Jumaat, 29 April 2011

DARI SUDUT : "KASHAF IMANI"

Assalamualaikum WBT



Sebelum kita mula... pertama sekali saya minta maaf. Pengakuannya, baru kelmarin saya menonton ulangan drama ni. Sedangkan drama ni dah ditayangkan dekat Astro Ria lebih dua bulan yang lalu. Saya mengaku masa saya tengok iklan dia dulu, saya agak skeptikal pada penilaian awal. Saya tak tahu... tapi apa yang saya fikirkan masa tu, saya tak berminat nak tengok drama ni. Tapi, malam kelmarin benar-benar berubah. Saya terpaku depan tv, tengok cerita ni dari awal sampai ke habis.

Drama ini diarahkan oleh pemenang Aktor Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 2010 : Azma Aizal Yusof. Dilakonkan oleh Beto Kusyairi, Sharifah Amani, Normah Damanhuri, Wan Sharmila, Noryati Taib, dan beberapa lagi. Skrip oleh Shahrulezad Mohameddin dan Shariman Wahap. Cerita asalnya pula oleh pengarah drama ini sendiri.

Menceritakan kehidupan yang berkisar di sebuah flat. KASHAF, remaja bermasalah yang tinggal bersama dengan ibunya, Rosnah, seorang GRO dan adiknya, Shamim, seorang pelajar kolej. Kashaf bekerja sebagai 'budak penghantar dadah.' Satu hari, tragedi yang tak diduga berlaku bila Kashaf diserang dan ditikam menyebabkan dia terlantar koma. Yang menjadi konfliknya adalah ketika koma itulah roh Kashaf mula 'berkeliaran' untuk meminta maaf kepada ibunya dan bertaubat. Isunya pulak, tak ada sesiapa yang boleh nampak dia. Melainkan hanya seorang sahaja.

Imani pula merupakan pekerja di sebuah kedai buku/perpustakaan. Yang saya perasan, rak-rak yang mengelilingi dia tu semuanya diisi dengan buku-buku keagamaan. Tanpa dicadangkan atau diminta, Imani mempunyai suatu keistimewaan anugerah daripada Tuhan. Dia mampu melihat perkara-perkara yang orang biasa tak dapat nak lihat dengan mata kasar. Dalam ayat lainnya... MAKHLUK HALUS. Ha....
Dalam masa yang sama, Imani yang turut tinggal di flat yang sama dengan flat Kashaf, dah lama simpan perasaan dekat lelaki tu. Manisnya, dia sanggup kutip barang-barang yang Kashaf dah buang seperti botol minyak wangi dan lighter. Semua tu dia simpan dalam tin biskut.  Tetapi, Imani tak berani untuk tampil berterus-terang di hadapan lelaki itu.

Menarik telemovie ni... Macam-macam emosi yang kita dapat rasa: 
  • Kita dapat rasa kemanisan perasaan yang dipendam oleh Imani untuk 'kekasih gelapnya.' Kemanisan ketika Imani dan Kahsaf berbual-bual buat pertama kalinya. Imani mati2 cari alasan untuk nampakkan yang dia sebenarnya tak suka dekat Kashaf. Tapi alasan2 tu semua adalah alasan2 yang tak logik. 
  • Kita dapat rasa kelemasan hidup dalam keluarga yang kucar-kacir. 
  • Kita dapat rasa kemarahan masa Kashaf mengamuk dekat mak dan adik dia. Tetapi, kemudiannya dia rasa bersalah sangat.
  • Kita dapat rasa keinsafan ketika Kashaf dekat atas jejantas tu.
  • Kita dapat rasa bila Imani serba tak kena untuk tolong mana-mana roh yang datang dekat dia sebelum ni sebab dia seperti ragu-ragu dengan keistimewaan ini. Tapi, bila yang datang tu adalah roh orang yang dia sayang...?? Itu benar-benar membuntukan, saya percaya.

Hebatlah. Saya kagum skrip cerita ni. Serius! Sampaikan saya rasa cerita ni tak diskripkan tapi sebaliknya dikatakan dengan spontan mengikut emosi pelakon ketika itu. Skripnya jujur. Ya.. banyak mencarut tapi itu tak jadi masalah sebab bukan tu pointnya. 

Satu babak dalam keseluruhan cerita ni yang buat saya kagum iaitu masa Imani pergi ke hospital untuk jberumpa Mak Cik Rosnah. Masa tu Mak Cik Rosnah sedang menangis dekat depan Kashaf yang dah koma tak sedar diri. Jelas tergambar dekat wajah Imani yang seperti berperang dengan emosi bila roh Kashaf menjerit2 mintak Imani bagitau Mak Cik Rosnah yang dia sayangkan Mak Cik Rosnah. Saya dapat rasa babak tu sampai sekarang.

Mulanya saya ingat tajuk cerita ni: 'Kashaf Imani' sekadar melambangkan nama kedua-dua watak utamanya. Tapi sebenarnya ada yang tersirat. Perkataan 'Kashaf' tu sebenarnya membawa maksud untuk watak Imani sendiri. Dalam Islam... 'Kashaf' bermaksud terbuka atau ternampak sesuatu yang ghaib melalui pandangan hati. Imani sendiri dikurniakan Tuhan untuk memiliki keistimewaan tersebut.

Keseluruhannya... cerita ini meninggalkan kesan dalam diri saya. Jalan cerita yang disusun dengan begitu kemas. Buat penontonnya teringat tentang peluang kedua yang tak semestinya dapat dekat semua orang. Buat penonton sedar tentang kenytaan bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang akan datang di kemudian hari. Buat penonton terfikir yang setiap perkara yang berlaku itu adalah takdir yang dah ditulis. Dakwahnya... tegurannya... mungkin berbeza dari mana-mana cerita lain, tapi ianya masih mampu meninggalkan kesan, malah mungkin dengan lebih mendalam lagi.

Tahniah untuk semua yang terlibat, membikin telemovie ini. Dari penulis skrip sehingga ke pengarah. Dari pelakon utama hinggalah ke pelakon pembantu. 
TAHNIAH!

Tiada ulasan: