Khamis, 12 Julai 2012

PERILAKU SANG PEMADAM

Assalamualaikum WBT.


Pertama sekali memang mintak maaf sebab 'kekurang-hajaran' saya yang sudah lama tidak terkinja-kinja di laman ini. Serius sungguh! Memang sibuk. Tambahan pula, 'jelingan' dan 'perli' buku-buku yang sentiasa memprovok saya untuk menelaahnya membuatkan masa saya makin mengecil. 


Kedua, ya... saya juga dalam proses untuk mengubah wajah blog ini. Bukan bermaksud saya tidak menghargai identiti yang lama itu. Tidak. Tetapi saya cuma mahukan sesuatu yang lebih matang dan selesa. Ini sebahagian daripada permulaan. Selebihnya, insya-Allah akan menyusul. 


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------




Bekas menyimpan alatan tulis akan habis saya selongkarkan jika saya sedang menggelabah mencari pen, pembaris, highlighter mahupun apa sahaja objek untuk digunakan. Entah kenapa, satu hari saya terkaku merenung sebiji pemadam yang hampir lunyai. Pantas sahaja otak berputar ligat memikirkan ayat yang pernah diposkan di laman Facebook. 


Pos itu sekadar bercerita mengenai kisah dongengan pemadam dan pensil. Pos itu lebih kurang begini :


Pensil bertanya kepada pemadam mengapa setiap kesalahan yang dia lakukan akan segera dipadam oleh pemadam? Pemadam dengan rendah diri menuturkan jawapannya bahawa itu merupakan tugasnya. Pemadam tahu dan sedar, satu hari nanti dia akan pupus. Dia mahukan pensil mengenangnya sebagai teman sejati yang sentiasa membetulkan setiap kesalahan yang dicoretkan oleh pensil.


Saya terpegun dan saya terus tertarik. Saya tafsirkan kisah ini dan saya cantumkan dengan kisah saya yang sememangnya dikelilingi oleh ramai manusia bernama kawan. 


Fikir dan fikir, jauh di sudut hati saya merebak satu perasaan. Perasaan itu kemudiannya mengepung hati dan emosi secara menyeluruh. 


Saya ialah kawan. Itu salah satu daripada 'kerjaya' saya di muka dunia. Saya mahu jadi seperti pemadam itu. Teman yang sentiasa akan membetulkan kawannya jika terdapat secalit tompok kesalahan. Teman yang setia ada di tepi lalu bersedia menjalankan tugasnya sebagai seorang 'pembetul kesalahan.' Teman yang menyamakan kepentingan dirinya sendiri dengan kepentingan kawannya. Teman yang ikhlas dan jujur. 


Apabila diselusuri definisi 'kawan,' saya benar-benar pasti manusia bernama itu merupakan salah satu pemilik peratus yang tinggi dalam menghuraikan hidup seseorang manusia yang lain. Begitu besar dan dominan bayang seorang kawan kerana dia sanggup menjadi seorang kawan. 


Kawan yang sebenar ialah kawan yang setia, jujur dan ikhlas. 


Tangan ditadah menitip nota kepada Tuhan, andai kata habis ingatan ini disedut sehingga kontang... usah hindarkan manusia-manusia yang saya gelarkan sebagai 'kawan' itu daripada fikiran kerana tanpa mereka, hidup saya tak awesome.

2 ulasan:

Masmira Masri berkata...

berat betul penulisan awk nih hahaaa....tp xsabar nk tgk rupa baru blog ini...memaparkn kematangn sang penulis

do visit n follow
http://myaleo.blogspot.com/2012/07/singgah-sat.html

Anonymous berkata...

agak berat jugaklah :)