Rabu, 20 Januari 2016

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 3

Assalamualaikum WBT.

Pagi yang dingin. Serius. Air cond pun kami tak berani nak hidupkan. Bukak je tingkap, menderu-deru angin sejuk jahat mencuri-curi masuk lalu mengigilkan urat saraf. Sarapan kami pagi itu di bahagian atas sekali hotel yang kami diami. Tengok buffet-nya, rambang mata. Roti-roti, sayuran segar yang hijau, merah, ungu, jem yang berkoyan-koyan, macaroni, sup, keju... Semuanya! Aku ambil sampai dua pinggan. Semua aku nak rasa! Haha. Tapi, dalam masa yang sama, tak tenteram jugak sebenarnya nak makan memandangkan aku agak excited nak tengok pemandangan daripada balkoni di luar dewan makan itu. Aduhai, cantik gila!



Destinasi pertama yang menjadi hala tuju dalam delegasi kami adalah ke Fatih University. Sudah namanya program di bawah universiti, jadi sudah pasti objektif utama kami ke sini adalah atas dasar ilmiah. Bukan sekadar satu percutian semata-mata.

Sejujurnya, aku kagum dengan suasana di Fatih University sepanjang kami berada di sana. Kampusnya yang hijau dan indah, persekitaran yang kondusif untuk pelajar-pelajarnya, bangunan-bangunannya. Bayangkan, mereka di sana disediakan tempat untuk mereka lari seketika daripada bebanan tugas sebagai seorang penuntut ilmu. Di dalam satu bangunan itu, mereka bebas berko-kurikulum, bermain badminton atau pingpong, duduk santai di satu sudut untuk bermain PlayStation, bermain alat muzik dan sebagainya. Seolah-olah bangunan itu memang bebas untuk mereka lakukan apa sahaja tanpa perlu risau pantauan maksimum daripada pihak atasan. Aku tak tahu sama ada modus operandi seperti ini sesuai atau tidak untuk dilaksanakan di Malaysia? Melihat kepada mentaliti dan budaya kita, sejujurnya, aku betul-betul tak pasti akan keberkesanannya. Tapi, aku pasti adanya tempat seperti ini, positifnya tetap melimpah ruah.




Mana-mana ceruk Istanbul, dalam dingin suhu, aku perhatikan mereka
di sini suka minum air ni. Aku perasan sebab setiap kali mereka akan minum
dalam cawan unik berbentuk macam ni. Rasanya seperti teh tanpa gula.

Makan tengahari kami hari itu agak istimewa. Kami makan kebab di rooftop! Best jugak sebenarnya pengalaman itu. Portion makanannya juga boleh tahan besar untuk mengenyangkan kami. Sambil makan, kami juga dihidangkan dengan suasana pemandangan kota daripada atas bumbung restoran itu. Dengan burung-burung yang berterbangan dan berkicauan menambahkan lagi suasana kelas yang tersendiri buat kami.





Aku dikira agak beruntung sebenarnya duduk di sebelah Su. Dalam sibuk menggodek iPhoneku merakam itu dan ini di ruang atas restoran itu serta perasaan teruja mahu merasai menu yang berlainan daripada nasi dan lauk-pauk Melayu, tiba-tiba muka Su berubah. Hidungnya terhidu sesuatu. Kambing! Oh ya, Su salah satu manusia yang tidak makan kambing. Melihat wajahnya yang cemberut hanya menjamah roti, kami jatuh simpati (Haha). Kasihan Su yang terpaksa minum Coke berulam roti. Untungnya aku, pinggan Su beralih tempat ke depan aku. Nah, dua pinggan kambing aku makan, kau! Haha!





Selesai di situ, kami bergerak ke Spice Market. Sumpah, ramai gila manusia yang memenuhi ruang di situ. Kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam lautan manusia yang berpusu-pusu untuk bergerak dari satu kedai ke satu kedai. Suara riuh rendah di situ menyebabkan aura kemeriahan Istanbul benar-benar terasa. Lokum, Saffron, pelbagai jenis herba dan rempah-ratus, tembikar dan cenderahati dijual secara meluas di situ. Rata-rata peniaga di situ juga semuanya ramah-ramah.

Kami sendiri sampaikan tak tahu, bahagian mana pada tubuh kami ini yang menyatakan bahawa kami datang dari Malaysia. Haha. Kami melintas sahaja ke kedai ini, peniaga tadi terus bertukar bahasa ke Bahasa Malaysia. Kami lalu sahaja di kedai itu, ada yang berteriak 'Malaysia bagus!' 'I love Malaysia!' 'Singgah! Singgah! Murah! Murah!' Ada yang mengatakan bahawa Pak Lah dan Fouziah Ghous itu kawan mereka - sampai kami diminta untuk menyampaikan salam kepada kedua-dua ikon itu. Macamlah Pak Lah dan Fouziah Ghous tinggal sebelah rumah kami. Haha. Even ada juga yang bernyanyi 'Satu Hari Di Hari Raya' dengan cekap sekali. Memang happening. Happening, happening jugak. Kami tetap berhati-hati dalam berbelanja hari itu agar tidak terlebih.






Our dinner. Puas part ikan, tidak pada nasi yang ciput tu. Haha.
Sementara menunggu van yang membawa kami pulang ke hotel, dalam sibuk-sibuk ber-selfie sana-sini, kami disapa seorang penjual tasbih daripada Syria. Dia bercakap dalam bahasa yang kami tidak fahami. Beriya-iya dia menunjukkan bukti perjalanannya daripada Syria dalam keadaan yang susah dan terdesak mahukan wang untuk meneruskan kehidupan di bumi pelarian.

Berkali-kali dia memaksa kami membeli barangannya hingga dia sanggup mengekori kami ke mana-mana sahaja. Paksaannya bukan main-main. Dia terus meletakkan barangannya di dalam tangan kami, lalu apabila kami mahu menyerahkan kepadanya kembali atas alasan tidak mahu membeli, dia paksa juga untuk mengambilnya. Ini si Pie yang kena. Lawak jugak bila tengok muka Pie yang gabra habis bila pak cik tu ikut dia bermeter-meter. Haha.

Mereka-mereka ini menggunakan point yang jelas memaksa kami membantu dia atas alasan saudara sesama Muslim. Berat hati kami sebenarnya mahu menolong. Bukannya khuatir atau prejudis. Tapi, hidup kami di sini sendiri terpaksa kami sekat dan kawal penggunaan wang kami. Hidup kami di Istanbul masih berbaki beberapa hari lagi. Bagaimana jika wang yang sedia ada di dalam pegangan kami sendiri tidak mencukupi?

Dalam hati, aku mendoakan agar perjalanan hamba-hamba Allah itu dipermudahkan. Sungguh, kalau aku sendiri berada di tempatnya, aku sendiri hilang arah tuju.

Tiada ulasan: