Isnin, 26 Mac 2012

LENSA INI MELIHAT PADA BIBIR MEREKA

Assalamualaikum WBT.


Baru-baru ini keputusan SPM 2011 yang dipekasamkan sejak sekian lama akhirnya terhidang juga. Saya tak berkesempatan untuk pergi ke medan yang menjadi saksi emosi-emosi lepasan SPM 2011. Medan tempat menyerahkan slip yang membayar segala harga titik peluh, dakwat pen serta helai-helai buku sekolah sepanjang 12 tahun mereka bergelar pelajar sekolah. Sama ada suka atau gembira, apa yang penting semuanya sudah terjawab. Tak guna untuk memandang dan menempelak apa yang ada di belakang. Sebaliknya, teliti dan sapalah hari-hari yang akan datang.


Okey, saya tak sempat untuk berada di tempat itu. Tetapi, saya berkesempatan melihat apa yang terlakar pada wajah ibu bapa kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Senyuman. Ya, senyuman pada bibir mereka. Senyum yang bukan dipaksa-paksa. Tetapi, senyuman itu semula jadi.


Saya tak tahu kenapa saya rasa aman bila melihat senyuman itu pada bibir ibu bapa ketika anaknya direncanakan sebagai "pelajar terbaik." Kepuasan dan kegembiraan yang saya pasti bukan sedikit kuantitinya. Kepuasan dan kegembiraan yang lahir daripada emosi luar biasa apabila segala penat lelah mereka akhirnya dibayar dengan sekeping slip pelangi itu. 





Saya percaya setiap tekanan kaki mereka pada pedal minyak demi menghantar anak mereka ke sekolah setiap pagi, nasihat dan teguran yang dilaungkan bila anak mereka berlari keluar daripada landasan sebenar sebagai seorang pelajar serta menghabiskan ringgit-ringgit untuk membeli buku-buku rujukan anak mereka akhirnya dibalas dengan keputusan cemerlang tersebut. Dari wajah mereka yang kelihatan bangga bila menerima ucapan tahniah daripada jiran-jiran mahupun  kenalan-kenalan, saya tahu itulah kebahagiaan yang hakiki buat mereka. Lalu, senyuman dizahirkan bagi mencitrakan apa yang terlukis pada ruang hati yang berwarna-warni.


Jujur saya akui, saya bukan anak yang berjaya membuahkan senyuman bangga pada bibir mak dan abah dengan keputusan UPSR, PMR mahupun SPM saya. Saya tahu ada di antara mata-mata yang membaca ketika ini merasai tempat di mana saya berpijak ini. 


Kalau dulu, saya mengutuk diri kerana saya tak berjaya berbuat demikian. Meskipun mak dan abah menyatakan syukur dengan keputusan-keputusan itu, saya sedar akan realiti bahawa kejayaan yang lebih tinggi menjadi harapan buat mereka pada asalnya. Tetapi, kini saya mula belajar dan tahu pada satu hakikat. 


Tak semestinya kejayaan dalam akademik sahaja yang mampu membanggakan mak dan abah. Kejayaan dalam pembinaan akhlak. Kejayaan dalam ko-kurikulum. Atau secara holistiknya, kejayaan dalam hidup. Itu sebenar-benarnya kejayaan yang dinantikan mereka. Cuma mungkin pada mereka bila ada keputusan yang tip top, hidup pada masa depan akan lebih terjamin. Itu kan normal?


Satu peringatan saya kepada manusia-manusia yang tidak berpeluang membanggakan ibu dan bapa anda dengan keputusan peperiksaan anda. Meskipun anda gagal sekalipun dalam peperiksaan, percayalah rahmat Tuhan bertebaran di muka bumi. Mungkin bila kita di sini kita tak berjaya. Siapa tahu bila di sana kita bahagia? Terus usaha dan sabar menunggu. Percaya atau tidak, matahari tetap akan bersinar bila tiba masanya.




Bila anda berjaya dalam hidup, nescaya segala penat lelah ibu dan bapa kita akan terbayar. Sekali lagi saya ingatkan. Tak semestinya anda gagal akademik bermaksud anda gagal dalam hidup secara keseluruhannya.


Satu saja pesanan dan peringatan. Tolong jangan dihancurkan bunga yang mahu berkembang di hati ibu dan bapa kita. Sesungguhnya tidak ada apa-apa yang mereka mahukan ketika anda baru saja belajar bertatih melainkan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.




TARGET : BERJAYA DALAM HIDUP
kalau bukan untuk diri sendiri, lakukan demi senyuman ibu dan bapa kita...

Tiada ulasan: