Isnin, 12 Mac 2012

MEMOIR HARI KECIL 2

Assalamualaikum WBT.


Bila bercakap tentang hari-hari kecil, sekonyong-konyong pantas sahaja fikiran ini menerawang dan memikirkan apa sahaja momen yang saya anggap sebagai suatu subjek yang perlu ditafsir. Bukan dengan ensiklopedia, tapi dengan neuron. Bila difikir-fikir... bukan sedikit cerita yang berterabur di hari-hari semalam. Oleh sebab itulah yang mendorong   saya membikin entri bersiri khas yakni MEMOIR HARI KECIL bagi saya merakamkan apa sahaja momen pembelajaran untuk saya renungkan.


Bercakap tentang aktiviti saya ketika hari kecil, saya pantas teringat pada betapa seronoknya berbasikal ketika petang menyapa hari seorang kanak-kanak. Meskipun trek yang dilalui sama sahaja setiap hari, tetapi bila saja tapak kaki boleh memijak pedal basikal tepat pada waktunya.. itu sudah cukup menggembirakan.


Basikal yang dibeli oleh Abah kerap saya tunggangi bila rimas berkurung di dalam sangkar papan. Daripada berbaring merenung atap yang ditutup dengan kain rentang lelangit, lebih baik menunggang basikal. Mengizinkan angin yang rakus menyapa kulit muka membuatkan fikiran menjadi lebih tenang. Lebih tenang daripada menghabiskan masa menghadap Facebook pada masa sekarang. 





Jatuh dari basikal. Saya agak anda mesti pernah merasai situasi ini. 



  1. Jatuh basikal ketika kali pertama belajar menunggangnya. 
  2. Jatuh basikal ketika kali pertama Abah menanggalkan roda ketiga dan keempat yang menjadikan basikal itu tidak seimbang. 
  3. Jatuh basikal ketika mahu menyelamatkan diri daripada dikejar angsa-angsa yang galak mencari mangsa untuk 'dicium'. 
  4. Jatuh basikal ketika jalan tar dirasakan seperti kapas. 
  5. Jatuh basikal akibat ruang di antara handle dengan tempat duduk diterjah ayam gila (ini faktor yang menyebabkan saya fobia nak pegang ayam sampai sekarang).



Hahahahahahahaha.. semuanya laju saja menyapa otak lalu dibawa ke jari untuk diluahkan pada ruang ini. Sejujurnya, semua yang saya nyatakan itu adalah semua yang saya hadapi ketika menunggang basikal di hari kecil. 


Difikir-fikir balik... masa tu reaksi saya selepas jatuh dari basikal adalah menyumpah seranah. Lutut dan siku adalah antara bahagian yang kerap tersayat dan berdarah. Kalau sakit pun, berair mata biasalah tu. Hahahahaha...


Momen-momen ketika jatuh dari basikal membuatkan saya melihat refleksinya pada masa sekarang. Sememangnya itu adalah suatu simbolik kepada apa yang saya hadapi dalam pengembaraan mencari hidup. 


 Setiap kesakitan yang dihadapi pada hari-hari semalam sebenarnya menjadi ubat kepada kesakitan kita yang akan datang. 


Setuju? Saya setuju. Apa sahaja peristiwa yang mampu membuatkan saya merasai kesakitan sama ada luar mahupun dalam membuatkan saya matang dalam mentafsir potensi diri. Membuatkan saya lebih bersedia andai kata saya berdepan dengan situasi seumpama itu pada masa-masa akan datang.. lalu saya tahu bagaimana nak 'menyepak' benda itu pergi dari hidup kita. 


Takkan pada usia sekarang bila saya diserang dengan kesakitan saya mahu menyumpah seranah... seperti mana yang saya lakukan sesudah jatuh dari basikal ketika kecil dahulu? Sebaliknya, saya harus berdepan dengannya menggunakan senjata emosi. Bagaimana saya perlu selesaikan dengan menimbangkan baik buruk akibat daripada kesakitan yang lepas agar efeknya tidak berulang. Itu kan sepatutnya digelar sebagai kerja manusia?




Sebelum saya meninggalkan papan kekunci ini, secara konklusinya.. kesakitan bukan noktah pada sebuah novel yang digelarkan sebagai kehidupan. Kesakitan cuma kesalahan ejaan yang boleh dihilangkan dengan memadamkan kembali kesalahan ejaan itu. Rileks... sebab esok masih ada.


*Bila tengok budak-budak zaman sekarang yang memilih untuk menunggang motosikal berbanding menunggang basikal membuatkan saya faham pada peredaran zaman. Ya, mungkin satu hari nanti bila mereka ada blog dan mahu bercerita tentang pengalaman masa kecil... mereka boleh bercerita pasal peristiwa jatuh dari motosikal. :)

Tiada ulasan: