Khamis, 13 Disember 2012

TRAVELOG DARI TAMPIN

Assalamualaikum WBT.

Wow... September lepas merupakan kali terakhir saya menyimbah idea di ruang ini. Selepas itu, saya sepi dan terus sepi. Maaf ya... bukan sebab malas, bukan sebab bosan. Tapi, otak menuntut saya untuk meluangkan segenap fokus kepada pelajaran memandangkan STPM semakin hampir ketika itu. Uuiiyaai.. lamanya saya tak menulis entri. Idea yang berlegar-legar selalu mendesak saya untuk segera menghidupkan komputer, tetapi jeritan buku mematikan semuanya. Sekarang, detik ini saya telah tamat berperang di medan itu dan ya, saya kembali lagi di ruang ini. 


Apabila saya melihat pada situasi bahawa saya telah tamat berperang sebagai seorang tentera STPM... saya mula sedar akan hakikat bahawa itu mungkin antara momen terakhir saya mencatat travelog di daerah Tampin. Lebih kurang tiga tahun saya menjadikan daerah ini sebagai 'tempat pelarian' saya, entah mengapa... momen yang ini merupakan momen yang paling melegakan. Situasinya seperti saya tidak perlu lagi menjadikan Tampin sebagai ruang untuk saya menilai sudut hitam mana yang perlu saya buang daripada diri ini. Cukuplah...cukup tiga tahun saya membina sesuatu di situ yakni kekuatan. Kini, sedikit sebanyak, bekalan itulah yang saya perlukan untuk dibawa ke masa hadapan. 

Travelog yang saya perolehi daripada Tampin, kalaulah dapat dibayangkan kepada sesuatu... Okey, macam nilah. Kalau saya seorang pelukis, travelog itu seperti jutaan kanvas yang dijual pada harga yang sangat tinggi. Begitu perumpamaannya. 

Tampin, jika tanah ini mempunyai telinga... akan saya beritahu kepadanya bahawa tanah inilah yang mengajar saya maksud-maksud kehidupan yang tak habis saya terokai. Dalam satu-satu keadaan, bila saya dibuang.. Tampin menjadi tong yang menyambutnya. Dalam situasi yang lain pula.. ketika saya rasakan garisan yang saya lukis hampir kepada penghujungnya, Tampin menjadi penyambungnya. Suka menjadi ubat. Sedih menjadi pengajaran. 

Ketika di titik permulaan dahulu, saya langsung tak menjangkakan bahawa saya akan lari sejauh ini. 32 kilometer jauh daripada tanah tempat saya bertatih. Saya langsung tidak tahu SMK Tunku Besar Tampin itu apa? Saya langsung tidak tahu berapa tambang bas untuk ke Tampin daripada Rembau, berapa jarak dari Linggi ke Tampin, di mana letaknya taman perumahan itu dan ini, siapa yang akan saya temui di sekolah baharu. Langsung tidak! Emosi saya kosong apabila mak menolak saya ke situ. Lalu, apabila takdir menunjukkan sesuatu, detik demi detik saya mula terbiasa dengan keadaan-keadaan tersebut. 

Travelog saya sepanjang berada di Tampin menjadikan saya sebagai seorang pemerhati yang sedang menerokai idea untuk dicatit di dalam lembaran-lembaran autobiografi. Terlalu banyak nota-nota yang telah saya kutip sepanjang tiga tahun itu sehinggakan saya kini berada di tahap yang langsung saya tidak jangka. 

Sejujurnya, saya langsung tidak sedih andai kata momen ini menjadi antara momen terakhir saya bersama Tampin. Tidak sedih langsung. Sebaliknya, ada satu perasaan yang terlalu mahal mengisi hampir setiap penjuru ruang. Semangat yang disimpan rapi semata-mata untuk digunakan sebagai peluru pada masa hadapan. Yeah.. itulah dia. 

Tampin... terima kasih untuk setiap satu saat yang berjalan sepanjang tiga tahun ini. Terima kasih untuk setiap helaian nota pengajaran yang saya perolehi di sini. Ya... terima kasih.


Apabila mana-mana manusia sekalipun berada di tempat saya ketika ini, mereka pasti akan berfikiran sama. Benarlah kata-kata yang pernah saya hadam satu masa dahulu. Kita boleh berubah jika kita benar-benar mahukannya. 

4 ulasan:

Remy hazza berkata...

pernah sampai tampin..... tapi tak sempat nak teroka sepenuhnya......
thanks for sharing about tampin.....

dari lensa faiz berkata...

banyak yg menarik tentang tampin.. :)

Min Nayuri berkata...

best citer psal tampin..+_+
rjen2 lah dtg blog ny..
http://aasminizari.blogspot.com

Min Nayuri berkata...

best cter psal tampin...
rjen2 lah plk dtg blog ny
http://aasminizari.blogspot.com