Sabtu, 15 Ogos 2015

CITRA CINTA ARSYA : LELAKI BERNAMA ZAIRAN

Assalamualaikum W.B.T.



Pergikan bulan daripada malam,
Hilangkan angin daripada waktu yang tenang,
Lenyapkan aroma daripada secawan kopi petang,
Sekalipun bisu ilham daripada minda,
Tidak aku perlukan semua itu,
Melainkan Arsya yang mengerti...

'Citra Cinta Arsya' banyak bermain dengan watak. Saya tidak tahu sebabnya - mungkin dipengaruhi oleh pembacaan-pembacaan saya yang sebelum ini. Saya cuba untuk tidak menjadikan setiap watak yang wujud dalam naskhah ini sekadar watak yang plain semata-mata. Saya mahu setiap watak ada karakter yang tersendiri dan boleh diingati selepas sahaja tamat membacanya - baik protagonis mahupun antagonis.

Watak 'Zairan' merupakan watak yang paling sukar untuk saya hasilkan - sejujurnya. Kenapa? Sebabnya ada beberapa. Antaranya, Zairan adalah antara tiga watak lelaki yang hidup dalam kisah Arsya. Jadi, kalau sudah tiga, saya tidak mahu Zairan menjadi tempelan yang cuba melengkapi apa yang watak pertama dan kedua tiada. Watak ini, pada saya mencabar kerana kemunculannya cuma pada belasan bab terakhir. Dalam 'kesempitan' itu, saya bergelut juga untuk memastikan watak Zairan ada kesan yang tersendiri - setidak-tidaknya pada jiwa saya.

Sebab kedua, Zairan punya karakter yang berbeza sebagai salah seorang hero di dalam naskhah ini. Ah, berat untuk saya gambarkan Zairan sebagai seorang lelaki korporat yang punya Range Rover Evoque, pergelangan tangan yang dihiasi Guy Laroche, mahupun mata yang dikaburi Ray Ban. No, no! Saya tak nak. Saya cuma mahukan yang di luar kotak. Sebab itu Zairan saya mulakan dengan penampilan berkerusi roda (kerana apa? Dapatkan jawapannya sendiri), emosi, berat mulut, serabai dan juga yang paling dominan; PUITIS.

Zairan saya lakarkan sebagai pemuda yang menterjemahkan jiwanya melalui puisi - bukan lukisan, tapi puisi kerana ia lebih mencabar dan berlainan. Selalu yang saya lihat, tipikalnya lukisan dijadikan bahan untuk menggambarkan kepuitisan - atau kemisterian saya rasa - sesuatu watak. Untuk Zairan, saya pilih untuk jadikan dia puitis dalam bentuk kata-kata (puisi). Lebih senang, sebab saya tak perlu untuk menerangkan lorekan tangannya pada kertas lukisan secara verbal. Lebih unik juga sebenarnya.

Puisi di atas antara salah satu puisi yang Zairan 'tulis.' Saya taip puisi ini terus di fail Word, bukan di kertas dahulu seperti yang saya biasa lakukan. Puisi ini juga tercipta dalam kadar yang cukup segera, tidak seperti puisi-puisi simpanan saya yang selalunya mengambil masa puluhan minit untuk dilengkapkan. Satu rangkap sahaja yang saya perlukan untuk bagi punch the whole Zairan's feeling towards Arsya. 

Memandangan Citra Cinta Arsya sebuah karya bergenre romance, jadi tak adil kalau saya jadikan Zairan sekadar seorang watak yang misteri dan kayu dalam hal-hal percintaan. Sebab itu saya temukan Arsya dengan Zairan untuk berikan sesuatu dalam kehidupan lelaki misteri itu. Kehadiran masing-masing dalam hidup masing-masing itu memberi sesuatu dimensi baharu yang mereka berdua tidak pernah kecapi sebelum ini.

Saya tidak mahu omongan ini berjela-jela kerana saya tidak mahu 'membunuh' mata anda dengan pendedahan demi pendedahan tentang Zairan dan Arsya. Apa yang boleh saya katakan pada yang sudi mendapatkan karya ini, selamat menyelami ke jiwa Zairan. Yang baik, kita pahatkan. Yang buruk, kita renungkan. Semoga yang terbaik akhirnya kita dapat, insya-ALLAH, jika Dia setuju.


Tiada ulasan: