Ahad, 15 April 2012

FAIL PUISI-PUISI AKU : "KE MANA KAU BULAN?"

Assalamualaikum WBT.


Fail puisi saya belek. Jujur saya akui, mood nak berkongsi puisi-puisi dalam simpanan di ruang ini belum ada lagi. Memang. Rasanya dah lama saya tak berkongsi apa-apa puisi di sini kan? *angguk la dua kali... Tapi, beberapa hari yang lepas, jari ini baru sahaja menoktahkan satu puisi yang telah emosi saya karangkan. Puisi mengenai apa? 


Gempa bumi menggembarkan lantai Acheh pada tarikh 11 April 2012 yang lepas. Gempa bumi yang berkemungkinan menjemput tsunami datang menyapa. Berderau darah apabila mata ini melihat berita yang dilaungkan di laman Facebook. Malaysia antara target yang seterusnya. Pantai-pantai barat diberi amaran. Saya tak tahu sama ada ini khabar angin atau tidak. Tapi, ada berita yang melaporkan tempat-tempat yang bakal dilanda tsunami malam itu juga, lengkap bersama dengan waktunya. Saya pedulikan tempat lain. Mata ini terus terpaku pada kata nama am
 "PORT DICKSON."


Menggeletar dan resah seperti dibancuh dalam satu gelas yang begitu sempit. Kalau takdir menulis tsunami datang mengetuk pintu... kalau takdir menulis tsunami meranapkan kawasan puluhan kilometer daripada pantai, selamatkah saya dan keluarga? Gubrakah kami pada air laut yang menyapu ganas. Gusarkah kami pada jerit pekik manusia-manusia keliling yang mahukan bantuan tapi tidak tahu mahu meminta daripada siapa. 


Malam 11 April saya keluar sebentar daripada rumah usai makan malam. Melihat langit yang terlalu kelam membuatkan kali pertama adrenalin saya seperti didesak-desak untuk menulis puisi. Lalu lahirlah "Ke Mana Kau Bulan?"


Ya, puisi ini masih baharu. Baharu sahaja keluar daripada oven. Puisi yang lahir dalam situasi kekalutan, mood resah dan degup debar.


KE MANA KAU BULAN?

 Langit malam ini tidak menyanyi, 
 Membuat lenaku tidak terbuai seperti biasa, 
 Emosiku gubra di dalam darah yang berlari laju, 
Adrenalinku turun naik dalam satu muzik yang celaru, 
 Mataku terpejam tapi tidak pula mimpiku hanyut, 
 Jantungku terperosok di sudut kotak yang terlalu sempit. 

 Ku teliti langit, 
 Bintang yang selalunya berselarakan, 
 Cuma ada sebutir, 
 Cahayanya terlalu khuatir, 
Menyorok di sebalik awan yang kucar-kacir. 

 Di penjuru hadapan, 
 Aku seperti melihat ombak menghampiri teratak ini, 
 Ombak yang menyapa daratan yang telah lama terpisah, 
 Ombak yang merindui akar-akar pokok yang mencengkam, 
 Ombak yang menempelak perilaku sisa-sisa azazil,
 Hatiku tidak duduk diam, 
 Menunggu sesuatu yang langsung tak aku harapkan. 

 Sekali lagi langit aku teliti, 
 Kelam dan hiba, 
 Aku tidak melihat bulan, 
 Bulan yang kerap menidakkan hujan, 
Bulan yang selalu menafikan petaka, 
Ke mana kau sebenarnya bulan?




Puisi ini berkisar tentang emosi kegusaran seseorang yang sedang menanti sesuatu yang langsung tak diharapakan iaitu TSUNAMI. Malam itu memang kelam. Langit seperti mahu memuntahkan hujan. Bulan disimbolikkan sebagai 'penebat' kepada hujan.

Hakikatnya, kita cuma manusia. Titik. Manusia yang tidak ada kuasa untuk menahan amarah alam yang selama ini memendam rasa. Manusia yang tidak ada tempat berlindung melainkan Tuhan. Manusia yang luarannya mungkin kuat tapi dalamannya lemah. Bencana seumpama ini bukan sesuatu yang boleh kita tolak semudah kita menarikan jari telunjuk di atas skrin sentuh telefon canggih. 

Saya sedar akan hakikat itu. Tapi, sesekali emosi lain datang menerjah. Bersediakah? Mengapa sekarang? Normal, itu fikiran saya ketika sedang resah. Tapi, bila difikir-fikir, dugaan bukannya sesuatu yang telah ada dalam senarai temujanji di diari kita. Kita berhak merancang tapi Tuhan telah mengaturkan segala-galanya. Jadi kita cuma perlu bersedia pada setiap kemungkinan. Ya, bersedia!

Amaran ditarik balik. Keadaan kembali reda. Tapi, sejujurnya perasaan itu masih ada, berkurangan tapi tetap ada. Melihat pada keadaan-keadaan seumpama ini membuatkan saya menyimpulkannya begini:

MASA HADAPAN PENUH DENGAN CERITA-CERITA YANG LANGSUNG TIDAK DAPAT DIJANGKA DENGAN 100% TEPAT. MASA HADAPAN PENUH DENGAN PERKATAAN 'BERSEDIA.'

TERUSKAN BERDOA YA. :)

Tiada ulasan: