalkan pengalaman manis tu tetap ada. Haha.

Konon nak balas dendam dekat brader ni, aku main-mainkan dia balik masa nak bayar. Haha.


Sementara menunggu ahli rombongan kami yang lain tiba di tempat berkumpul, kami yang dah selesai ni sempat ke kawasan di sekitar monumen tu yang dipenuhi dengan burung merpati. Aku yang ada alektorophobia + ornithophobia ni pun, sekali excited nak bergambar dengan burung-burung merpati kat situ. Sampai hilang takut aku. Haha.



Dekat sinilah berlaku satu lagi peristiwa dalam episod jelajah kami di Istanbul. Yang mana, aku dan Su 'diperas ugut' oleh budak penjual makanan burung di situ - secara illegal aku rasa - untuk membayar 5TL sebagai bayaran sebab bergambar di situ. Mati-mati aku dengan Su kata yang kami cuma membeli makanan burung yang dia jual sahaja, bukan minta servis dia tolong ambilkan gambar kami. Taktik yang budak tu gunakan adalah masa aku sibuk merakam, masa tu jugaklah dia sua-suakan tangannya depan kamera aku. Kononnya, asalkan tangan dia masuk - atau kontrubusi dia ada dalam gambar tu - dia berhak untuk menuntut harga. 

Geram jugak bila difikir-fikirkan balik. Aku fikir nasib kat tempat orang. Sudahlah sepatah pun yang dia cakap aku tak faham. Penyudahnya, terbang jugak 5TL kami. Jadi, itu menjadi pengajaran kami di sini. Jangan main-main dengan orang yang menjalankan bisnes walaupun bisnesnya cuma di tepi jalan!

Bila tengok gambar Ling ni balik, baru aku perasan. Budak lelaki kat belakang Ling tu lah
yang tuntut 5TL dari kami tu. Haha.
Aku rasa banyak-banyak gambar kat Taksim Square, gambar ni lah yang paling gedik sekali.
Haha. Dengan Arep.

Habis-habis dengan tourguide sekali kami suruh buat pose Azwan Ali. Kau hado?! Haha!

Sebelah malamnya, kami ke Restoran Nur Muhammad yang merupakan restoran yang diusahakan oleh orang Malaysia kita. Restoran ni menghidangkan macam-macam juadah Malaysia untuk pengunjung yang berasal daripada Malaysia atau pengunjung lain yang berminat nak merasai masakan Malaysia.



Tengah rancak-rancak berborak, tiba-tiba terbuka cerita pasal novel aku. Entah macam mana, TNC cadangkan novel sulung aku ni dilancarkan dekat UMS balik nanti dan kalau boleh, dijual pulak dekat Kedai Buku UMS. Ya ALLAH! Segan aku. Bagusnya kalau jadi kenyataan, ye tak? Haha.

Sebelum menutup entri ni, aku cuma nak nyatakan yang aku kagum pada semua pelajar daripada negara kita yang memilih untuk melanjutkan pelajaran jauh di bumi Istanbul. Kagum dengan kecekalan dan usaha mereka yang sanggup berjauhan daripada keluarga dalam jangka masa yang panjang. Even aku ni sendiri yang di bumi Borneo jauh daripada rumah, ada juga tertinggal kesan mula-mula dulu. Inikan mereka yang lagi beribu-ribu kilometer jauh daripada rumah.

Boleh katakan, aku jugak sikit kesal pada segelintir - tak semua - yang terlibat dalam perhubungan program kami di Istanbul. Aku puji beberapa insan yang sudi juga meluangkan masa turun untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Cuma, yang lain itu, satu je lah yang aku hairan. Apa yang susah sangat untuk katakan 'Maaf, kami tak dapat beri komitmen' awal-awal lagi supaya kami sendiri tak terkontang-kanting. Kadang-kadang, jawapan menolak dalam cara yang betul itu lagi bagus daripada jawapan menerima yang belum tentu lagi sepenuhnya menerima. Sejujurnya, berurusan dengan orang bukan dari negara sendiri lagi senang berbanding dengan berurusan dengan orang yang tentu-tentu dari tempat asal yang sama dengan kita dan terus usung mentaliti konvensional sekali ke negara orang. 

Maaf, tak bagi cili pun untuk dimakan. Untuk renungan diri sendiri pun, jadilah. 

*Aku rasa setakat ni, entri ni yang paling banyak gambar. Why bother, why bother? *gaya Azwan Ali. Haha