Sabtu, 22 September 2012

JANGAN ADA PELANGI KETIKA SENJA

Assalamualaikum WBT.





Saya ambil sepotong lirik Pelangi Senja :


 Wahai, sang pelangi indah muncul seketika 
 Sayang tak ku lihat 
 Kini tiada 

 Jika mampu ku kembali mengulangi masa 
 Pasti ku tunaikan 
 Permintaan terakhir 



Ya... lagu ini sama seperti lagu-lagu seperti Hurt - Christina Aguilera, Thinking Of You dan The One That Got Away - Katy Perry, Pergi - Aizat. Mesej setiap lagu ini sama. Kesemuanya mengenai perpisahan dan penyesalan. 

Saya tenggelam dalam lirik lagu ini. Liriknya membawa satu cerita yang mengisahkan penyesalan akibat semalam dia tidak menghargai manusia yang sentiasa ada di sisinya. Kemudian, bila manusia itu pergi tak kembali, yang tinggal cuma sesal. 

Apabila difikir, bila-bila masa sahaja kalau Tuhan nak... Dia boleh ambil apa sahaja nikmat yang ada di sekeliling kita. Tidak kiralah siapa pun... Ibu yang selama ini menumis nutrisi demi kelangsungan hidup kita, bapa yang selalu mempertikaikan minat kita, adik beradik yang selalu menjadi teman bergaduh, rakan yang selalu mendengar bengang kita mahupun kekasih yang selalu menemani peti masuk telefon bimbit

Sama ada kita mahu atau tak, itu yang dinamakan sebagai percubaan dalam hidup. Ada manusia yang konkrit bila diuji dengan apa sahaja dugaan. Tapi, bila ini melibatkan kehilangan seseorang yang rapat dengan kita pada masa yang tak disangka-sangka, manusia hipokrit mana yang mampu bertahan untuk satu tempoh yang panjang? 

Bohonglah jika dugaan spesies itu tidak meninggalkan sehabuk kesan pun terhadap emosi. Bohonglah jika sebelum tidur, perasaan sepi itu tidak hadir. Bohonglah jika ketika mendengar lagu yang mesejnya sama seperti Pelangi Senja ini, tidak ada sekelumit pun perasaan sayu.

Kadang-kadang mungkin ada perkataan yang terluah dari bibir kita telah membuatkan hati dia tercalar tanpa kita sedar bahawa perkataan itu dia bawa ke saat terakhir. Kadang-kadang mungkin kita enggan mendengar cerita dia tanpa kita sedar bahawa perkataan itu mungkin perkataan terakhir yang keluar daripada bibirnya. Kadang-kadang kita mungkin ketawa dengan sikap pelik dia tanpa kita sedar bahawa keanehan itu merupakan petanda pemergiannya. Kadang-kadang juga, kita mungkin secara tidak sengaja telah menempelak dirinya.

Entri yang anda baca ini.. tulisan di monitor anda ini tidak mampu untuk memberi nyawa kedua kepada si dia. Kita bukan ahli magik yang mampu untuk mengembalikan detik-detik realiti bersama dengan manusia yang telah pergi itu. Kita cuma manusia. Manusia yang cuma mempunyai rakaman di otak untuk dimainkan bila rindu dan sesal menjadi satu. Weiy... mereka sudah pergi, terima hakikat itu walaupun hakikat itu seperti asid yang membaham kulit. Jadikan kehilangan itu sebagai 'kaunselor' bukan 'pembunuh.' Susah memang susah. Tapi cuba fikir, itukah cara untuk kita menebus setiap kesalahan kita?

Bangun dan lihatlah sekeliling. Anda masih ada ramai lagi manusia yang menyayangi anda. Jangan disebabkan terlalu sesal dengan silap semalam, manusia yang lain ini anda abaikan. Lalu situasi 'pelangi senja' berulang lagi dan lagi. Dalam hidup, tiada perhentian. Kalau hari ini kita hanya mampu untuk menatap pelangi seketika sahaja kerana senja makin melambai pergi... jangan khuatir kerana esok masih ada matahari. Hargai hari esok yang bakal tiba sebelum terlambat agar kelak kita tidak ditembak sesal... dan jangan biarkan pelangi ada ketika senja berubah menjadi malam.


#pelangi yang melengkung ketika senja, cantiknya tak lama... kerana bila hilangnya matahari, pelangi akan terus lenyap.

3 ulasan:

aqmarBMW berkata...

menarik...

JunAina berkata...

Salam ziarah dari belog kakak awak...

salam ukhwah dari kakak aina...

outbound malang berkata...

salam super sahabat,
tetap semangat dan sukses selalu ya
ditunggu kunjungan baliknya :)