Jumaat, 22 Januari 2016

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 5

Assalamualaikum WBT.

Tiap-tiap hari menghadap sarapan yang sama, tekak kami dah mula bosan. Mana taknya, setiap pagi kami dijamu dengan sup cair yang dimakan dengan roti, timun, keju, Koko Krunch, sosej dan minyak zaitun berulang-ulang. Ling sampai nekad nak keluar daripada hotel semata-mata nak cari mana-mana kedai kebab yang dah buka pagi-pagi tu.

Pagi tu, aku jujurnya tak jelas mana arah tuju kami. Masa diorang bincang dekat lobi semalam dengan tour guide kami, aku tak fokus mana pun. Yalah, kan? Masa kat lobi je lah, line Wi-Fi laju gila. Masa tu lah kita sibuk nak meng-update Instagram bagai.

Kenderaan yang membawa kami berhenti di sekitar kawasan taman. Di tengah-tengahnya, ada satu tugu peringatan yang bentuknya biasa kita lihat. Malah, aku cam bentuk tugu ni macam tugu yang ada dekat Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Balik bilik, cek album, rupanya lokasi tu ialah Horse Square.

Kami berjalan agak jauh untuk tiba di sebuah pintu gerbang. Aku terpinga-pinga. Kat mana sebenarnya ni? Muzium apa pulak ni? Aku tanya Pie. Pie jawab. Aku tergamam, susah sikit nak percaya. Aku baca papan tanda yang terletak berhampiran dengan pintu masuk tu. Perlahan-lahan aku terima hakikat. Ya, di hadapan aku sekarang ialah Sultanahmet Mosque! Atau yang selama ini aku kenal sebagai Masjid Biru.


Tak melengahkan masa lagi, kumpulan kami melangkah masuk. Aku dah siapkan awal-awal monopod. Aku nak rakam semaksimum mungkin gambar di sini. Aku terpegun melihat seni bina di hadapan aku kini. Pernah aku baca tentang sejarah Masjid Biru dulu-dulu. Masjid ini dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmed I kononnya untuk menandingi Ayasofya yang telah terbina lebih awal semasa zaman Byzantine. Masjid ini dari luaran taklah sebiru seperti namanya. Tapi, uniknya bahagian dalam masjid ini dihiasi dengan seramik-seramik berwarna biru yang menghiasi kubah serta dindingnya.





Kami keluar daripada pintu yang berlainan. Melintasi taman yang di tengahnya terletak air pancut gergasi, di sebelah sana, aku cam sebuah bangunan berwarna merah pudar yang kelihatan agak lama dan usang. Tak perlu dinyatakan, aku tahu di hadapan aku ini apa.



Ayasofya! Ya Allah! Akhirnya, di hadapan aku sekarang yang Kau hidangkan ialah Ayasofya! Aku tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku masa tu. Terasa sebak macam nak menangis. Terasa bangga kerana impian yang satu ini aku laksanakan hari ini tanpa aku sedar dan bersedia pun. Sejarah dan kisah yang selama ini aku cuma baca secara literal, hari ini aku lihatnya secara realiti dan konkrit.

Ayasofya asalnya merupakan sebuah gereja. Setelah Islam menawan Konstantinopel, Ayasofya dijadikan sebagai masjid. Ayasofya kemudiannya ditukarkan kepada sebuah muzium. Keunggulan Ayasofya ditunjukkan oleh sejarah betapa bangunan ini menjadi rebutan dalam dua agama. Melihat ruang dalam Ayasofya, jelas dapat dilihat elemen-elemen pertembungan antara Kristian dan Islam. Ada satu ruang di dalam Ayasofya, gambar Mary terletak di antara kalimah Allah dan Muhammad. Sungguh unik! Puas sungguh mata aku menjelajah di dalam ruang Ayasofya, tinggalan agung sejarah ini. Rasanya memasuki Ayasofya seperti aku sudah menawan satu Istanbul.





Ukiran Mary di antara kalimah Allah dan Muhammad di dalam Ayasofya


Terselit satu kisah sebenarnya dari kalangan kami di Ayasofya. Kisah Su di sini dilengkapkan konon dengan pertemuan dengan seorang 'putera.' Kahkah! Bukan dari Istanbul, ya. Ni 'putera' yang diterbangkan jauh daripada mana? Daripada Malaysia jugak! Haha. Sesi tegur-menegur tu pulak betul-betul di sekitar The Omphalion. Ikutkan tour guide kami, ada sesetengah komuniti yang menganggap, jika bumi yang berbentuk sfera ini dihamparkan menjadi satu hamparan, maka The Omphalion yang berbentuk petak itu merupakan titik tengah bumi ini. Tak taulah sejauh mana kesahihannya. Sangat novel kisah kau, Su! Konon-konon tajuk novel seterusnya 'Istanbul, Aku Terjatuh!' Haha! Haip, jangan ingat kisah ni terhenti kat sini, ya. Nanti ada sambungannya. Nak tau, kena tunggulah. Even episod Su di Ayasofya ni pun aku tak arif sangat sebab aku tak ada dengan Su masa tu. Yang ada si Pie je. Sampai sempat diorang berdua ber-wefie dengan 'putera' and the gang-nya.

The Omphalion, saksi cinta Su.



Usai makan tengah hari, destinasi kami yang seterusnya adalah kembali ke sekitar Grand Bazaar. Inilah masanya aku memborong lambakan key chain dan beberapa barang lain untuk cenderahati untuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Bagi aku, tak ada sangat barang-barang kat sini yang aku nak beli. Sebab barang macam baju sejuk, beg dan lain-lain bagi aku boleh je kita jumpa dekat Malaysia. Entah-entah lagi murah. Sebab tu, aku betul-betul fokus untuk cari barang yang betul-betul identical dan ada ciri-ciri Istanbul. Aku nak tergelak dekat si Im. Punyalah jauh kami berjalan, benda yang dia cari dan nak sangat beli cuma tuala ke selimut, entah. Bila aku gelakkan, dia kata lebih kurang begini; "Biarlah, sekurang-kurangnya ada juga barang dari Istanbul yang aku ada." Haha. Sumpah, kelakar!




Belum pun lagi reda dengan kes Aisyah hilang duit dekat KLIA hari tu, kami dihentam lagi dengan cerita seterusnya. Bila dah ada dalam kereta, baru Ling sedar yang telefonnya sudah hilang. Puas dicari, diselongkar, tapi hasilnya hampa. Pahit macam mana pun, benda dah jadi. Mungkin telefon Ling dicuri ketika kami berhimpit-himpit di ruangan membeli-belah tadi. Simpati dengan Ling sebenarnya. Tapi, kami pujuk dengan menyatakan mungkin itu rezeki Ling. Hilangnya itu mungkin berganti dengan iPhone 6S. Siapa tahu, kan?

Tiada ulasan: