Isnin, 30 April 2012

KEMBARA 70 KM

Assalamualaikum WBT.






 Jauh perjalanan luas pemandangan. 


Mustahil untuk saya mengira dengan tepat berapa kalikah telinga saya menghadamkan slogan tersebut. Mungkin ratusan kali. Perbezaannya... kalau dulu slogan tersebut cuma sekadar slogan. Tapi, sekarang slogan itu lebih sekadar slogan.


Kereta buatan Malaysia berjenama Proton Wira saya 'tunggangi' hampir setiap hari. Deruan enjin yang keluar daripada perut kereta yang telah berusia itu sememangnya sudah menjadi muzik yang biasa di telinga saya. Pendingin hawa memang sengaja dimatikan kerana angin yang menderu mencuri-curi masuk melalui tingkap yang terbuka luas lebih nyaman dan menenangkan. 


Jarak rumah ke sekolah saya sememangnya jauh, hampir 70 kilometer pergi balik. Saya perlu bangun seawal 5 pagi dari Isnin hingga Jumaat. Berjalan ke bilik air dengan mata yang separuh terbuka. Ya, memang ini pilihan saya. Pilihan yang saya pilih sejak hampir dua tahun yang lepas. Pada permulaan, menyesal dan menyesal mengurung perasaan. Lalu soalan dikemukakan. "Kenapa aku pilih ni?" Pada pertengahan pula, saya mula selesa.


Optimis dalam menyelusuri apa itu kehidupan dari perspektif berbeza, itu pendahuluan pada sebuah ganjaran. Tolak tepi apa itu penat. Tolak tepi nasihat berbaur suruhan yang menggesa saya bermastautin sementara di kawasan-kawasan berhampiran sekolah, supaya otak boleh belajar dengan lebih sempurna. Sudah lama saya terbiasa. Lalu, biarkan saya jadi seperti biasa. 


Dari jendela kereta, mata ini merakamkan pelbagai khabar mahupun lukisan. Dari waktu matahari yang malu menyuluh cahaya dari celah-celah ufuk hinggalah waktu awan dan langit berabstrak jingga. Serius. Banyak yang saya pelajari dari tindak-tanduk makhluk-makhluk yang langsung saya tak kenali. Kadang-kadang, saya merasakan seperti saya ini adalah seorang pengembara yang merakamkan pelbagai kisah hidup untuk simpanan memori sendiri. Saya belajar sesuatu daripada situasi-situasi yang saya lihat dari jendela kereta.


Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, saya melihat pelbagai ragam manusia.


 Pelajar sekolah yang kelihatan masih mamai dibuai mimpi dan mereka sedang menunggu bas di perhentian bas yang kelam.  
 Pekerja-pekerja kilang yang berkerja malam baru pulang ketika matahari menyapa tanah. 
 Orang kurang siuman yang bertenggek di tangga surau. 
 Dua beradik yang kelihatan bahagia bergelak ketawa bersama si ibu ketika sedang menanti kemunculan bas. 
 Mak cik yang terpaksa bangun awal untuk menjual nasi lemak demi mencari dua tiga suap nasi. 
 Datuk tua kebosanan yang duduk berlunjur kaki menghadap jalan raya bersama kipas manual di tangan. 
 Pengembala-pengembala yang menjemput lembu mereka kembali ke kandang. 
 Polis-polis yang berdiri di bawah pokok yang redup semasa road block sedang dijalankan. 
 Segerombolan anak muda yang leka mengubah suai tubuh motosikal masing-masing. 

Ya, terlalu banyak yang saya temui. Ada juga situasi yang berulang-ulang pada hari-hari berikutnya. Saya menonton perkara-perkara ini setiap hari dari jendela kereta yang terbuka luas. Menonton tanpa sedikit pun perasaan jemu yang bertandang.

Bila kita melihat gelagat-gelagat manusia yang langsung tidak kita kenali, tanpa kita sedar, sebenarnya kita banyak mempelajari sesuatu daripadanya. Apa? Antaranya, bila kita rasakan bahawa kita ini dirundung dugaan yang maha hebat, sebenarnya ada yang lebih besar dugaannya. Macam saya, kalau dulu... permulaan saya rasakan sayalah remaja paling penat pada setiap pagi. Tapi, bila melihat segerombolan anak kecil yang mengendong beg yang membebankan sambil menunggu bas yang entahkan datang entahkan tidak... saya mula renung kelemahan diri. Saya juga belajar erti hidup yang tak semuanya beruntung. Kesusahan itu akan sentiasa ada menjadi penghalang pada setiap jalan hidup manusia. Bezanya, sama ada dia visual mahupun fantasi sahaja. 

Tuhan kirimkan mereka untuk menyapa mata kita sebagai cara untuk Dia memberi kita mesej-mesej kesedaran. Sama ada mahu menyedarkan kita daripada tidak terus melakukan kesalahan atau mahu menyedarkan kita untuk tidak melakukannya di hari-hari mendatang. 

Difikir-fikir... sebenarnya setiap hari kita belajar sesuatu secara tak formal. Kita adalah pengembara yang mencari-cari erti kehidupan berdasarkan kepada apa yang kita lihat. Kadang-kadang, melalui manusia-manusia di sekeliling kita, kita boleh memperolehi inspirasi untuk kebaikan kita di masa hadapan. Inspirasi yang boleh mengubah kita daripada Z menjadi A. 


Bukanlah saya nak kata saya belajar tentang kehidupan daripada manusia-manusia asing cuma melalui jenadela kereta itu. Kadang-kadang, bila kita duduk di kaki lima atau bila kita sedang beratur di kaunter KFC, kita boleh juga belajar perkara-perkara ini. Cuma pada saya melihat ke luar jendela kereta adalah sebahagian daripada caranya. 


Berbaloi saya rasa bangun pada awal pagi dan balik ketika hampir senja bila ganjarannya adalah ini. Hidup ini banyak hikmahnya. Hidup ini banyak mesejnya. Hidup ini sememangnya hebat. Kita manusia dan kita pengembara yang merakamkan semuanya untuk simpanan kad memori kita sendiri. Buang yang keruh lalu jernihnya kita ambil dan nikmati. 



Tiada ulasan: