Selasa, 19 Januari 2016

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 2

Assalamualaikum WBT.

Ini kali pertama sebenarnya dalam hidup aku berada di dalam penerbangan selama ini. Lebih kurang 8 jam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Abu Dhabi. Seterusnya, lebih kurang lagi 4 jam menuju ke Istanbul. Serius, lama gila! 

Etihad mungkin antara yang terbaik pernah aku huni. Walaupun masuk ke kelas paling belakang, masih lagi kita rasa kelasnya. Dengan skrinnya, alat kawalannya, USB port, chatting room, senarai movie-nya. Jakun jugak mula-mula. Haha. Tapi, DIVA punya pasal, tak apa, kita control. Haha!

Tiba di Abu Dhabi, perkara pertama yang dicari ialah air. Sumpah, dahaga gila! Sudahlah dalam flight tadi, macam dah dekat negara komunisme yang rukun pertamanya; mencatu air. Ronda punya ronda dalam ruang lapangan terbang Abu Dhabi, saya terkejut macam nak terkeluar biji mata. Air minum sampai dekat 20 dinar? Sandwich yang kita buat bukan main senang dekat rumah, dekat dalam ni dia jual dekat 30 dinar? Pergh! Mencekik gila kesnya ni. Sudahlah airport ni bukan main besar nak kena ronda. Penyudahnya, saya jeling jelah wallet yang nipis.

Lama jugak kami menunggu untuk burung besi yang seterusnya bersedia untuk membawa kami ke Istanbul. Sampaikan bermacam-macam ragam manusia di airport itu yang kami hadamkan. Ada yang rambut macam Sia Chandelier, ada mak cik Arab yang terjatuh di escalator. Lebih kurang empat jam menunggu, kami bersedia untuk terbang pula ke Istanbul. Empat jam lebih kurang perjalanan untuk ke sana. Kami tenang di dalam perut kapal terbang. Filem bersilih ganti. Tidur, bangun, lena, terjaga. Itu sahaja putarannya. Takkan nak bukak pintu, pergi main kat luar pulak kan? Haha.

Aku rasa tak sampai sejam aku terlelap, tiba-tiba aku tersentak. Mata aku terbuka luas. Pengumuman bergema di telinga. Istanbul akan kami hampiri beberapa detik sahaja lagi. Dia punya berdebar-debar jangan cakap. Kalau nak tahu, pergi baca balik prolog.

Skrin yang tadinya galak mempamerkan filem kini mula berganti dengan pemandangan di luar perut kapal terbang. Mulanya cuma kepulan asap yang aku nampak. Lama kelamaan, sebuah daratan mula aku hadamkan. Tidak perlu diumum berkali-kali, aku sudah tahu bahawa itu ialah Istanbul. Istanbul, Faiz! Istanbul yang selama ni cuma ada dalam mimpi. Istanbul yang selama ini cuma kau kenal dalam buku dan Google. Istanbul yang selama ini cuma disebut main-main oleh bibir. Hari ini, detik ini, Istanbul tepat-tepat ada di depan mata. 

Aku agak pasti perasaan ini sama dengan sahabat-sahabat rombonganku yang lain. Skrin di hadapan kami yang memaparkan pemandangan ini, bukti bagi setiap usaha yang dicurahkan dalam membayar harga untuk ke Istanbul. Mesyuarat demi mesyurat, telefon sana telefon sini, panas sana sejuk sini, akhirnya kami sampai ke sini.



1.30 petang waktu Istanbul, kami selamat mendarat ke bumi. Aku kontrol debar semahu mungkin. Nak percaya, tak nak percaya, dah memang pun Istanbul di bawah kami. Cuma kaki sahaja belum jejak ke tanah. Baju sejuk sengaja aku sangkutkan di lengan. Akal kata, tak sejuk mana pun ni. Berpusu-pusu apabila nak keluar dari perut kapal menyebabkan pintu keluar terasa berbatu-batu jauhnya. 

Tepat kaki melangkah keluar dari pintu pesawat, perkara pertama yang menyambut kami ialah hembusan angin yang cukup dingin untuk kulit biasa Melayu seperti aku. Excited! Kaki turun ke anak tangga kedua. Masih lagi teruja. Makin ke bawah, aku makin rasa yang cuaca ini bukan main-main. Sebab itu, sampai sahaja di anak tangga terakhir, aku terus sarungkan baju sejuk ke tubuh. Sejuk, sumpah!

Dari tangga kapal terbang, kami dibawa bas menuju ke ruang ketibaan. Selesai urusan tuntutan bagasi sekali dengan hal duniawi di tandas, kami menuju ke pintu keluar balai ketibaan. Mata sudah diingatkan berkali-kali untuk peka mencari insan yang bertanggungjawab 'memandu' kami sepanjang berada di sini. Pemandu pelancong kami, senang cerita. 




Jumpa! Kami terus ke restoran untuk makan tengah hari dan seterusnya ke hotel. Dalam perjalanan ke hotel, sedikit pun aku tak kalihkan mata daripada tingkap. Biarlah penat terbeban lalu mengarahkan mata untuk lena. Tidak, aku tahan sedaya mungkin! Aku rasakan setiap inci tanah yang aku lihat ketika itu, aku mahu teliti sedalam-dalamnya. Dalam pada tu, mulut Mr. Mustaffa, pemandu pelancong kami tidak henti-henti bercerita itu dan ini. Bukannya aku kisah sangat sebab aku macam dipukau untuk terus menikmati pemandangan di luar tingkap. Namun, beberapa fakta yang melompat keluar dari mulut Mr. Mustaffa masih lagi aku kagumi. Antaranya Istanbul meliputi 97% bumi Asia dan selebihnya ialah kawasan Eropah. 











Sebelah malamnya, kami berdiskusi sebentar di lobi sebagai persediaan untuk ke Fatih University keesokan paginya. Selesai sahaja, kami bersembilan sengaja memilih untuk mencipta momen malam pertama kami di Istanbul dengan berjalan di sekitar kawasan situ.

Dinginnya, ya ALLAH. Tak pernah aku rasa udara yang seperti ini. Sejuknya menggigit kulit, menyedut kelembapan yang ada, tapi dalam masa yang sama sejuknya meresap ke dalam emosi dan susah nak diterjemahkan gembiranya. Gayat jugak aku mula-mula bila aku membuka mulut, berpusu-pusu asap kecil ikut keluar seiring dengan hembusan nafas. Feeling-feeling omputeh sekejap, kau!

Tak terkira rasanya gambar yang memenuhi album iPhone aku. Belum lagi genap sehari di Istanbul, dah banyak begini. Aku tak tahu lagi dua tiga hari yang akan datang ni macam mana kisahnya.






Tiada ulasan: