Selasa, 10 April 2012

ASID IDEOLOGI

Assalamualaikum WBT.


Kekangan masa dan kekeringan idea membuatkan ruang ini sunyi buat dua minggu. Idea itu sudah dirangka tetapi bila jari saya bersedia di atas ruang papan kekunci, semua ayat yang sudah disusun jadi bertebaran. Lantas, bila otak mencernakan sesuatu untuk dikarang, terus saya menarikan jari-jari ini di atas papan kekunci.



Ah, usah ditipu. Saya pasti kebelakangan ini, mana-mana akhbar mahupun saluran-saluran televisyen kerap menjadikan topik tersebut sebagai inti utama. Saya pasti mata anda juga sudah terbiasa dengan laungan-laungan matlamat daripada mereka yang berpihak di sebelah kanan mahupun kiri. Saya pasti.


Apa yang saya sedar, bila semakin tiba waktu-waktu begini... telinga ini mula peka pada telagah-telagah antara dua pihak yang berbeza fahaman idealogi. Sama ada yang berada di atas mahupun yang melata di bawah, situasinya tetap sama. Masing-masing menempik pada ideologi yang difikir salah. Saya percaya hubungan yang selama ini erat mampu terputus menjadi dua. Seorang utara seorang selatan. Masing-masing tidak bertegur sapa, masing-masing melenting bila diusik. 


APA NI?


Saya pernah melihat situasi ini di depan mata saya sendiri. Tidak kiralah dalam mana-mana institusi sekalipun. Apa yang utamanya, hubungan yang selama ini terpatri dalam satu ikatan yang kukuh mampu putus hanya dengan bayaran 'aku kiri kau kanan.' Betapa murahnya harga itu hinggakan besi mampu menjadi cair. Sudahnya, sapaan yang sentiasa meniti di bibir menjadi bisu sama sekali.


Saya tahu bukan mudah untuk mencantumkan kaca yang sudah berderai. Tetapi, fikirlah. Dari mana perkara itu bermula, dari situ jugalah kita harus merawatnya. Kita mahu biarkan situasi kelam seperti ini berterusan sampai bila? Sampai negara ini berpisah menjadi dua? Sampai anak cucu kita tidak mengenal yang mana satu pak cik, yang mana satu mak cik? Kalau perkara itu pernah berlaku dahulu, kenapa perlu diulang dan diulang secara berterusan? Kenapa tidak kita tamatkan sahaja?


Satu hakikat yang sudah sebati di ruang gegendang telinga kita adalah negara ini aman walaupun terdapat perbezaan agama, kaum, kelas mahupun apa sahaja aspek. Tetapi, soal kembali kepada diri kita. Soal kembali kepada mereka-mereka yang memimpin. Adakah kita berjaya mengekalkan keamanan itu secara holistiknya jika aspek 'perbezaan ideologi politik' tidak dapat kita jangkaui dengan mudah seperti mana kita menjangkau halangan perbezaan agama, kaum dan lain-lain tadi? 


Minta maaf jika ada yang menganggap entri ini berbau politik. Minta maaf jika ada yang melabelkan saya kanan mahupun kiri. Jujur saya katakan. Ketika saya menaip entri ini, saya tolak tepi segala faktor tidak masuk akal itu. Apa yang saya lihat di belakang skrin komputer yakni masa hadapan adalah cahaya yang samar. Tertanya-tanya dan soalan itu tidak dijawab dengan visual yang jelas.


Sudah. Mungkin untuk menyatukan naga dan garuda di dalam satu sangkar adalah suatu perkara yang hampir mustahil. Tapi sekurang-kurangnya wujudkanlah toleransi di dalam setiap hembusan karbon dioksida kita. Toleransi yang mampu mengimbangkan antara anod dan katod. Toleransi yang mampu membunuh patah-patah ancaman daripada di petualang. Toleransi yang mampu membuatkan panji yang senget menjadi tegak megah. 


Seperti mana kita mampu hidup dalam perbezaan agama dan adat, sebegitu jugalah kita mampu hidup dalam perbezaan ideologi politik. Usah biarkan aspek perbezaan ideologi politik menjadi asid yang merencatkan struktur komuniti. Usah biarkan diri kita menjadi kertas litmus yang mengizinkan warnanya berubah sebaik sahaja dicicah ke dalam secawan asid. Usah biarkan. 


Tolak tepi isu siapa yang mahu memulakan dahulu langkah ini. Tolak tepi juga isu mencari punca; "aku tak salah, dia yang salah." Soalnya di sini, jika begitulah inisiatif yang terikat pada kaki kita, sampai bila-bila pun penyakit ini akan terus merebak. 






 Kita sedang mencari-cari kepingan puzzle yang hilang untuk melengkapkannya. Sebenarnya kepingan itu ada di dalam genggaman kita, cuma kita sahaja yang hipokrit menyembunyikannya. Masih menunggu masa yang sesuai? Tunggu apa lagi? 

Tiada ulasan: