Jumaat, 10 Ogos 2012

MEMBERSIHKAN LONGKANG

Assalamualaikum WBT.

Apabila Ramadan semakin dimamah masa yang sentiasa berjalan, ada kalanya saya termenung memikirkan diri sendiri. Merenung tugas saya sebagai seorang manusia yang dicipta oleh Yang Maha Berkuasa. Cuma manusia... manusia yang dasarnya ialah hamba yang lemah. 

Saya tiba-tiba terfikir akan sesuatu. Pernah tak kita berada dalam satu-satu situasi di mana kita tiba-tiba terfikir "hidup ini untuk apa?" Sebagai seorang yang normal, mungkin jawapan kita ialah kita mahu mencari kegembiraan. Hipotesisnya selagi namanya tarikh luput itu tidak kelihatan (kematian), maksudnya selagi itu dunia ini perlu diterokai sehabis darjah. Lumrah... itu yang kita panggilkan sebagai lumrah. Manusia sentiasa mahukan sesuatu yang mampu mendatangkan tawa dan menyahkan duka. 

Cuma kadang-kadang, kita mungkin tersasar daripada garisan halus yang dibikin oleh cucu-cicit iblis. Kadang-kadang kita terlebih meneroka sehinggakan kita mungkin tersesat di dalam hutan yang sukar mahu dicari jalan keluarnya. Kita terlebih faham akan kegembiraan yang kita sangka telah hilang sehingga kita mencedoknya daripada sumber yang baharu iaitu sumber-sumber hitam. 

Hasilnya, kita tersungkur. Kita sentiasa tidak puas dalam meneliti hidup yang penuh dengan elemen-elemen duniawi. Kita lalu lupa pada alam yang sana. Kita lupa kaki, tangan dan tubuh ini semuanya dicipta oleh siapa. Hati menjadi gelap lalu cahaya disirnakan. 

Mungkin Tuhan masih menyayangi kita. Sekali kita terhembus dek kebesaran dan keinsafan yang bukan sedikit, barulah kita rasakan bahawa kita telah jauh tersesat. 

Mulut selama ini berkicau mengatakan bahawa diri kita masih di landasan yang tepat tetapi kita sedar, kaki kita telah tersasar sedikit daripada landasan. Dahi ini mungkin cuma ada waktunya menyentuh sejadah seperti ketika di musim peperiksaan atau mahu memohon kesenangan, tetapi kemudian kita teralpa kembali. Kadang-kadang, kita rasakan dosa yang kita lakukan boleh dipadam semudah memetik jari sahaja pada hari-hari yang akan datang, tanpa kita sedar janji Allah itu akan terlaksana bila-bila masa sahaja. 

Fuuhhh... jujur saya katakan, silam pernah menyaksikan saya salah seorang daripada kelompok tersebut. Mungkin juga masa hadapan akan menyaksikan perkara yang sama. Tetapi, syukur... ada masanya saya akan terkaku mengenang betapa bodohnya manusia seperti saya dalam menyelak kamus mencari maksud 'hidup.' Sedikit sebanyak saya mula sedar dan kenali dengan mendalam mana permata, mana tuba.

Ramadan... masa-masa seperti ini, saya tiba-tiba terfikir akan Nabi Isa, Imam Mahdi, Yakjuj Makjuj, Dajjal dan semua petanda hari terakhir. Saya terfikir akan Arasy, pertimbangan, jambatan ke syurga serta darjah kepanasan yang melampaui batas akal. Semua itu membikin saya akur bahawa AKHIRAT itu realiti, bukan sekadar fantasi. 

Saat-saat seperti ini juga membuatkan otak bergelora dengan soalan cukupkah kuantiti pahala untuk diusung ke sana? Termaafkah setiap dosa yang bertimbun-timbun?

Apabila difikirkan, menjadi seorang manusia ini sebenarnya tujuannya sungguh visual. Apa sahaja yang dia lakukan di dunia akan dibawa kelak ke sana nanti. Sebab itu, bila tiba pada satu tahap kematangan yang boleh membuatkan kita berfikir, setiap perkara yang kita lakukan menjadi seperti video yang kembali bermain di otak. Lalu... insaf itu terbang bagaikan merpati pulang ke sarang.

Pejam mata dan celik kembali. Kulit pipi masih ada peluang untuk merasai betapa enaknya disentuh angin. Mata masih berpeluang meneliti warna-warna daun. Telinga masih berpeluang mendengar desah nafas sendiri. Hati juga... masih berpeluang untuk menilai mana yang baik, mana yang buruk.

Perhatikan longkang. Jika bersih dan tiada penghalang, lancarlah air yang mengalir di dalamnya. Tetapi, jika ada sampah sarap yang menghalang, mungkin pencemaran akan berhembus teruk. Dunia di atas longkang itu pula akan menjadi mangsa dek aroma busuk daripada longkang tersebut. Jadi sementara masih ada kesedaran  ini... bersihkan 'longkang' itu. 



4 ulasan:

Hey B! berkata...

nice.. ^_^
Jue dh follow sini...

shafiqabdshukor berkata...

terima kash..
nice sharing

akue berkata...

nice sharing bro.... dah follow blik.... jom lepak2 di blog sy..heee

Unknown berkata...

yg penting jgn jd mulut longkang...polo GBS cini