Jumaat, 25 Mei 2012

BUKAN LILIN YANG MEMBAKAR DIRI

Assalamualaikum WBT.


Yeah! Lama nak mampus tak kemas kini blog! Hahahaha... perperangan di dewan peperiksaan membuatkan ikrar saya untuk tidak menyentuh walau sesaat komputer terlaksana akhirnya. Jujur saya mengaku, bila berbuat demikian... kita lebih fokus. Tak percaya? Cuba sekali.. hahahahaha...


Okey, saya tahu dan sedia maklum pasti ada kening yang terangkat bila saya katakan entri ini berkenaan dengan hari guru. Ya, saya tahu hari guru dah berlalu. Kan saya cakap tadi, exam.. exam! Mana ada masa nak pamerkan entri ni masa hari tu jugak. Hish! Tak faham-faham ke? *tiba-tiba






Kepala akur bila arahan menyapa telinga. Okey, saya harus sediakan teks ucapan wakil pelajar sempena hari guru di sekolah16 Mei yang lepas. Malam 15 Mei saya mula mengarangnya. Lalu, pagi esoknya saya laungkan teks tersebut dari atas pentas kecil, persembahan biasa-biasa untuk guru-guru yang luar biasa. Terkenangkan teks itulah yang mendorong saya untuk menaip entri ini.


Apabila otak mencernakan perkataan yang mengandungi dua fonem iaitu 'guru,' lantas bertali arus cerita-cerita semalam. Dari yang pahit hinggalah yang manis. Dari kelabu hingga jingga. Sedikit sebanyak saya akui bahawa guru sememangnya antara molekul terpenting yang menghuni alam remaja saya.


Saya bertemu dengan mungkin ratusan guru sepanjang saya hidup. Cuma kali ini, saya ingin membawa anda menyelusuri silam seorang pengembara untuk mengenali dua insan bernama guru yang sukar saya lupakan sampai bila-bila. Kenapa antara ratusan guru yang membarisi zaman remaja saya, dua orang ini sahaja yang saya mahu lakarkan pada ruang ini? Mungkin sebab kedua-duanya meninggalkan kesan yang bukan sedikit dalam hidup saya. 


Pertama, Haji Mokhtar yang saya gelarkan sebagai 'Atuk.' Kedua, Md Izzudin Mohd Shah yang saya panggil 'Sir.' Dua insan dalam dua jalur masa yang berbeza.


Atuk


Atuk saya kenali ketika berusia lebih kurang 6 tahun. Setiap petang, saya akan bertandang ke rumah teres milik Atuk yang cuma berkordinasi selang dua rumah sahaja daripada rumah saya. Bertandang untuk belajar daripada tak tahu mengenal alif ba ta sehinggalah mahir tajwid dengan lancar (Alhamdulillah). Saya tamat pengajian dengan Atuk ketika saya berusia 11 tahun. 


Atuk lebih sekadar seorang guru mengaji yang duduk berlunjur kaki di hadapan muridnya dek kerana lututnya lenguh akibat terlalu lama bersila. Atuk lebih sekadar seorang guru mengaji yang cuma berkopiah, berbaju pagoda dan berkain pelikat. Bagi saya, atuk seperti atuk kandung saya sendiri. Ya, mungkin sebab saya tidak pernah mempunyai datuk memandangkan datuk belah mak meninggal dunia sebelum mak berkahwin dengan abah manakala datuk sebelah abah meninggal dunia sebelum saya dilahirkan. 


Mata ini masih terbayang-bayang lagi bagaimana prihatinnya lelaki tua itu kepada kami adik-beradik yang sudah dianggapnya seperti cucu kandung sendiri. Mata ini masih terpandang-pandang lagi bagaimana kereta kancil yang dipandunya melintasi rumah kami lalu tayar kereta itu hampir-hampir terbabas hanya sebab Atuk mahu mengintai kami dari jendela keretanya. Dalam usia sebegitu, atuk masih lancar nama kami adik-beradik meskipun ada yang sudah tamat pengajian dengannya. 


Atuk mengajar saya cara solat dalam kaedah yang sangat saya fahami. Atuk 'memaksa' saya melancar kesemua hukum tajwid. Atuk antara orang pertama yang mengajar saya erti guru. Orang yang tak mengenali Atuk pasti melabelkan Atuk sebagai seorang yang kasar. Tak... mereka tak kenal siapa sebenarnya Atuk. 


Ketika usia saya 12 tahun, Tuhan lebih menyayangi Atuk. Memori bersama Atuk masih dominan. Wajah Atuk, suara Atuk masih terakam kemas. Sukar untuk saya lupakan dia kerana dia merupakan seorang guru yang lebih sekadar seorang guru.


Sir


Saya rasa jika saya tak jumpa dia ketika di sekolah rendah dulu, mungkin sampai sekarang saya tak faham berbahasa Inggeris. Hahahaha... Ya, Sir seorang guru Bahasa Ingggeris ketika saya di sekolah rendah. Saya masih lagi teringat bagaimana rajinnya lelaki ini sehinggakan Sabu dan Ahad yang sepatutnya menjadi milik dia sanggup dia ketepikan semata-mata demi membantu anak-anaknya berjuang di kelas tuisyen. Ratusan kertas, buku dan kata-kata nasihat dibekalkan secukupnya sehinggakan kami tidak merasakan bahawa dia adalah seorang guru. Dia adalah bapa yang tidak putus-putus mendidik anak kandungnya sendiri. 


Memasuki alam sekolah menengah, tugas Sir tak berhenti di situ. Sekali musibah datang melanda menimpa lantai hidup saya, jari saya boleh mengira berapa orang manusiakah yang sanggup berdiri di sebelah saya meniupkan semangat. Saat itu, saya tergamam bila guru yang saya sangka telah tamat tugasnya ketika saya beredar dari sekolah rendah, tampil menyapa telefon bimbit lalu mencurahkan kata-kata semangat yang bukan sedikit. 


Di sebuah warung tepi jalan, satu nasihat dia yang saya pegang sehingga kini... yang sentiasa membakar usaha saya bagi memacu cita-cita ialah.. "Kalau nak jadi guru, jadi guru yang membantu anak muridnya. Bukan guru yang merosakkan anak muridnya." 


Kata-kata itu saya pegang sampai bila-bila. Sampai sekarang, ketika terserempak dengan Sir di pasar malam, atas jalan raya atau di mana-mana, saya akan menyalami tangan si pembawa damai itu. 


Itulah dua orang guru yang benar-benar meninggalkan kesan dalam setiap langkah saya meniti hari-hari yang kadang kala penuh dengan cabaran-cabaran gila. Saya sedar mungkin jika istilah guru itu tidak wujud, saya tidak akan berdiri seperti hari ini. 


Guru yang sebenarnya guru adalah guru yang mampu mengecaskan anak muridnya daripada negatif menjadi positif. Semua guru yang kita jumpa dalam hidup melakukan perkara ini. Kita ucap "Bangun... terima kasih, cikgu!" setiap hari, tetapi tanya kembali kepada diri kita, cukupkah dengan ucapan terima kasih yang kadang-kala tidak ikhlas itu mampu membayar jasa guru? Benarkah ucapan itu datang daripada hati?


Menyentuh ucapan wakil pelajar tadi, saya berminat nak berkongsi fragmen kecil yang saya selitkan dalam teks tersebut.


"Saya sering terdengar ungkapan, guru itu ibarat lilin yang membakar diri.

Maaf, saya tidak bersetuju dengan ungkapan tersebut.
Guru bukan umpama lilin yang membakar diri kerana apabila tiba masanya lilin itu akan menjadi cair. 
Guru juga bukan umpama bintang yang menyinari malam kerana apabila matahari memberi salam, bintang hilang menyepikan diri.
Jadi guru itu apa?
Guru ibarat udara yang kami perlukan tidak kira susah, senang, suka, duka, malam mahupun siang."


Untuk semua guru di dunia ini, mungkin mustahil untuk kami membalas dengan setimpal jasa yang telah kalian taburkan. Tetapi, ketahuilah... kami menghargainya setiap detik biarpun alam dewasa datang menyapa.







SELAMAT HARI GURU!!!!

Sabtu, 5 Mei 2012

SELAMAT JALAN ORANG KETIGA

Assalamualaikum WBT.


Acara tembak-menembak peluru-peluru fakta dan bom-bom ilmu sedang galak berlaku di medan otak. Dalam erti kata lainnya, sekarang adalah waktu untuk saya bergelumang dengan lautan nota demi berdepan dengan peperiksaan yang sedang menanti di muka pintu. Jemu dan bosan dengan desakan tekanan membuatkan saya menekan butang on di komputer lalu laman blog saya jengah. 




Orang ketiga


Saya baca kisah-kisah kehadiran orang ketiga dalam novel, blog, status-status di Facebook dan pos-pos di Twitter. Saya lihat kisah-kisah orang ketiga di perhentian bas, di institusi pengajian dan di drama-drama televisyen. Malah saya juga pernah buat entri yang ada sangkut-pautnya dengan kisah orang ketiga. Saya cuba menganggap perkara ini sebagai habuk yang menghuni di sudut dinding, yang boleh dihiraukan. Tapi... sejujurnya, saya tidak boleh menipu diri sendiri. 


Pantang. Saya cukup tak selesa bila situasi seumpama ini berlegar-legar di ruang mata. Saya tak boleh menipu diri sendiri. Bila mata atau telinga disapa situasi-situasi seumpama ini, hadir bermacam-macam perasaan yang bergelumang. Kasihan pada pihak yang diduakan. Keliru dengan sikap pihak yang menduakan. Pelik pada pihak yang hadir di antara dua pasang hati. 


Untuk apa? Untuk apa orang ketiga perlu hadir dalam sesebuah perhubungan? Tidak kiralah jika melibatkan pasangan yang dah berkahwin ataupun yang belum berkahwin. Kehadiran itu mampu sahaja membuatkan air yang tenang disapa buaya, membuatkan hati yang damai menjadi bergalau. 


 Kesunyian? Soal hati soal perasaan? Kurang kasih sayang? Hati tak boleh dipaksa- paksa? 

Relevankah semua alasan itu bagi menutup sebuah kesalahan yang dilakukan oleh jiwa? Apa yang ada dalam fikiran mereka sehinggakan perasaan manusia lain ditolak tepi lalu perasaan diri sendiri didahulukan? 






Simpati. Saya simpati kepada mereka yang pernah, sedang dan akan berada pada situasi ini. Bila gelombang seperti ini melanda, mangsanya ialah hati. Hati yang tercalar. Hati yang terpaksa melihat kebahagiaan yang sepatutnya ada dalam pelukan, pergi bertandang di ruang hati yang lain. Kecewa terus memendam rasa kerana apa yang sudah berlaku bukan boleh diputar kembali lalu dicegah sehabis daya. Hakikat bahawa cinta itu tak semestinya memiliki perlu dihadamkan jiwa dalam keperitan. 


Lalu, ganjarannya ialah bahagia pada dia yang puas hati memusnahkan istana milik orang lain. Dia memindahkan bahagia meskipun perbuatan itu tidak mudah seperti mengasingkan minyak daripada secawan air. Dia berusaha juga agar kreditnya hadir di laman hati sendiri. Dia pedulikan perasaan orang yang kecewa demi memenuhkan kepuasan diri sendiri. 


Hentikanlah. Berhenti berbuat demikian jika semata-mata titik fokus positifnya sekadar berbalik ke diri sendiri. Fikir dan fikirlah. Fikir perasaan orang lain. Hati jangan meluahkan ayat, "Kasihannya dia." Tapi, pulangkan soalan kepada diri sendiri, "Kalau aku di tempat dia satu hari nanti, adakah aku akan jadi seperti dia?"


Kecewa. Gaduh. Perang. Lalu mungkin paling teruk nyawa galang gantinya. Lihatlah sendiri efeknya situasi ini kepada seorang manusia yang lemah dari segala sudut. Kita baca kisah di akhbar-akhbar. Kita dengar khabar yang disampaikan oleh pembaca-pembaca berita. Gadis kecewa lalu memilih untuk terjun dari tingkat atas bangunan. Remaja gantung diri di dalam bilik kerana putus cinta. Hati terpaksa menjadi batu kerana trauma pada kisah cinta yang kecundang.


Ya. Sebab itulah saya seru agar perkara ini dihentikan. 


Wahai orang ketiga... hentikanlah mengganggu keamanan manusia sejagat! 


*untuk mereka yang diganggu oleh kehadiran orang ketiga... satu sahaja nasihat saya. Dugaan yang diberikan bukanlah satu penyebab untuk air mata menjadi bayaran. Dugaan itu sebenarnya membuatkan kita jauh lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan 'manusia' itu. Dugaan itu mahu menguji sama ada kita mampu hidup tanpa cinta ataupun tidak. Mungkin yang pergi itu bukan diciptakan untuk kita.