Sabtu, 5 Mei 2012

SELAMAT JALAN ORANG KETIGA

Assalamualaikum WBT.


Acara tembak-menembak peluru-peluru fakta dan bom-bom ilmu sedang galak berlaku di medan otak. Dalam erti kata lainnya, sekarang adalah waktu untuk saya bergelumang dengan lautan nota demi berdepan dengan peperiksaan yang sedang menanti di muka pintu. Jemu dan bosan dengan desakan tekanan membuatkan saya menekan butang on di komputer lalu laman blog saya jengah. 




Orang ketiga


Saya baca kisah-kisah kehadiran orang ketiga dalam novel, blog, status-status di Facebook dan pos-pos di Twitter. Saya lihat kisah-kisah orang ketiga di perhentian bas, di institusi pengajian dan di drama-drama televisyen. Malah saya juga pernah buat entri yang ada sangkut-pautnya dengan kisah orang ketiga. Saya cuba menganggap perkara ini sebagai habuk yang menghuni di sudut dinding, yang boleh dihiraukan. Tapi... sejujurnya, saya tidak boleh menipu diri sendiri. 


Pantang. Saya cukup tak selesa bila situasi seumpama ini berlegar-legar di ruang mata. Saya tak boleh menipu diri sendiri. Bila mata atau telinga disapa situasi-situasi seumpama ini, hadir bermacam-macam perasaan yang bergelumang. Kasihan pada pihak yang diduakan. Keliru dengan sikap pihak yang menduakan. Pelik pada pihak yang hadir di antara dua pasang hati. 


Untuk apa? Untuk apa orang ketiga perlu hadir dalam sesebuah perhubungan? Tidak kiralah jika melibatkan pasangan yang dah berkahwin ataupun yang belum berkahwin. Kehadiran itu mampu sahaja membuatkan air yang tenang disapa buaya, membuatkan hati yang damai menjadi bergalau. 


 Kesunyian? Soal hati soal perasaan? Kurang kasih sayang? Hati tak boleh dipaksa- paksa? 

Relevankah semua alasan itu bagi menutup sebuah kesalahan yang dilakukan oleh jiwa? Apa yang ada dalam fikiran mereka sehinggakan perasaan manusia lain ditolak tepi lalu perasaan diri sendiri didahulukan? 






Simpati. Saya simpati kepada mereka yang pernah, sedang dan akan berada pada situasi ini. Bila gelombang seperti ini melanda, mangsanya ialah hati. Hati yang tercalar. Hati yang terpaksa melihat kebahagiaan yang sepatutnya ada dalam pelukan, pergi bertandang di ruang hati yang lain. Kecewa terus memendam rasa kerana apa yang sudah berlaku bukan boleh diputar kembali lalu dicegah sehabis daya. Hakikat bahawa cinta itu tak semestinya memiliki perlu dihadamkan jiwa dalam keperitan. 


Lalu, ganjarannya ialah bahagia pada dia yang puas hati memusnahkan istana milik orang lain. Dia memindahkan bahagia meskipun perbuatan itu tidak mudah seperti mengasingkan minyak daripada secawan air. Dia berusaha juga agar kreditnya hadir di laman hati sendiri. Dia pedulikan perasaan orang yang kecewa demi memenuhkan kepuasan diri sendiri. 


Hentikanlah. Berhenti berbuat demikian jika semata-mata titik fokus positifnya sekadar berbalik ke diri sendiri. Fikir dan fikirlah. Fikir perasaan orang lain. Hati jangan meluahkan ayat, "Kasihannya dia." Tapi, pulangkan soalan kepada diri sendiri, "Kalau aku di tempat dia satu hari nanti, adakah aku akan jadi seperti dia?"


Kecewa. Gaduh. Perang. Lalu mungkin paling teruk nyawa galang gantinya. Lihatlah sendiri efeknya situasi ini kepada seorang manusia yang lemah dari segala sudut. Kita baca kisah di akhbar-akhbar. Kita dengar khabar yang disampaikan oleh pembaca-pembaca berita. Gadis kecewa lalu memilih untuk terjun dari tingkat atas bangunan. Remaja gantung diri di dalam bilik kerana putus cinta. Hati terpaksa menjadi batu kerana trauma pada kisah cinta yang kecundang.


Ya. Sebab itulah saya seru agar perkara ini dihentikan. 


Wahai orang ketiga... hentikanlah mengganggu keamanan manusia sejagat! 


*untuk mereka yang diganggu oleh kehadiran orang ketiga... satu sahaja nasihat saya. Dugaan yang diberikan bukanlah satu penyebab untuk air mata menjadi bayaran. Dugaan itu sebenarnya membuatkan kita jauh lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan 'manusia' itu. Dugaan itu mahu menguji sama ada kita mampu hidup tanpa cinta ataupun tidak. Mungkin yang pergi itu bukan diciptakan untuk kita. 



4 ulasan:

O CIKTEDDY berkata...

nsib baik wa x bercinta lagik.keh3

dari lensa faiz berkata...

acecececeh .. haahahahahahaa

Marhamah Junaisha berkata...

ish-2..pnah jadi kat mar..rse nak giling je kapla pihak ke-3 tu....haihhh

dari lensa faiz berkata...

hahahaahhaha .. sakit dia ..