Selasa, 9 Februari 2016

PERCAYA KEMBALI KEPADA MALAYSIA DENGAN 'OLA BOLA'

Assalamualaikum WBT.

Jadi, Ahad yang lepas aku ke Seremban dengan sepupu merangkap kawan melepak aku bila balik kampung. Objektifnya satu je pun; nak tengok ‘Ola Bola.’ Walaupun Mak agak berat hati untuk mengizinkan – memandangkan besok Tahun Baru Cina, possibility untuk jalan menjadi jammed memang tinggi – aku nekad jugak untuk melangsaikan objektif cuti sem aku yang satu ni.

Kami bertiga – aku, Fatihah dan ‘Mr.’ Fatihah – menuju ke Terminal 2 sebab situ ada MBO. Jam 2.15 waktu yang kami cop untuk tonton ‘Ola Bola.’ Syukurlah jugak sebab selalu aku tengok netizen komen di Facebook, diorang duk kata susah bebenor nak bei tiket sebab selalu full. Mungkin sebab kebijakan si Teha yang pilih untuk ke Terminal 2 ni – memandangkan mall ni tak ramai orang yang pergi. Kalau pergi pun, mungkin sebab nak pi Mydin – rezeki kami hari tu memang dimudahkan.

Bercakap tentang ‘Ola Bola,’ awal-awal masa trailer ni dilancarkan, aku yang sempat menontonnya di page Facebook ‘Sukan Star TV’ Disember yang lepas, terus aku ‘kongsi’-kan di FB aku sendiri. Dah lama sebenarnya aku tak excited macam ni untuk tengok filem-filem Malaysia. Dalam keadaan Malaysia sekarang yang agak jarang menghasilkan filem yang betul-betul teliti, ‘Ola Bola’ muncul hanya melalui trailer awal Disember tahun lepas, kemudian meningkatkan adrenalin sesiapa pun untuk menonton filem ini.


Selesai menonton ‘Ola Bola,’ aku keluar daripada panggung dengan satu perasaan yang berbeza. Puas, puas gila-gila. Puas sebab jangkaan tinggi melangit aku terhadap filem bermood biografi seperti ini betul-betul ditepati. Puas sebab aku keluar dengan rasa tak ada satu pun daripada elemen ‘Ola Bola’ yang tidak kena pada mata aku. Puas sebab ‘Ola Bola’ memberikan satu mood futuristik di dalam diri kita sebagai seorang ‘Malaysia.’

Aku tak tahu macam mana rupanya dan karakter Soh Chin Aun, Eric Yong, Khalid Ali, R. Arumugam dan lain-lain masa 1980. Aku tak tahu banyak mana peratus berjayanya pelakon-pelakon ‘Ola Bola’ berjaya menterjemahkan lagenda-lagenda ini dengan tepat. Tapi, aku percaya yang mereka semua berjaya menterjemahkan karakter-karakter tersebut dengan tujuan yang sama – menyuntik semangat ‘inilah Malaysia’ satu ketika dahulu.

Ada beberapa babak yang hampir-hampir membuatkan aku menangis. Antaranya, aku suka babak adik kepada Tauke memarahi Tauke di tempat pemprosesan getah segerap. Aku tak tahu nama perempuan Cina tu, tapi dialognya betul-betul masuk ke dalam hati. Point yang adik Tauke ‘tembak’ kepada Tauke yang tiba-tiba berubah menjadi ‘lembik’ dan mudah putus asa ke atas pasukannya, point tentang Tauke yang tidak ambil berat langsung perasaan ibu mereka yang sangat-sangat menyokong kerjaya bola sepaknya, dan bagaimana adik Tauke itu sanggup mengorbankan keputusan peperiksaannya yang cemerlang semata-mata untuk menghabiskan sisa-sisa umur remajanya dengan menoreh getah untuk menyara keluarga serta memberi ruang kepada Tauke untuk mengejar cita-citanya selaku bintang bola sepak. Babak tu membuatkan kita untuk berfikir bahawa putus asa bukan pilihan yang selayaknya kalau kita berada di situasi seperti Tauke kerana ada orang lain di sekeliling kita yang lebih banyak berkorban semata-mata mahu melihat kita untuk mencapai cita-cita.

Babak Muthu yang dimarahi ayahnya di hospital selepas adik-adiknya mengalami kemalangan juga betul-betul buat aku sebak. Begitu jugak dengan babak pemain simpanan yang ‘tembak’ kawan-kawan sepasukannya di bilik persalinan sebelum separuh masa kedua perlawanan menentang Korea Selatan bermula disebabkan semangat mereka yang merudum jatuh bila dapat tahu Olimpik yang mereka kejar rupanya diboikot Malaysia.




Aku puji pengarah ‘Ola Bola’ yang langsung tidak mempertaruhkan mana-mana wajah popular untuk menjadi penarik cerita ini. Kesemua pemain bola sepak di dalam filem ini sudah menjalankan tugas mereka dengan cukup cemerlang dalam memberikan gambaran kepada generasi baharu seperti kita tentang siapa kita sekitar era kegemilangan ‘Malaysia’ satu ketika dahulu.

Aku puji Bront Palarae sebagai pelakon pembantu. Suara dan karakternya sebagai pengulas sukan yang penuh dengan keterujaan dan komedi yang tersendiri, selalu membuatkan aku meremang seolah-olah aku betul-betul berada di dalam stadium ketika itu untuk menyaksikan kehebatan pasukan Malaysia membenam Korea Selatan. 


Begitu juga dengan watak wartawan perempuan Cina yang bertindak sebagai narator yang memungkinkan jalan cerita ‘Ola Bola’ menjadi cukup cantik dan ‘berhantu’ untuk terus ditonton sehingga habis. Watak adik Tauke juga cemerlang walaupun dia muncul pada beberapa babak sahaja.

Slogan ‘You will believe again’ yang digunakan sepanjang mempromosi ‘Ola Bola,’ bagi aku bukan sekadar satu taktik marketing. Berat sebenarnya slogan ini yang mahukan kita percaya kembali. Slogan ini memikul tanggungjawab yang besar hingga memungkinkan filem ini untuk dicemuh kalau-kalau slogan itu tidak berjaya dipamerkan di dalam filem ini kelak. Namun, nyata masterpiece yang satu ini menepati slogan ‘suruhannya.’

Tonton ‘Ola Bola.’ Itu sahaja yang saya minta. Terpulang bagaimana sekalipun caranya. Sama ada anda mahu meredah kesesakan jalan raya di hujung-hujung minggu. Atau anda sekadar menunggu filem ini secara percuma di Internet – Tengoklah kat panggung. Sokong Malaysia sikit apa salahnya?

Anda tidak perlu untuk membuka sejarah melalui cerita-cerita mak ayah anda atau melalui Wikipedia untuk mengenali siapa Soh Chin Aun, Khalid Ali atau R. Arumugam sebagai persediaan untuk mengelakkan kekeliruan sebelum menonton filem ini. Betul. Aku sendiri tak kenal mereka semua secara mendalam. Sebabnya, keluar sahaja dari panggung, anda sendiri yang akan terhegeh-hegeh mencari maklumat sejarah berlatar belakangkan masa itu.

Anda tidak perlu menjadi seorang pencinta bola sepak untuk menonton filem ini. Aku sendiri, tak pernah faham pun formasi-formasi di atas padang sekali dengan sistem liga bagai ni. Serius aku cakap, tak perlu.

Anda juga tidak perlu untuk menontonnya dengan perasaan skeptikal terhadap filem-filem buatan Malaysia dengan alasan anda seorang hipster dan ada taste tersendiri. Anda cuma hadamkan filem-filem Inggeris semata-mata. Pergi jahanam dengan pendirian itu dan tonton ‘Ola Bola.’

Sebabnya, ‘Ola Bola’ bagi aku selain daripada membuatkan kita percaya kembali kepada industri bola sepak tanah air, ‘Ola Bola’ turut mengembalikan kepercayaan kita untuk kembali menghargai karya-karya Malaysia. Jujurnya, aku rindukan filem Malaysia sebagus ‘Gubra’ oleh Yasmin Ahmad dan ‘Baik Punya Cilok’ oleh Afdlin Shauki. ‘Ola Bola’ menghilangkan rindu itu. ‘Ola Bola’ muncul di tengah-tengah lambakan karya Malaysia masa kini yang lebih dahagakan rating dan keuntungan berbanding ketelitian dalam menghasilkan karya.

Dan yang paling utama, ‘Ola Bola’ benar-benar membuatkan kita percaya sebagai seorang rakyat Malaysia. Filem ini menunjukkan sisi perpaduan yang tidak dibentangkan dengan cara yang sangat lame dan awkward seperti mana karya-karya bermotifkan elemen cintakan negara yang lain. Filem ini mengetengahkan latar sukan bola sepak sebagai pengantar dalam membayangkan kepada generasi masa kini bahawa perpaduan ketika itu sangat tinggi. 

Lihat sahaja macam mana elemen Cina, India, Melayu dan Borneo dinyatakan walaupun secara berasingan, tetapi semuanya bersatu ketika mereka menonton di stadium dan mendengar di radio dengan perasaan megah dan bangga. Malah ketika aku di dalam panggung, ada je penonton yang berbangsa Cina duduk kat belakang aku dan ketawa sama macam aku pada lawak-lawak yang ada dalam babak-babak 'Ola Bola.'

 

Terima kasih ‘Ola Bola’ untuk pengalaman dan perjalanan ini. Terima kasih kerana meyakinkan kami sebagai generasi sekarang bahawa perpaduan dan keharmonian itu tidak perlu dipaksa-paksa dan dibuat-buat dengan laungan ‘1 Malaysia’ berkali-kali ketika musim-musim tertentu sahaja. Cukup dengan hanya membuka mata kami macam mana elemen semudah sukan bola sepak itu menjadi intipati paling utama dalam menjadikan kami seorang Malaysia. Terima kasih kerana mengingatkan kepada kami tentang perasaan bangga sebagai seorang rakyat 'Malaysia' itu tidak pernah akan hilang walaupun kita kalah dan diuji berkali-kali.

"Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama." - Ali.

Tiada ulasan: