Sabtu, 31 Mac 2012

KAHAK-KAHAK HIPOKRIT

Assalamualaikum WBT.


Peti masuk SMS di fon genggam tiba-tiba disapa mesej daripada rakan. Cerita tentang kesakitan. Lalu, seperti biasa, kaunselor yang tidak bertauliah ini pun memulakan sesi kaunselingnya. 


Saya sendiri tertarik dengan kata-kata yang dicernakan neuron. Bila 'ditempelak' dengan frasa lebih kurang begini ... :"aku malu menangis, aku tak nak dilabel sebagai lemah"... saya terus membalas dengan jawapan yang ditaip jari secara spontan. 


"Kau malu sebab kau hipokrit. Tak apa kalau kau menangis sebab bila kau menangis kau lepaskan kelemahan kau. Tapi, bila kau tahan air mata maksudnya kau biarkan kelemahan tu terpendam dan makin merebak. Itu lagi memalukan."

Saya suka pada jawapan saya yang ini. Langsung, idea pun tercetus untuk saya kongsikan di ruang ini. 

Kerap saya dengar... bila seseorang ditimpa satu-satu masalah, antara perkara pertama yang dia elakkan adalah MENANGIS. Contoh situasi : bila kekasih berubah arah, kehilangan orang paling rapat dengan hidup, tertekan dengan sikap rakan sebilik atau tergaman dengan keputusan peperiksaan yang lebur. Ada sesetengah manusia berpendapat... "Dah-dah. Aku tak boleh menangis depan diaorang semua. Aku tak boleh dan tak akan menangis."

Satu soalan saya: Relevankah perbuatan itu? Takut jika ada yang melihat pipi kita basah dan hingus menyapa muncung? Takut jika ada yang tidak dapat membezakan yang mana satu sirap dan yang mana satu biji mata? Takut... semuanya berpunca daripada kata dasar 'takut.' Perlukah takut jika kesalahan sebenarnya bukan datang daripada kita? Sekalipun kesalahan itu sememangnya dilakukan oelh tubuh kita, perlukah kita takut selama-lamanya? Sehinggakan, air mata yang sepatutnya turun bila dipanggil, kita tahan-tahan? Sehinggakan air mata itu menjadi kuman yang akhirnya memakan diri sendiri kembali?



Tidak kira apakah nama yang anda berikan pada tindakan itu. Tetapi, pada saya, saya panggilnya sebagai HIPOKRIT. Bukan sebagai satu cara psikologi untuk menempelak. Tepai sebagai satu tag untuk melabel. 

Untuk apa hipokrit di hadapan orang jika itu sekadar memulangkan kredit kepada orang dan bukan kepada kita? Orang mendapat aset dengan tindakan kita tadi. Tetapi, kita mendapat liablitinya. Kita sedang pendam kelemahan yang sepatutnya dibuang jauh-jauh. Kita sedang menyimpan kelemahan itu seperti kita menyimpan syiling di dalam tabung buluh ; cuma boleh dikeluarkan bila tabung buluh itu dikapak.

Pedulikan kata orang yang mengetawakan kita apabila kita menangis. Pedulikan orang yang meminjamkan bahu kepada kita tapi dalam masa yang sama, bibirnya tak habis-habis menuturkan "Shhhhh... dah, jangan menangis lagi." 

Sebagai manusia yang tak abnormal, kita tak lari daripada melalui frasa menyakitkan dalam hidup. Faktanya, daripada kesakitan itu kita akan menyedut oksigen kelemahan. Usah jadikan kelemahan itu sebagai penyewa tetap di kamar emosi kita. Buangnya jauh-jauh dengan melepaskan tangisan. Menangislah ketika itu kerana sememangnya kita berhak untuk menangis.




Satu perkara yang perlu diingat, sememangnya melepaskan perasan itu penting. Tapi jangan sampai tangisan itu menguasai keseluruhan hidup kita. Ya, kita berhak untuk menangis. Tapi, tak bermakna kita berhak untuk bersedih seumur hidup. Menangis cuma untuk lepaskan kelemahan. Kemudian kita akan cas kembali kekuatan kita. Lalu, kekuatan itu akan jadikan kita sebagai kereta kebal dan dugaan-dugaan tidak matang mampu kita rempuhi sepintas lalu. Jangan sesekali kita pendam kerana takut, tangisan itu akan menjadi 'kahak' lalu menyebabkan suara kita hilang untuk menyatakan perasaan.

CAMPAK KAHAK TU ! CAMPAK!


Sebelum berundur, jangan ingat entri ni sebagai satu senjata untuk saya menyerang rakan saya itu ya? Saya pun kadang-kadang melalui proses seumpama ini. Anda juga mungkin. Biasalah... hari-hari yang kita lalui adalah guru kepada kehidupan kita kan?

Satu perkara yang selalu kita dengar tapi kali ni, apa kita hayatinya?

"Tuhan tak akan uji kita dengan dugaan itu kalau dia tahu kita lemah dan tak mampu untuk menempuhinya."

Tiada ulasan: