Ahad, 18 Disember 2011

FAIL PUISI-PUISI AKU : "JANGAN LUDAH AKU"

Assalamualaikum WBT.


Selak demi selak majalah Mastika keluaran terbaru, saya terjeda sebentar bila mata ini berhenti pada beberapa helaian. Bibir melepaskan keluhan. Rupa-rupanya masih ada lagi berita pasal KES PEMBUANGAN BAYI. Cuma mungkin sekarang, media tak galak sangat melaporkan macam dulu. Ingat lagi? Macam mana hari-hari akhbar pagi kita dihiasi dengan cerita buang bayi. 


Ada yang dicampak dari tingkat lima flat sampai bayi yang dah tak bernyawa tu bersepai bila berhentam dengan bumi. Ada yang dibuang sahaja di dalam tong yang dipenuhi tin-tin berkarat dan gumpalan-gumpalan sampah. Ada yang dihumban terus ke dalam longkang. ALLAH !!! Begitu ke selayaknya diperlakukan ke atas jasad yang tidak ada roh itu? Sehingga saya tertanya-tanya, mana kain kafan? Mana liang lahad? Mana bacaan talkin? Dibiarkan sahaja tubuh itu dijamah sengatan-sengatan semut api. Dibiarkan sahaja tubuh itu disamakan taraf dengan sampah. Dibiarkan sahaja tubuh itu dihurung langau. 










Rasa macam dah tak sanggup lagi jari-jari ni mahu meneliti hasil carian Google bila saja saya taip "buang bayi". Jangan... jangan tutup mata anda kerana inilah realiti sebenar apa yang terjadi. 


Saya jangka ramai yang mengucap istighfar. Ramai yang tersentap sehingga hilang selera untuk menjamah sarapan pagi. Ramai yang bercakap seorang diri, mengutuk perbuatan ini ketika menonton laporan di televisyen. 


Saya sendiri pada mulanya merah padam membaca pendedahan demi pendedahan ini. Sehingga mendorong saya menulis puisi ketika itu. Tetapi, entah kenapa... ketika itu tangan ini tidak pula menulis tentang kemarahan saya pada golongan-golongan itu. Saya membentuk puisi ini seolah-olah mewakili suara orang yang melakukan perbuatan itu. 


Puisi ini bercerita tentang perasaan mereka yang telah melakukan kesalahan. Laungan mereka kepada orang-orang di sekeliling agar membantu mereka menunjukkan lorong mana yang sepatutnya mereka pilih. Bukan dengan herdikan. Bukan dengan ugutan yang akhirnya akan mendorong mereka melakukan poerkara yang lebih teruk lagi. 


JANGAN LUDAH AKU

Tanah ini bergalau
Rekahnya luar biasa
Tika gunung menjadi kertas
Kala bulan terbelah dua
Sang dajjal menghulur cangkir
Lalu mengalir air dari mata harimau
Manusia?
Di mana kamu? Ke mana?
Mereka mengelilingi kotak besar
Manusia membengis ke arah kotak itu
Ke arah tiga batang tubuh
Yang berluruhan bila petir tidak kenal arah

Lantas bahasa melingsir dari rongga mereka
Bilau suasana dan manusia senyap

Lirih yang pertama;
"Jangan ludah aku...
Aku tiada maksud
Melontar nyawa itu ke ruang berlendir
Meski dia meneriak, aku tidak hiraukan
Maafkan ibu, nak!
Ampunkan aku!
Pegang tangan aku!"

Liris yang kedua;
"Jangan ludah aku...
Aku tidak punya tongkat 
Aku sesat di kota cahaya
Aku lemas di tasik syaitan
Aku lelaki dia jantan
Salah aku!
Aku mahu pulang!"

Larut yang ketiga;
"Jangan ludah aku...
Aku janji, aku sumpah
Aku tidak akan bersila di tangga masjid
Aku tidak akan bediri di tengah jalan
Aku tidak akan menggaru kudis
Aku tidak akan memakai baju compang
Pandu kaki aku!"

Manusia... ini teriak manusia.
"Rejam mereka!
Panah mereka!
Sula mereka!"

Saat Isa hulur salam,
Manusia tutup lensa.
Saat lantai jadi retak,
Manusia kudung jari.


Secara keseluruhan, puisi ni bukanlah bercerita pasal seorang gadis yang menyesal kerana membuang bayi semata-mata. Ia juga turut bercerita pasal kaum homoseksual yang mahu kembali ke pangkal jalan dan orang kurang siuman yang berkeliaran di tepi jalan. Tetapi, bila dijerit sekuat mana pun mengatakan bahawa mereka sudah insaf, manusia-manusia di sekeliling tetap melihatnya sebagai satu kesalahan yang tidak mungkin dapat dihilangkan begitu sahaja.


Bila habis sahaja saya menulis puisi ini, satu perasaan halus meresap jauh ke dalam emosi. Perlahan demi perlahan, saya mula sedar... Herdikan, cacian dan makian yang dituangkan ke atas mereka-mereka yang bersalah, sedikit pun tidak akan mampu untuk merubah apa-apa. Sebaliknya, panduan dan sokongan. Itu yang mereka perlukan. Setiap orang melakukan kesalahan, tak kita besar atau kecil. Dalam masa yang sama, setiap orang juga diberi kesempatan untuk 'membuat pusingan U.' 


Untuk golongan yang dah terlanjur melakukan kesalahan itu... cukuplah satu dosa. Jangan ditambah menjadi dua. Dunia ni sementara. Dunia ni makin hampir pada tarikh luputnya. 

6 ulasan:

Saddila berkata...

perghhh terbaik puisi kau . btw , aku tak tengok gambar . tak sanggup . sedih !

Mohamad Syafiq berkata...

mentaliti masyaraat zaman sekarang dah jahil persis masyarakat zaman jahiliah

WaniZakaria berkata...

keep it up.mata pena lebih tajam dri mata pedang. :)

dari lensa faiz berkata...

Saddila : kan? tak sanggup membeleknya...

Syafiq : mereka perlu tunjuk ajar

Wani Zakaria : aduh , hahaha .. terhiris terharu .. :)

Mohamad Syafiq berkata...

zaman sekarang ni nak ajar guna manusia dah susah..
nak kena guna kekerasan..
guna mata pena kesan lambat tapi yang pasti tinggalkan kesan lebih mendalam.

dari lensa faiz berkata...

maaf la syafiq .. aku tak setuju bila ada orang yang asyik kutuk tanpa ada niat untuk mengubah ... sapa tau? mereka akan bertaubat ... dan Tuhan terima taubat diaorang .. Tuhan Maha Adil kan.. :)