Ahad, 4 Mac 2012

PEJUANG, PEMIMPIN DAN PEREMPUAN

Assalamualaikum WBT.


Novel cinta klise sudah saya genggam di tangan. Disebabkan dah tak ada pilihan dan terdesak untuk mengisi masa bosan, saya capai sahaja mana-mana novel cinta yang agak menarik untuk diletakkan di kaunter pembayaran. Entah kenapa pula, hati saya tergerak untuk mengelilingi sekali lagi rak-rak novel yang terdapat di gedung buku tersebut. Mata ini meneliti hampir setiap buku yang terdapat di situ. Lalu, tiba-tiba saya terpandang pada sebuah buku yang letakknya agak terpencil daripada buku-buku lain.



Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan
Terus saya capai lalu saya letakkan kembali novel cinta yang asalnya menjadi pilihan saya di raknya kembali. Menoktahkan pembacaan selepas tempoh dua hari, sejujurnya, inilah kali pertama saya membaca novel sejarah sehingga tamat. Penilaian saya terhadap novel ini, Azzah AR berjaya menterjemah Shamsiah Fakeh dengan cara yang tidak berlebih-lebihan dan saya mudah faham dengan kronologi-kronologi plot novel ini. Beliau berjaya menterjemah Shamsiah Fakeh sehingga kita merasakan bahawa kisah itu sedang bermain-main di hadapan mata.


Apa yang membuatkan jari ini laju saja mencapai naskhah setebal 265 muka surat ini? Realitinya, jari yang sama ini pernah mengarang satu puisi khas untuk wanita bernama Shamsiah Fakeh yang bertajuk Shamsiah Fakeh : Andai Kau Boneka hampir dua tahun yang lepas (satu hari nanti saya akan kongsikan di ruang ini). Jari yang sama ini juga pernah menyelak halaman majalah Mastika yang mengupas cerita tentang seorang Shamsiah Fakeh. 


Jadi, ketika ada manusia-manusia yang mencerca beliau, pemikiran saya yang masih setahun jagung ketika itu merasakan satu emosi yang berlainan. Emosi itu tidak menghina seperti yang lain-lain. Emosi itu juga tidak bereaksi "aku peduli apa?" Tetapi, emosi itu menyelusuri kisah yang tersorok di sebalik ketebalan buku teks sejarah. Kisah seorang pejuang yang bergelumang di medan lumpur. Emosi itu kemudiannya membuatkan saya meletakkan Shamsiah Fakeh dalam singgahsana yang tersendiri.






Merdeka pada matanya lari daripada pengertian golongan intelektual yang lain. Merdeka pada seorang pejuang seangkatan dengannya adalah kebebasan yang sudah lama sepatutnya menjadi milik mereka tetapi dirampas dan dijaga rapi oleh orang luar yang cuma tahu bergoyang kaki. Merdeka adalah satu pengembalian hak mutlak yang telah lama hilang. Merdeka adalah memijak bara api, selagi tidak sakit selagi itu ia tidak bermaruah. 


Harga diri yang tinggi menyebabkan dia enggan tunduk merayu pada penjajah. Kerana harga diri dia lupakan kain batik dan lemah lembut, dia pakaikan seluar dan lumpur pada kulit. 


Selama ni, saya sekadar mengagumi beliau. Ya, ketika ada manusia yang mencebik bibir, saya tetap dengan pendirian saya. Lalu, bila mereka bertanya... "Kenapa Shamsiah Fakeh disamakan dengan Tunku Abdul Rahman?" Saya cuma membisu kerana jawapan yang bakal keluar dikhuatiri akan memakan diri. Usai membaca novel ini, baru saya mengerti keseluruhan cerita yang sebelum ini cuma separuh saya hadamkan. Sekarang saya punya alasan kenapa saya mengagumi beliau sebagai seorang pejuang kemerdekaan. 


Saya belajar maksud kemerdekaan pada perspektif yang berbeza. Saya belajar erti hidup moyang-moyang kita yang sanggup mengenepikan hidup sendiri lalu meletakkan perjuangan menghalau penjajah di tangga nombor satu. Saya belajar membina jati diri dengan sendirinya. Saya belajar menghargai setiap keringat pejuang-pejuang yang tidak berbaju mewah. 


Kini, saya faham apa itu merdeka secara holistiknya. Kini, saya mengerti jawapan yang akan disuarakan hati saya bila ada manusia yang meludah hina. Kini, saya abadikan wanita ini dalam teks sejarah otak saya. 






Untuk Shamsiah Fakeh. Andai kau boneka, ketahuilah... biar semua orang menghina, biar tidak ada satu buku pun yang mentakrifkan kau sebagai seorang pejuang, biar tidak ada satu pingat pun yang membayar titis-titis keringat kau... Biar aku, anak muda ini yang menghargai dan menghayatinya.


Terima kasih untuk semua pejuang kemerdekaan. Dari krew-krew Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Leftenan Adnan, Shamsiah Fakeh dan lain-lain. Terima kasih kerana menghulurkan kami oksigen untuk kami bernafas sebagai seorang Malaysia. 


Merdeka ! Merdeka bukan untuk 31 Ogos sahaja. Merdeka untuk bila-bila masa! 

Tiada ulasan: