Jumaat, 14 Disember 2012

JATUH DAHULU SEBELUM BANGUN

Assalamualaikum WBT.

Beberapa hari yang lepas, saya mengikuti lintas langsung perlawanan di antara Harimau Malaya dengan Gajah Putih. Semua tahu, perperangan itu berakhir dengan kekalahan. Sebenarnya, ini bukan entri yang dirancang, tetapi sejurus selepas saya melihat kekalahan tersebut, langsung idea untuk entri ini pun timbul mendadak.

Saya pernah tweet perkara ini di Twiiter. "Macam mana nak menang, kalau tak kalah?" Semua manusia, walau dalam apa-apa bidang sekalipun, pasti pernah berada di tingkat menara yang paling tinggi. Saat itulah kita gelarkan diri kita sebagai pemenang. Seiring dengan itu, kita diangkat sebagai model yang perlu dicontohi dan diikuti. Kemudian, pujian dan pengiktirafaran memenuhi hari-hari yang berikutnya.

Hakikatnya, dalam satu jangka masa yang panjang... tak semua pemenang itu akan kekal di atas atau dalam maksud yang lain, tak semua pemenang pada hari ini akan berulang-ulang memegang trofi pada masa-masa yang akan datang. Tak logik langsung. Sebab itu, Tuhan itu adil. Menang antonimnya kalah. Apabila kita kalah, satu hari kita akan menang. Apabila kita juara, satu hari nanti kita juga akan terjatuh.

Tak adil kalau ada yang sewenang-wenangnya mahu mengatakan faktor 'mudah lupa diri' sebagai penyebab sesuatu kejatuhan. Banyak faktor lain lagi yang boleh mendorong kepada kekalahan. Sama ada kita mengaku ataupun tidak, realitinya jika kita berjaya mengesan walau seribu faktor sekalipun yang menjadi penyebab, situasi itu tetap tidak akan mengubah apa-apa. Kalau adapun mungkin itu boleh diguna pakai pada masa akan datang. 

Kita dah jumpa penyebabnya. Kita juga dah jumpa vaksin-vaksin untuk mengubatinya. Tapi sebelum itu, ada yang tertinggal di antara dua tindakan tersebut. Psikologi. Jika ada yang mampu menjerit riang gembira selepas ditampar kekalahan, mohon usung dia menuju ke wad pesakit gila. Siapa yang tidak terjejas apabila selama ini kita berada di atas, tiba pada satu masa.. kita terperosok ke ruang yang paling bawah? Murung, sedih, semua itu pasti ada. Pasti.

Beginilah... kekalahan itu wajib ada dalam mana-mana situasi. Ambil perkara itu sebagai suatu yang positif. Fikir secara logik, bagaimana kita mahu menang kalau kita tidak kalah terlebih dahulu? Bagaimana kita mahu bangun kalau kita tidak jatuh terlebih dahulu? Bagaimana juga kita mahu mengubati jika kita tidak sakit terlebih dahulu? 

Kan? Cuba fikir... dengan cara itulah, kita mampu kekal waras walaupun ditembak dengan sejuta peluru kekalahan. Kita mampu berdiri kerana kita yakin, esok kita boleh lagi mencuba untuk melangkah. Dengan cara itu juga, kita boleh meredah dengan selamba ejekan, komen negatif dan kritikan tidak membina daripada mereka yang menilai secara membuta tuli. 



Untuk pasukan dan penyokong Harimau Malaya, untuk selamanya... kita perlu jatuh dahulu. Sebab apa? Sebab kekalahan merupakan mata pelajaran yang paling jujur. Tahniah! Tahniah! Tahniah!

2 ulasan:

Masmira Masri berkata...

setuju...kita kena jugak merasa kalah nya tu kn....

done singgah =)

Anonymous berkata...

yeah tepat sekali :)