Isnin, 30 November 2015

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : MOZEK 1

Assalamualaikum WBT.

Mengenali ‘mereka’ – sahabat-sahabat YDP-ku -  mungkin membuka satu muka surat baharu dalam hidup agaknya. Perkenalan kami datang dari latar belakang yang berbeza-beza. Seorang dari kolej sana, dari daerah sana, pulau situ, pulau sini. Dan... boom! Sejujurnya, aku tak tahu di mana titik permulaan kami mula rapat kerana hal yang satu ini berlaku tanpa rencana, tanpa sedar. Bergurau, berjumpa dan berdiskusi hampir setahun lamanya membuatkan kami rapat antara satu sama lain. Pernah bekerja juga beberapa kali dengan mereka berbekalkan satu misi yang sama iaitu menjaga kebajikan insan lain. Mungkin, faktor-faktor itu yang merapatkan jurang antara kami.

Lalu, entah semangat supernatural mana yang merasuk, tiba-tiba kemahuan untuk ke seberang laut itu menjadi begitu membuak-buak di dalam diri. Idea tak akan berjalan tanpa usaha, kan? Realiti tak akan terlaksana tanpa angan-angan kosong, kan?

Jadi, nah… beberapa helai kertas proposal terhasil. Proposal itu kekal sebagai beberapa helai kertas yang tercatat ayat-ayat di atasnya. Itu sahaja fikiran kami. Kerana pada aku program ini cukup mega. Pendek kata, nak diluluskan memang payahlah jugak. Sejujurnya, aku sedikit ragu-ragu ketika itu. Kalaulah sekali pun proposal ini diluluskan, mungkin destinasinya tidaklah sejauh itu – yang mana, kami mungkin terpaksa mengubah destinasinya. Tidak Indonesia, mungkin mana-mana negara Asia Tenggara. Seperti biasa yang berlaku sebelum-sebelum ini.

Rezeki mungkin. Kami terkedu apabila dimaklumkan bahawa permohonan kami lulus. Lulus! Maksudnya Istanbul sudah kelihatan bayang-bayangnya di hadapan mata! Nak percaya atau tidak? Itu persoalan yang bermain di fikiran sebenarnya dari momen kami tahu proposal itu diluluskan hinggalah membawa ketika kami sudah berada di dalam perut kapal terbang. Ya kan aku kata? Aku sampai susah betul nak percaya bahawa kami akan ke Istanbul!

Beberapa bulan sebelum kami ke Istanbul, kami kerap berjumpa antara satu sama lain. Tidak ‘muka-ke-muka,’ setidak—tidaknya syukur ada Whatsapp untuk memudahkan kami berhubung dengan rakan kami yang nun jauh di Sandakan dan Labuan.Perancangan diatur cantik-cantik. Kerja dijalankan kemas-kemas (Insya-ALLAH).

Program mana yang tidak dilanda masalah kan? Aku rasa mana-mana program sekali pun, sesempurna mana pun ia, pasti terpalit masalah walau secuit. Beberapa hari sebelum ke Istanbul pun kami masih lagi dihujani dugaan demi dugaan.

Namun, payah macam mana sekalipun, kami akhirnya tiba di hari yang kami tunggu-tunggu. Berat macam mana sekali pun, pergi tetap pergi. Tiket dah ada. Beg dah disumbat semahu mungkin. Baju sejuk sudah diambil dari dobi. Gambar teaser pun sudah bersepah-sepah di Instagram.

Dan…



Kami terbang ke Kuala Lumpur dahulu daripada Kota Kinabalu. Berkampung seketika di KLIA1 sementara menanti penerbangan ke Abu Dhabi. Perangai aku kalau dah sampai di airport, aku jenis malas betul nak usung barang banyak-banyak. Di tangan ada hand-carry, lugage yang dah terpatah rodanya, banner lagi. Hai, cukup aku malas! Sebab itu, pantang je nampak kerusi, terus kami berlabuh.

Sebelum entri yang ini ditutup, aku rasa tak lengkap episod-episod travelog ini kalau cerita yang satu ini tidak ‘direkodkan’ sekali. Entah petunjuk apa yang Tuhan mahu beri, mungkin juga apa yang berlaku itu satu peringatan kepada kami.

Aishah tiba-tiba menjerit. Not-not dolar yang tersimpan kemas di dalam beg duitnya boleh hilang dikebas orang. Ke hulu ke hilir juga untuk menguruskan kes itu. Kami yang berkumpul ketika Aishah menguruskan hal tu, termenung dan berpandangan sesama sendiri.

Muhasabah diri. Throwback fikir apa yang Tuhan ‘hantar’ kami dalam perjalanan mahu ke Istanbul ini. Syaitan menghasut sedikit sebanyak. Apa sebenarnya yang kami dah buat sampai sebegini banyak dugaan yang perlu kami lalui? Rasa macam bertubi-tubi pulak dugaan yang kami perlu hadapi dalam mahu ‘membayar’ harga ke Istanbul. Sudahlah sebelum sampai ke hari ini, bertubi-tubi kami diduga. Sudah hampir memasuki perut kapal terbang pun, ada lagi dugaan yang menghantui.

Mungkin apa yang berlaku itu, satu alarm yang Tuhan berikan kepada kami. Fikir-fikir, lebih baik duit tu hilang di sini berbanding hilang di negara orang. Setidak-tidaknya, kami sedar lebih awal. Kami seperti dihantar mesej oleh Tuhan agar tidak terlampau gembira, sehingga kami alpa.

Yang hilang tetap hilang. Aisyah kesat air mata, on-kan kembali mood ke Istanbul walaupun yang hilang itu boleh tahan besar amaunnya – kepada ‘mak cik mengandung’ yang mengambil wang itu, moga Allah memudahkan jalanmu nanti di akhirat. Hand-carry, pasport dan lain-lain aksesori sudah kemas di dalam genggaman kami.





Jadi, ayuh. Istanbul, aku datang!

Jumaat, 6 November 2015

TRAVELOG MIMPI KE ISTANBUL : A PROLOGUE

Mata aku terbuka luas bila secara tiba-tiba suara kapten Etihad yang kami huni sekarang bergema melalui corong earphone yang memang dari awal lagi sudah terlekat di telinga. Sedikit sebanyak, fokus aku (sebelum terlelap tadi) terhadap 'The Devil Wears Prada' yang tadinya terpampang di skrin di hadapan aku, terganggu. Ambil masa jugak sebenarnya untuk tunggu terjemahan bahasa Arab yang digunakan. Beberapa saat  kemudian, baru aku mula faham intipati mesejnya. Katanya, Etihad yang kami huni kini akan tiba ke Istanbul dalam masa beberapa minit sahaja lagi.

Tak berapa lama kemudian, skrin di depan sit aku mula menunjukkan sayup-sayup view tanah yang sebelum ni ditutup oleh awan. Makin jelas, jelas dan jelas.



Aku pandang Sila yang duduk kat belah kiri aku. Aku pandang kanan, pandang Su dengan Aishah. Aku on kamera iPhone, on selfie mode, aku angkat tinggi dan intai muka Im, Pie, Dana, Ling dan Arep yang duduk kat belakang kami.

Mata aku kembali memandang daratan Istanbul yang semakin hampir. Dalam hati, dah macam air batu campur, dah macam rojak special dekat kafe library. Masa tu, baru timbul perasaan 'percaya-tak-percaya.' Peliknya, aku tak rasa pun perasaan macam ni masa di KLIA sebelum ni. Apatah lagi masa transit di Abu Dhabi tadi.

Perasaan teruja tu boleh pulak pilih timing. Cantik-cantik datang masa Istanbul dah ada depan mata. Masa tu baru kami berpandangan sesama sendiri. Siapa sangka, wei? Bermula dengan hanya beberapa helai kertas proposal, akhirnya mimpi yang satu ni terbentang di depan mata. Lepas 1001 cabaran, dugaan dan macam-macam lagi, akhirnya Istanbul kami lihat dengan mata kepala sendiri.

Sebelum ni, kalau diminta untuk senaraikan tempat mana dalam dunia ni yang aku nak pergi sangat, awal-awal yang aku sebut ialah Istanbul. Memang dari dulu lagi aku sangat impikan Istanbul. Bila baca sejarah dia, tengok di Google gambar-gambar Istanbul, masa tu aku cuma letak dalam hati mungkin Istanbul cuma kekal sebagai mimpi. Masa tu, sikit pun aku tak pernah jangka, Istanbul yang dah aku simpan baik-baik dalam mimpi, hari ni dalam masa beberapa minit sahaja lagi, hidung aku akan menyedut oksigen kota tu. 

Daratan semakin hampir, tali pinggang keselamatan dah dipasang kemas-kemas. Debar dalam hati, jangan cakap. Menggila macam 7.9 skala Ritcher. Hagia Sophia, Masjid Biru, tembok Konstantinopel, aiskrim 'lambung' dah macam memanggil-manggil aku. Sumpah, aku excited!

Seketika kemudian, bunyi tayar berdecit menyentuh landasan tar Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul menandakan kami telah selamat mendarat di bumi. Fuh! Let's the journey begin!



*Perjalanan kami ke sini, kalau nak digambarkan dalam satu perkataan, tak ada perkataan yang boleh menggambarkannya. Pulang dari Istanbul, aku rasa sangatlah rugi jika pengalaman di Istanbul cuma terzahir melalui ratusan gambar di Instagram. Aku mahu tulis perjalanan ini. Untuk aku. Untuk masa tua nanti. Untuk sesiapa sahaja yang ikhlas. InsyaAllah. Entri yang ini akan ada episod-episodnya. Bukan sebab nak menunjuk, bukan sebab tak ada kerja lain. Cuma bagi aku, lagi cantik kalau setiap satu hari tu aku rakamkan dalam entri-entri yang berasingan. Kemas dan puas hati.

Rabu, 7 Oktober 2015

CUBAAN

Assalamualaikum WBT.


Baru je sebenarnya install app Blogger ni dekat phone. Nak try jugak, nak tengok sejauh mana keberkesanan dan kefleksibilitian dia.

Ni dah ada kemudahan. Bila-bila masa nak mengarang entri baru, boleh je pun ha sekarang. Tak payah nak terhegeh-hegeh on laptop, cari plug, in case habis cas. Memandangkan gajet bernama telefon bimbit ni dah 24 jam dalam tangan, manalah tahu 'sejibik' idea jatuh gedebuk dari langit, terus tangan ni boleh menghala ke app Blogger ni.

Tinggal hati je lagi; malas ke rajin. Eh?

*Bila dah begini, baru sedar betapa loser-nya diri ni.

Sabtu, 15 Ogos 2015

CITRA CINTA ARSYA : LELAKI BERNAMA ZAIRAN

Assalamualaikum W.B.T.



Pergikan bulan daripada malam,
Hilangkan angin daripada waktu yang tenang,
Lenyapkan aroma daripada secawan kopi petang,
Sekalipun bisu ilham daripada minda,
Tidak aku perlukan semua itu,
Melainkan Arsya yang mengerti...

'Citra Cinta Arsya' banyak bermain dengan watak. Saya tidak tahu sebabnya - mungkin dipengaruhi oleh pembacaan-pembacaan saya yang sebelum ini. Saya cuba untuk tidak menjadikan setiap watak yang wujud dalam naskhah ini sekadar watak yang plain semata-mata. Saya mahu setiap watak ada karakter yang tersendiri dan boleh diingati selepas sahaja tamat membacanya - baik protagonis mahupun antagonis.

Watak 'Zairan' merupakan watak yang paling sukar untuk saya hasilkan - sejujurnya. Kenapa? Sebabnya ada beberapa. Antaranya, Zairan adalah antara tiga watak lelaki yang hidup dalam kisah Arsya. Jadi, kalau sudah tiga, saya tidak mahu Zairan menjadi tempelan yang cuba melengkapi apa yang watak pertama dan kedua tiada. Watak ini, pada saya mencabar kerana kemunculannya cuma pada belasan bab terakhir. Dalam 'kesempitan' itu, saya bergelut juga untuk memastikan watak Zairan ada kesan yang tersendiri - setidak-tidaknya pada jiwa saya.

Sebab kedua, Zairan punya karakter yang berbeza sebagai salah seorang hero di dalam naskhah ini. Ah, berat untuk saya gambarkan Zairan sebagai seorang lelaki korporat yang punya Range Rover Evoque, pergelangan tangan yang dihiasi Guy Laroche, mahupun mata yang dikaburi Ray Ban. No, no! Saya tak nak. Saya cuma mahukan yang di luar kotak. Sebab itu Zairan saya mulakan dengan penampilan berkerusi roda (kerana apa? Dapatkan jawapannya sendiri), emosi, berat mulut, serabai dan juga yang paling dominan; PUITIS.

Zairan saya lakarkan sebagai pemuda yang menterjemahkan jiwanya melalui puisi - bukan lukisan, tapi puisi kerana ia lebih mencabar dan berlainan. Selalu yang saya lihat, tipikalnya lukisan dijadikan bahan untuk menggambarkan kepuitisan - atau kemisterian saya rasa - sesuatu watak. Untuk Zairan, saya pilih untuk jadikan dia puitis dalam bentuk kata-kata (puisi). Lebih senang, sebab saya tak perlu untuk menerangkan lorekan tangannya pada kertas lukisan secara verbal. Lebih unik juga sebenarnya.

Puisi di atas antara salah satu puisi yang Zairan 'tulis.' Saya taip puisi ini terus di fail Word, bukan di kertas dahulu seperti yang saya biasa lakukan. Puisi ini juga tercipta dalam kadar yang cukup segera, tidak seperti puisi-puisi simpanan saya yang selalunya mengambil masa puluhan minit untuk dilengkapkan. Satu rangkap sahaja yang saya perlukan untuk bagi punch the whole Zairan's feeling towards Arsya. 

Memandangan Citra Cinta Arsya sebuah karya bergenre romance, jadi tak adil kalau saya jadikan Zairan sekadar seorang watak yang misteri dan kayu dalam hal-hal percintaan. Sebab itu saya temukan Arsya dengan Zairan untuk berikan sesuatu dalam kehidupan lelaki misteri itu. Kehadiran masing-masing dalam hidup masing-masing itu memberi sesuatu dimensi baharu yang mereka berdua tidak pernah kecapi sebelum ini.

Saya tidak mahu omongan ini berjela-jela kerana saya tidak mahu 'membunuh' mata anda dengan pendedahan demi pendedahan tentang Zairan dan Arsya. Apa yang boleh saya katakan pada yang sudi mendapatkan karya ini, selamat menyelami ke jiwa Zairan. Yang baik, kita pahatkan. Yang buruk, kita renungkan. Semoga yang terbaik akhirnya kita dapat, insya-ALLAH, jika Dia setuju.


Ahad, 19 Julai 2015

KEMBALI

Assalamualaikum WBT.

Sumpah saya bagitau. Saya sesat! Sesat dalam hutan - macam mana saya boleh sesat dalam hutan? Itu jangan tanya. sangat panjang ceritanya. Dua tahun lamanya. Laptop saya dirampas oleh binatang-binatang buas. Handphone saya pun. Puas saya cari jalan keluar. Dua tahun saya mencari, dua-dua tahun tu tak ada.

End up dengan menulis entri-entri blog di atas daun-daun pokok di hutan. Setiap kali habis menulis, saya terkedu. Ke mana saya nak layarkan tulisan yang tak seberapa ni? Saya lambung ke udara, sudahnya jatuh ke bumi juga. Jatuh di samping daun-daun kering yang tidak bernota. Aduhai, siapa yang mahu membaca kalau begitu?

Lalu, saya akur. Berhenti itu lebih baik.

..................................................................................................................................................................................................................

Kalau yang atas ini boleh menjadi 'surat tunjuk sebab' mengapa saya berhenti menulis dua tahun lamanya, saya lega. Lega kerana ia diterima pakai walaupun hakikatnya (siapa yang tahu, tahulah), sebab itu tidak relevan sama sekali. 

Rumit. Macam mana saya boleh berhenti menulis apa-apa di ruang ini tanpa alasan, begitulah juga yang terjadi apabila saya kembali menulis tanpa alasan. Mood, mungkin. Dahulu, habis sahaja STPM, saya jadi malas mahu menghasilkan apa-apa. Terlampau malas sampaikan saya lupa blog ini. Ada juga saya cuba untuk menulis entri baharu tentang kota baharu yang menjadi tempat persinggahan saya selepas itu, tapi ia kekal menjadi draf sampai sekarang. 

Episod baharu saya kini bermula di Kota Kinabalu. Yup, saya menyambung pengajian di situ. Kalau nak diikutkan, banyak yang boleh dikutip di situ untuk saya lakarkan di sini. Bukan untuk siapa-siapa. Untuk tatapan saya bila dah tua nanti pun cukuplah. 

Sampai bila mood ini boleh bertahan? Entah, saya  tak ada jawapan itu. Entah-entah mood itu hilang besok, hilang lusa, hilang bulan depan. Bergantung. 

Saya tergerak hati nak log in blogger. Saya mula rindu nak menulis kembali. Saya ubah semua yang ada dekat blog ni kerana kalau saya nak memulakan sesuatu yang baharu, saya nak semuanya berubah. Mood tu yang penting, mood. Haha. Saya tukar dari 'silangkatafaiz' ke 'faizmdnasir.' Lebih okey dan kena dengan selera saya. Kerana saya dah penat dah nak buat too much pada sekeping blog. Yang sederhana sahaja, itu sudah memadai.

Kenapa? Kenapa saya beria-ia sangat? Ada sebabnya. Ada alasannya. InsyaALLAH, nanti saya cerita. Saya cuma mahukan ruang untuk saya menulis sahaja. 

Titik.