Ahad, 17 April 2011

"TANYA SAMA HATI"

Assalamualaikum WBT..



Antara lambakan lagu P Ramlee... lagu yang satu ini betul-betul melekat dekat otak saya. Lagu yang dinyanyikan oleh P Ramlee dan Normadiah ini adalah lagu yang dipetik daripada filem "Anakku Sazali." Filem ini ditayangkan pada tarikh 27 Oktober 1956. Hero filem ini adalah P Ramlee yang melakonkan watak Hassan manakala Zaiton sebagai heroin memainkan watak Ani.

Bila tonton balik filem klasik ni, saya selalu terpaku dekat depan TV masa babak di mana lagu ini dinyanyikan. Serius, meremang dekat tengkuk. Babak di mana Hassan dengan Ani sedang bercengkerama malam-malam, duduk dekat tangga tepi sungai, sambil nyanyi lagu 'tanya sama hati' diiringi dengan gesekan biola oleh Hassan memang satu babak yang akan saya ingat sampai bila-bila. Babak yang sangat mudah diiringi dengan lagu yang menakjubkan. Lihat! Tak perlu skrin hijau, tak payah teknik CGI. Hanya kain pelekat dengan biola, cukup untuk menyatakan kehebatan lagu ini bila diterjemahkan ke bentuk pergerakan.

Kalau dalam MP4 saya, lagu ini berdurasi selama 3 minit 25 saat ini. Dimulakan dengan suara kanak-kanak. Kemudian diikuti dengan suara Normadiah yang saya akui, merdu gila! Lepas tu barulah diikuti dengan suara P Ramlee. 

Berlatar belakangkan muzik yang sangat indah, bila dengar lagu ni saya terasa seperti saya tengah menunggang mesin cahaya masa untuk kembali ke zaman ketika lagu ini dicipta. Muzik memainkan peranan yang sangat penting kan dalam sesebuah lagu? Jadi, pada lensa saya muzik lagu 'tanya sama hati' hanya dapat digambarkan dengan satu perkataan iaitu; MERDU. Saya bukanlah seorang pengkritik yang mahir untuk menilai sesuatu muzik itu dengan mendalam, sejujurnya. Saya cuma pendengar biasa-biasa sahaja, yang kagum dengan lagu-lagu seperti ini. Gesekan biolanya yang mengkhayalkan... muzik yang ada percikan 'Melayu'nya yang tersendiri. Apa lagi yang dapat kita cakap pasal muziknya?
  
Lirik dia... 
Wow. Jujur, saya adalah peminat sastera khususnya sastera Melayu. Bila dengar lirik lagu ni, saya seperti dibawa mengembara dalam kisah cinta Hassan dengan Ani. Berat... lirik ni berat. Kaya dengan emosi. Kaya dengan keindahan bahasanya. Dengar pertama kali kita akan anggap lirik ni biasa-biasa saja. Tapi, untuk yang kedua kalinya, cuba kita hayati betul-betul. Pada saya, lirik inilah yang boleh kita katakan sebagai lirik lagu CINTA yang sebenar. Ada jiwa. Sempurna... 


Susah untuk saya suka pada sesebuah lagu tu sekaligus mengatakan bahawa itu adalah lagu terbaik. Tapi, tak untuk lagi yang satu ini. Bagi saya, ini adalah LAGU DUET TERBAIK yang pernah dihasilkan. Muziknya yang merdu, liriknya yang ada jiwa dan cara penyanyi lagu ini menyampaikan ceritanya... SEMPURNA.

Sampai pada satu tahap, saya ada mendengar lagu 'tanya sama hati' dinyanyikan dalam versi yang berlainan. Dinyanyikan oleh orang lain. Sejujurnya, saya tak sokong sebenarnya. Ya, saya puji dengan kelainan yang dibawa dalam lagu versi baru itu. Saya puji dengan usaha mereka untuk memanjangkan lagi usia lagu ini. Tapi, pada saya bila tiba pada sesuatu tahap, kita kena hormat dengan ke'original'an sesebuah karya itu.

Sebelum noktah, apa kata kita layan lagu ni. Apa yang boleh saya cadangkan untuk anda bila dengar lagu ini; kakukan mata  dan pekakan telinga. Tanya sama hati anda: 
"apa kehebatan lagu ini?"



Tanya sama hati apa rasa sayang,
Adakah tandanya nampak dipandang,
Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,
Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Jikalau tidak kerana sayang,
Kuntuman kasih tak mungkin kembang,
Andainya jemu mengganti rindu,
Jambangan mesra tentulah layu.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Tiada ulasan: