Rabu, 20 April 2011

LELAKI DI ATAS 'WILCA'

Assalamualaikum WBT... 

"Oleh kerana kita hidup dalam demokrasi terpimpin... Saya Usop, bekas penari kebudayaan, ingin mengesyorkan agar kita membuat undian. Sapa-sapa di sini yang menyokong supaya rumah Kak Limah tu kita bako, dan kita menang dalam mesyuarat ini... Sila angkat tangan macam saya..."

"Bukan 'wilca'.... wheelchair. Tu le, sekolah dulu tak nak ambik ape... english education. Ha... sume nak kome nolong bila dah bengap macam tu..." 

Hahahahahahaha...
Dialog-dialog dekat atas ni mungkin antara dialog yang paling popular buat masa ni. Dialog ini adalah antara cebisan yang terdapat di dalam filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah.' Sebuah filem yang berjaya mencipta lingkungan fenomenanya yang tersendiri. Tapi, entri kali ni bukan mengenai keseluruhan filem itu. Saya hanya berminat untuk mengambil seorang sahaja daripada kelompok tersebut. Tak lain tak bukan... watak yang berjaya mengekspresikan skrip-skrip di atas dengan begitu hebat sekali iaitu:

USOP. 
Watak ini dimainkan oleh pelakon Syed Mohamad Asri atau Shy8. Lebih dikenali dengan nama 'Usop Wilca' atau 'Usop Wheelchair' (ni untuk sapa2 yang ada english education). Salah seorang penduduk Kampung Pisang yang juga merupakan bekas penari kebudayaan. Saya tahu ramai yang dah sedia maklum. Tapi, fakta ni sekadar pelengkap. Watak ni pada mulanya wujud dalam filem 'Zombi Kampung Pisang.' Ianya kemudian diberi peranan yang lebih berat dalam sekual filem tersebut; 'Hantu Kak Limah Balik Rumah.' Berkerusi roda kerana kecacatan kakinya. Siapa yang tak terbayang-bayang dengan pergerakan lenggok tangan yang begitu sinonim dengan watak ni? Hahahahaha...

Saya ingat lagi. Kali pertama saya menonton Shy8 ketika beliau berlakon dalam siri popular 'Dunia Baru.' Saya percaya ramai yang ingat dengan drama bersiri popular tu. Saya pun salah seorang pengikut siri tersebut. Pada ketika itu, Shy8 melakonkan watak lelaki cemerkap yang hampir-hampir menjadi bapa tiri kepada Opie. Selepas itu, saya melihat pula dia di dalam 'Zombi Kampung Pisang.' Dan, akhirnya ingatan saya terpaku untuk lelaki ini sebaik sahaja menonton 'Hantu Kak Limah Balik Rumah.' 

Dengan cara percakapan berloghat Perak yang pekat, hayunan jari-jari dia dan suara yang kedengaran agak kelakar, watak ini benar-benar kuat pada saya. Membawa unsur komedi yang tersendiri dan tidak nampak 'bodoh,' dialog-dialog yang dituturkannya dalam filem tersebut menjadi ikut-ikutan sekarang. Kekuatan watak ini membuatkan saya terfikir, watak ini mempunyai peluang besar untuk dinobatkan sebagai Aktor Pembantu Terbaik dalam mana-mana majlis anugerah. Yeah... ini serius. Watak tersebut betul-betul membuatkan saya berasa kagum. Ia menyampaikan humor melalui satu sisi yang berlainan. Perli-perli yang dinyatakan dalam bentuk humor mungkin membuatkan kita rasa seperti itu bukan perli pada dasarnya. Tapi, sebenarnya setiap apa yang dia katakan - bukan dia saja, semua watak dalam filem tu katakan - mempunyai mesej-mesej yang tersirat. Menyentuh semua aspek yang kadang-kadang kita terlepas pandang.

Tahniah la untuk pembawa watak ini, Shy8. Tahniah untuk Mamat Khalid, penulis skrip dan semua yang dah menyuntik kekuatan untuk watak ni. Serius... benar-benar hebat. 








Mungkin pada tahap ni... masyarakat Malaysia kena buang perspektif yang mengatakan komedi pada zaman sekarang adalah komedi tepi jalan saja. Ya, mungkin kita tak boleh tandingi P Ramlee. Kita tak boleh nak buat cerita-cerita seperti 'Bujang Lapok,' 'Madu Tiga' atau 'Ahmad Albab.' Kita juga tak boleh nak cipta watak-watak sekelakar 'Pendekar Mustar,' 'Cik Normah Tuan Rumah' atau 'Sadiq Segaraga.' Zaman berubah dari minit ke minit. Karya-karya yang terhasil sebelum-sebelum ni tak boleh nak dibanding-bandingkan dengan karya yang terhasil pada zaman sekarang. Sebab kita sentiasa akan jumpa kelebihan atau kekurangan dari kedua-dua belah. Setiap satu mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Cuma tinggal kita yang melihat ni. Berhenti merungut. Berdiri dan bersedia untuk rasa bangga kerana Malaysia sudah lama mampu dalam menghasilkan karya-kerya terbaik. 

Akhir katanya... 

Tahniah untuk semua pengarah, krew-krew dan pelakon-pelakon KOMEDI tanah air! ANDA SEMUA HEBAT!

Tiada ulasan: