Assalamualaikum WBT.
Jadi, Ahad yang lepas aku ke Seremban dengan sepupu
merangkap kawan melepak aku bila balik kampung. Objektifnya satu je pun; nak
tengok ‘Ola Bola.’ Walaupun Mak agak berat hati untuk mengizinkan –
memandangkan besok Tahun Baru Cina, possibility untuk jalan menjadi jammed
memang tinggi – aku nekad jugak untuk melangsaikan objektif cuti sem aku
yang satu ni.
Kami bertiga – aku, Fatihah dan ‘Mr.’ Fatihah – menuju ke
Terminal 2 sebab situ ada MBO. Jam 2.15 waktu yang kami cop untuk tonton ‘Ola
Bola.’ Syukurlah jugak sebab selalu aku tengok netizen komen di Facebook,
diorang duk kata susah bebenor nak bei tiket sebab selalu full. Mungkin
sebab kebijakan si Teha yang pilih untuk ke Terminal 2 ni – memandangkan mall
ni tak ramai orang yang pergi. Kalau pergi pun, mungkin sebab nak pi Mydin –
rezeki kami hari tu memang dimudahkan.
Bercakap tentang ‘Ola Bola,’ awal-awal masa trailer ni
dilancarkan, aku yang sempat menontonnya di page Facebook ‘Sukan Star TV’ Disember yang lepas, terus aku ‘kongsi’-kan di
FB aku sendiri. Dah lama sebenarnya aku tak excited macam ni untuk
tengok filem-filem Malaysia. Dalam keadaan Malaysia sekarang yang agak
jarang menghasilkan filem yang betul-betul teliti, ‘Ola Bola’
muncul hanya melalui trailer awal Disember tahun lepas, kemudian
meningkatkan adrenalin sesiapa pun untuk menonton filem ini.
Selesai menonton ‘Ola Bola,’ aku keluar daripada panggung
dengan satu perasaan yang berbeza. Puas, puas gila-gila. Puas sebab jangkaan
tinggi melangit aku terhadap filem bermood biografi seperti ini betul-betul
ditepati. Puas sebab aku keluar dengan rasa tak ada satu pun daripada elemen ‘Ola
Bola’ yang tidak kena pada mata aku. Puas sebab ‘Ola Bola’ memberikan satu mood
futuristik di dalam diri kita sebagai seorang ‘Malaysia.’
Aku tak tahu macam mana rupanya dan karakter Soh Chin Aun,
Eric Yong, Khalid Ali, R. Arumugam dan lain-lain masa 1980. Aku tak tahu banyak
mana peratus berjayanya pelakon-pelakon ‘Ola Bola’ berjaya menterjemahkan
lagenda-lagenda ini dengan tepat. Tapi, aku percaya yang mereka semua berjaya
menterjemahkan karakter-karakter tersebut dengan tujuan yang sama – menyuntik semangat
‘inilah Malaysia’ satu ketika dahulu.
Ada beberapa babak yang hampir-hampir membuatkan aku
menangis. Antaranya, aku suka babak adik kepada Tauke memarahi Tauke di tempat pemprosesan getah segerap. Aku tak
tahu nama perempuan Cina tu, tapi dialognya betul-betul masuk ke dalam hati. Point
yang adik Tauke ‘tembak’ kepada Tauke yang tiba-tiba berubah menjadi ‘lembik’
dan mudah putus asa ke atas pasukannya, point tentang Tauke yang tidak
ambil berat langsung perasaan ibu mereka yang sangat-sangat menyokong kerjaya
bola sepaknya, dan bagaimana adik Tauke itu sanggup mengorbankan keputusan
peperiksaannya yang cemerlang semata-mata untuk menghabiskan sisa-sisa umur
remajanya dengan menoreh getah untuk menyara keluarga serta memberi ruang
kepada Tauke untuk mengejar cita-citanya selaku bintang bola sepak. Babak tu
membuatkan kita untuk berfikir bahawa putus asa bukan pilihan yang selayaknya
kalau kita berada di situasi seperti Tauke kerana ada orang lain di sekeliling
kita yang lebih banyak berkorban semata-mata mahu melihat kita untuk mencapai cita-cita.
Babak Muthu yang dimarahi ayahnya di hospital selepas
adik-adiknya mengalami kemalangan juga betul-betul buat aku sebak. Begitu jugak
dengan babak pemain simpanan yang ‘tembak’ kawan-kawan sepasukannya di bilik
persalinan sebelum separuh masa kedua perlawanan menentang Korea Selatan
bermula disebabkan semangat mereka yang merudum jatuh bila dapat tahu Olimpik
yang mereka kejar rupanya diboikot Malaysia.
Aku puji pengarah ‘Ola Bola’ yang langsung tidak
mempertaruhkan mana-mana wajah popular untuk menjadi penarik cerita ini.
Kesemua pemain bola sepak di dalam filem ini sudah menjalankan tugas mereka
dengan cukup cemerlang dalam memberikan gambaran kepada generasi baharu seperti
kita tentang siapa kita sekitar era kegemilangan ‘Malaysia’ satu ketika dahulu.
Aku puji Bront Palarae sebagai pelakon pembantu. Suara
dan karakternya sebagai pengulas sukan yang penuh dengan keterujaan dan komedi
yang tersendiri, selalu membuatkan aku meremang seolah-olah aku betul-betul
berada di dalam stadium ketika itu untuk menyaksikan kehebatan pasukan Malaysia
membenam Korea Selatan.
Begitu juga dengan watak wartawan perempuan Cina yang
bertindak sebagai narator yang memungkinkan jalan cerita ‘Ola Bola’ menjadi
cukup cantik dan ‘berhantu’ untuk terus ditonton sehingga habis. Watak adik
Tauke juga cemerlang walaupun dia muncul pada beberapa babak sahaja.
Slogan ‘You will believe again’ yang digunakan
sepanjang mempromosi ‘Ola Bola,’ bagi aku bukan sekadar satu taktik marketing.
Berat sebenarnya slogan ini yang mahukan kita percaya kembali. Slogan ini
memikul tanggungjawab yang besar hingga memungkinkan filem ini untuk dicemuh
kalau-kalau slogan itu tidak berjaya dipamerkan di dalam filem ini kelak. Namun,
nyata masterpiece yang satu ini menepati slogan ‘suruhannya.’
Tonton ‘Ola Bola.’ Itu sahaja yang saya minta. Terpulang
bagaimana sekalipun caranya. Sama ada anda mahu meredah kesesakan jalan raya di
hujung-hujung minggu. Atau anda sekadar menunggu filem ini secara percuma di
Internet – Tengoklah kat panggung. Sokong Malaysia sikit apa salahnya?
Anda tidak perlu untuk membuka sejarah melalui
cerita-cerita mak ayah anda atau melalui Wikipedia untuk mengenali siapa Soh
Chin Aun, Khalid Ali atau R. Arumugam sebagai persediaan untuk mengelakkan
kekeliruan sebelum menonton filem ini. Betul. Aku sendiri tak kenal mereka
semua secara mendalam. Sebabnya, keluar sahaja dari panggung, anda sendiri yang
akan terhegeh-hegeh mencari maklumat sejarah berlatar belakangkan masa itu.
Anda tidak perlu menjadi seorang pencinta bola sepak
untuk menonton filem ini. Aku sendiri, tak pernah faham pun formasi-formasi di
atas padang sekali dengan sistem liga bagai ni. Serius aku cakap, tak perlu.
Anda juga tidak perlu untuk menontonnya dengan perasaan
skeptikal terhadap filem-filem buatan Malaysia dengan alasan anda seorang hipster
dan ada taste tersendiri. Anda cuma hadamkan filem-filem Inggeris
semata-mata. Pergi jahanam dengan pendirian itu dan tonton ‘Ola Bola.’
Sebabnya, ‘Ola Bola’ bagi aku selain daripada membuatkan
kita percaya kembali kepada industri bola sepak tanah air, ‘Ola Bola’ turut
mengembalikan kepercayaan kita untuk kembali menghargai karya-karya Malaysia.
Jujurnya, aku rindukan filem Malaysia sebagus ‘Gubra’ oleh Yasmin Ahmad dan ‘Baik
Punya Cilok’ oleh Afdlin Shauki. ‘Ola Bola’ menghilangkan rindu itu. ‘Ola Bola’
muncul di tengah-tengah lambakan karya Malaysia masa kini yang lebih dahagakan rating
dan keuntungan berbanding ketelitian dalam menghasilkan karya.
Dan yang paling utama, ‘Ola Bola’ benar-benar membuatkan
kita percaya sebagai seorang rakyat Malaysia. Filem ini menunjukkan sisi
perpaduan yang tidak dibentangkan dengan cara yang sangat lame dan awkward
seperti mana karya-karya bermotifkan elemen cintakan negara yang lain.
Filem ini mengetengahkan latar sukan bola sepak sebagai pengantar dalam
membayangkan kepada generasi masa kini bahawa perpaduan ketika itu sangat
tinggi.
Lihat sahaja macam mana elemen Cina, India, Melayu dan Borneo
dinyatakan walaupun secara berasingan, tetapi semuanya bersatu ketika mereka
menonton di stadium dan mendengar di radio dengan perasaan megah dan bangga. Malah ketika aku di dalam panggung, ada je penonton yang berbangsa Cina duduk kat belakang aku dan ketawa sama macam aku pada lawak-lawak yang ada dalam babak-babak 'Ola Bola.'
Terima kasih ‘Ola Bola’ untuk pengalaman dan perjalanan ini. Terima
kasih kerana meyakinkan kami sebagai generasi sekarang bahawa perpaduan dan
keharmonian itu tidak perlu dipaksa-paksa dan dibuat-buat dengan laungan ‘1
Malaysia’ berkali-kali ketika musim-musim tertentu sahaja. Cukup dengan hanya
membuka mata kami macam mana elemen semudah sukan bola sepak itu menjadi
intipati paling utama dalam menjadikan kami seorang Malaysia. Terima kasih kerana mengingatkan kepada kami tentang perasaan bangga sebagai seorang rakyat 'Malaysia' itu tidak pernah akan hilang walaupun kita kalah dan diuji berkali-kali.
"Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama." - Ali.
"Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama." - Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan